Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, May 25, 2015

Penunggang motosikal maut tercampak atas jalan

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
JERAM, 25 MEI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk ke laluan bertentangan di Jalan Dato Miskun, Kampung Bukit Kerayong, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.17 petang itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Meru menghala ke Jeram.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri itu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Mangsa, Muhammad Solehin Bahari, 22, kemudiannya tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan sebuah kenderaan di hadapannya sebelum tercampak di tengah jalan.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah Polytrauma Secondary to MVA manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

Mereka boleh tampil bertemu Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elme Othman untuk tindakan lanjut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/mangsa-maut-tercampak-atas-jalan-1.394059

Saturday, May 23, 2015

Elak anak kecil terpengaruh viral media sosial

Sulaiman bersalaman dengan peserta Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang.
TANJONG KARANG, 22 MEI – Pendidikan modal insan wajar diserapkan dari peringkat awal bagi membentuk sahsiah dan akhlak mulia anak penduduk di daerah ini.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak berkata, pendidikan modal insan amat penting selain proses pembelajaran biasa yang diterapkan dari peringkat tabika.

“Pembentukan sahsiah dan akhlak mulia bermula dari pra sekolah mahupun tabika penting bagi membolehkan anak kecil ini berdepan cabaran yang semakin membimbangkan.

“Ini kerana corak pemikiran anak muda sekarang cukup berbeza dan mudah terpengaruh dengan unsur fitnah serta sensasi yang menjadi viral media sosial sehingga tidak dapat membezakan baik dan buruk.

“Malah dunia mereka yang taksub dengan gajet terkini cukup membimbangkan sehingga lalai dan lupa dengan tanggungjawab sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang.

Tambah Sulaiman, ibu bapa cukup yakin dengan konsep pembelajaran yang diterapkan di peringkat tabika bagi memberi pendidikan awal sebelum memasuki alam persekolahan.

“Walaupun berdepan pesaing swasta yang semakin meningkat, namun saya yakin tabika akan tetap menjadi pilihan ibu bapa kerana lebih dekat dengan mereka.

“Malah sokongan kerajaan turut membantu meningkatkan prasarana, bantuan persekolahan dan menambah cawangan tabika di setiap daerah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/elak-anak-kecil-terpengaruh-viral-media-sosial-1.393000

Saturday, May 16, 2015

Ini bukan Filem #LIBAS - 2 cedera ditetak parang

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Air Manis, Sabak Bernam. Gambar kecil: Khairul Fikry
SABAK BERNAM, 15 MEI – “Parang di tangan lelaki itu diacu tepat ke muka saya, mujur dia (suspek) tak libas,” cerita salah seorang daripada dua mangsa tetak di Taman Air Manis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Khairul Fikry Sunarno, 23, cedera di bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi mangsa iaitu isteri suspek cedera di kepala selepas ditetak lelaki berkenaan menggunakan parang.

Khairul Fikry berkata, dia bertindak mempertahankan dirinya selepas suspek mengacu parang ke arah mukanya, dan hanya sempat melaungkan takbir beberapa kali.

“Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk, dia macam dirasuk. Dia (suspek) kemudian alihkan parang dan melibas tangan kiri hingga saya meraung kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul yang menerima sembilan jahitan di tangannya berkata, isteri suspek turut alami mimpi ngeri apabila suspek bertindak kejam menetak bahagian kepala mangsa menggunakan parang hingga mendatangkan kecederaan.

“Mulanya berlaku perselisihan faham antara dia dan isterinya, saya yang berada di rumah itu cuma ingin leraikan pergaduhan. Tak sangka, saya juga diheret dalam kemelut ini,” katanya.

GAMBAR - FB I Love Sungai Besar
Khairul Fikry bertandang ke rumah mangsa selepas mengetuai rombongan pihak lelaki merisik anak perempuan mangsa kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

“Rakan saya merancang berkahwin dengan anak mangsa. Kami berbincang seperti biasa, sebelum mangsa mengadu hubungan dia dan suami bermasalah.

“Kata mangsa (sebelum kedatangan rombongan meminang), dia beberapa kali diugut,” katanya.

Katanya, setelah perbincangan dengan pihak lelaki, mereka ambil keputusan buat laporan polis, dan rombongan itu pulang ke rumah di Kampung Banting.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama anak perempuannya serta teman lelaki pulang ke rumah mereka di Taman Air Manis, Sabak Bernam.

“Dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suami. Suami mangsa kemudiannya menetak kepala isterinya itu di bahagian kepala dan menetak lelaki terbabit di bahagian tangan kiri dengan parangg,” katanya.

Akibat tetakan itu, mangsa dan lelaki itu mengalami luka dua sentimeter masing-masing di bahagian kepala dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden, Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang mengerakkan usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebagai pesakit luar dan memaklumkan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 324.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/cedera-ditetak-parang-1.390329

Wednesday, May 13, 2015

Alamakkk.!!! babi masuk parit.!

Babi jatuh bergelimpangan ke dalam parit selepas lori terbabit terbalik.
SABAK BERNAM, 13 MEI – Sebanyak 70 babi terperangkap di dalam parit kirakira lima jam selepas lori yang membawa haiwan itu terbabas ke bahu jalan di Kilometer 62 berdekatan Parit 13, Sungai Nibong, di sini, pagi semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kesemua babi yang diletakkan di atas gerabak sebuah lori muatan enam tan itu dipercayai terhumban ke dalam parit selepas lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Segari, Manjung Perak terbabas di jalan berkenaan.

Sumber memberitahu, lori yang mengangkut babi dari sebuah ladang ternakan babi itu dipercayai dalam perjalanan membawa babi tersebut ke Lembah Klang, tetapi tidak mengetahui lanjut lokasi sebenar ke mana babi itu ingin dibawa.

“Kejadian berlaku apabila lori yang membawa muatan haiwan terbabit gagal mengawal kenderaannya ketika melalui jalan sedikit curam hingga menyebabkan lori itu terbalik pada bahagian kiri kenderaan berkenaan.

“Akibatnya, babi yang berada di atas gerabak terhumban ke dalam parit di sebelah kiri jalan terbabit hingga haiwan itu terpaksa menunggu berjam- jam untuk dinaikkan semula ke darat,” katanya yang memaklumkan tiada babi yang mati lemas dalam kemalangan terbabit.

Menurutnya, babi ternakan itu berbeza dengan babi hutan kerana tidak pandai mengharungi air hingga terpaksa diangkat menggunakan sebuah jentera jengkaut yang mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dipindahkan ke dalam sebuah lori lain.

“Proses menaikkan haiwan itu ke darat mengambil masa kerana babi terbabit terpaksa diikat sebelum dinaikkan dengan menggunakan jengkaut, bagaimanapun tiada laporan berhubung babi itu terlepas atau berkeliaran ke kawasan lain,” ujarnya.

Katanya, pemandu kenderaan berusia lingkungan 40-an dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan teruk.

Sinar Harian difahamkan, sehingga jam 4 petang, semalam, pemandu kenderaan terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, kemalangan kenderaan yang membawa muatan haiwan tersebut menarik minat masyarakat apabila menjadi viral dalam media sosial terutama Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Beberapa pengendali utama Facebook di daerah ini seperti I Love Sungai Besar; Sabak Bernam Di Hatiku dan Sungai Besar Di Hatiku’ dikatakan telah memuat naik status berhubung kejadian berkenaan.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/babi-terhumban-dalam-parit-1.389613

Monday, May 11, 2015

Tak sempat nak balik kampung

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba.
KUALA SELANGOR, 8 MEI - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor masih giat mencari saksi kejadian kemalangan maut di KM13 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berhampiran Bukit Rotan.

Dalam kejadian pada 30 April lalu, mangsa yang juga seorang penunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Bestari Jaya sempena cuti umum.

Bagaimanapun, mangsa, Muhd Ilyas Mohd Rashid, 22, meninggal dunia selepas dua jam mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah.

Sumber berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Selangor dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan.

“Kenderaan jenis Perodua Kelisa itu dikatakan datang dari arah bertentangan dan akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian depan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1145 malam manakala pemandu kereta dirawat di hospital sama.

“Pemandu kereta pula dipercayai masih koma sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian kemalangan terbabit dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menemui Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elme Othman untuk maklumat lanjut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tak-sempat-nak-balik-kampung-1.387999

Thursday, May 7, 2015

Ceroboh punca nelayan diserang

Omar Abd Rahman
KUALA SELANGOR, 6 MEI – Semua nelayan terutamanya Zon A dinasihatkan tidak membuat undang-undang sendiri dan perlu melaporkan kepada jabatan berkaitan jika berlaku pencerobohan zon.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor, Omar Abd Rahman menegaskan, nelayan tidak sepatutnya membuat tindakan sendiri sehingga boleh mengundang bahaya kepada nelayan lain.

“Saya faham mungkin mereka marah dengan nelayan Zon B yang menceroboh perairan Zon A lebih-lebih lagi zon penangkapan ikan sudah berubah.

“Kalau dulu, lima batu nautika dari pantai tapi sekarang menjadi lapan batu nautika untuk nelayan Zon B dan timbul isu pencerobohan kawasan sehingga menyebabkan nelayan pantai terjejas.

“Bagaimanapun, mereka tak boleh buat tindakan sendiri seperti baling botol untuk menghalau nelayan keluar dari zon,” katanya ketika diminta mengulas isu serangan botol kaca di perairan Jeram.

Omar menjelaskan, sepatutnya nelayan pantai melaporkan kepada pihak berkenaan seperti rakan fish dan Jabatan Perikanan kerana hanya jabatan yang mempunyai kuasa.

“Tak kira siang atau malam, mereka boleh ambil gambar bot yang menceroboh sebagai bukti untuk membantu pihak jabatan melaksanakan penguatkuasaan.

“Baling botol bukanlah satu tindakan yang betul dan saya nasihatkan semua nelayan patuhi undang-undang dan jangan sesekali menceroboh zon yang ditetapkan,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/ceroboh-punca-nelayan-diserang-1.387188

Nelayan diserang botol kaca

Serpihan kaca yang bertaburan di dalam bot Lim.
SUNGAI BULOH, 6 MEI – Tindakan individu yang membaling botol kaca ke arah bot yang melalui perairan Jeram, di sini pada waktu malam menimbulkan tanda tanya nelayan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam bot Zon B sebelum dikejutkan kehadiran botol kaca yang dibaling dari pelbagai arah.

Nelayan yang ingin dikenali sebagai Lim, 55, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari jeti Bagan Sungai Buloh mahu mencari ikan seperti rutin biasa di perairan Jeram.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di satu tempat untuk memeriksa jaring yang dipasang, dia dikejutkan dengan balingan botol oleh tujuh individu yang tidak dikenali.

“Masa tu saya dalam bot dan pekerja sedang periksa jaring... tiba-tiba ada lebih kurang tujuh lelaki naik sampan menyerang dengan membaling botol sehingga serpihan kaca bersepah di dalam bot.

“Kawasan situ gelap dan kami hanya nampak samar-samar saja. Nasib baik kami tak cedera kena botol. Saya tak tahu apa motif mereka berbuat demikian seolah-olah mahu halau kami pergi dari situ.

“Tidak mahu kejadian buruk terjadi kepada kami sekeluarga, saya buat laporan polis,” katanya sambil memberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jeram.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perairan itu mendapati, tindakan segelintir individu yang membaling botol ke arah bot sebagai tanda amaran selepas mereka menceroboh perairan pesisiran pantai.

Seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, mungkin tindakan itu sebagai tanda protes nelayan pantai terhadap nelayan bot Zon B yang menceroboh kawasan pantai.

“Sebab banyak kali bot Zon B menceroboh kawasan pantai, kaut semua hasil termasuk anak ikan sehingga menjejaskan nelayan Zon A. Mungkin sebab tak tahan dihimpit kesusahan sebab hasil ikan tiada dan tindakan penguatkuasaan kurang pada waktu malam, mereka ambil tindakan sendiri,” katanya.

Seorang lagi nelayan dikenali sebagai Ibrahim berkata, tindakan baling botol bagaimanapun bahaya kerana boleh mengundang kecederaan.

“Janganlah ambil tindakan sendiri sedangkan kita ada saluran betul seperti lapor kepada Rakan Fish dan pihak berkaitan... Tapi memang patut nelayan Zon B diberi pengajaran supaya tak besar kepala dan pihak berwajib perlu lihat perkara ini dengan lebih teliti supaya isu sama tak berulang,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nelayan-diserang-botol-kaca-1.387185