Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, July 31, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 4) - Bismillah 6 dan 7 penawar ilmu sihir atau buatan orang

Assalamualaikum guys... Aku rasa dalam tahun nih banyak sangat filem kita lahirkan cerita berunsur kurafat seperti santau, jampi, buatan orang dan percaya pada jin dan syaitan. Jika mudah untuk kita percaya pada perkara2 ini bermakna badan kita juga mudah untuk didekati mahkluk2 halus.

Amalkan bacaan BISMILLAH 7 ini untuk melindungi diri dari terkena ilmu2 sihir atau buatan orang. Syaitan dan jin itu memang ada sentiasa untuk menghancurkan manusia. Itu janji mereka..


Bacakan Bismillah 6 atau 7 sebanyak sebelas kali antara waktu pagi dan petang. Sebaiknya hafalkan bismillah ini untuk kebaikkan dan pendinding diri. (gambar bismillah di atas adalah bismillah 6 dan di baca sambungnya pada bismillah 7 di bawah ini..


sambung baca bismillah 7

Nota
Manusia sekarang terlalu taksub pada kurafat2 seperti percaya pada bomoh, dukun, tangkal dan sebagainya. Paling teruk sekali bila meminta bantuan dengan orang yang bukan beragama ISLAM. Tidakkah itu menyeru kepada syaitan dan jin membantu mereka. Jangan sekali2 percaya pada bomoh. Mintalah bantuan kepada Allah SWT kerana DIA lebih TAHU dan MAHA MENJADIKAN...

P.S. - Perbanyakkan membaca ayat 3 QUL dan Ayat Kursi semasa bersendirian dan amalkan sebagai amalan2 harian.. InsyaAllah DIA akan melindungi hamba-Nya dari syaitan laknatullah..

Monday, July 30, 2012

Menteri Prihatin Terhadap Rakyat - Datuk Seri Noh memberi jaminan Pasar Tani jual ikan pada harga murah.

SHAH ALAM, 29 JULAI - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan harga empat jenis ikan, yang dijual di Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kekal murah sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Beliau berkata tawaran potongan harga itu membabitkan ikan pelaling, cencaru, selar dan kembung seperti yang diperkenalkan dalam jualan 'Ikan Rakyat' pada April lepas menerusi program Jimat Belanja Dapur.

"Ikan berkenaan dijual pada harga lebih murah iaitu antara lima peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran. Selain ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan terpilih juga dijual lebih murah menerusi program ini yang diperkenalkan pada musim perayaan tahun lepas dan menjadi pilihan terbaik untuk pengguna," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di Pasar Tani Stadium Seksyen 13 di sini hari ini.

Noh berkata lawatan mengejut itu diadakan selepas beliau dimaklumkan harga ikan naik mendadak di beberapa pasar tani ekoran kekurangan bekalan ikan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan, harga ikan masih dijual pada kadar sepatutnya namun mengakui bekalan ikan untuk pasaran tempatan berkurangan.

"Bekalan ikan agak berkurangan namun masih pada tahap terkawal, dan saya beri amaran kepada peniaga supaya tidak ambil kesempatan," katanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata sekiranya situasi mendesak, kementeriannya menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengambil langkah menghentikan atau mengurangkan eskport ikan ke luar negara.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana bekalan untuk pasaran tempatan menjadi keutamaan namun beberapa perkara akan diambil kira memandangkan pengeksport ikan mempunyai kontrak bekalan yang telah ditandatangani dengan pengimport.

"Kita masih melihat dan memantau situasi ini dan tindakan yang sewajarnya akan diambil," katanya.

Sementara itu, Noh berkata kementerian sedang dalam perancangan untuk mengimport daging lembu dari Sudan bagi memastikan bekalan daging mencukupi terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata barangan lain seperti ayam mempunyai bekalan mencukupi manakala harganya akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan dalam masa terdekat.

Katanya pengguna digalakkan supaya membeli barangan keperluan dapur di 475 pasar tani di seluruh negara menerusi program Jimat Belanja Dapur yang menawarkan harga istimewa selain pasar tani istimewa yang diadakan dua hari sebelum sambutan Hari Raya kelak.

Sunday, July 29, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 3) - Lima Tanda Hati Keras Membatu

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah lah.a. berkata,

"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud,

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya,

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat.

"Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126).

Friday, July 27, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 2) - DOA NABI ALLAH YUNUS

DOA INI AFDALNYA DIBACA 11 KALI KETIKA SUJUD SEBAIK SELESAI SALAM SEMBAHYANG FARDHU. KEMUDIAN MOHON DOA KEPADA ALLAH.

INSYA'ALLAH. TAWAKKAL... BUKANKAH ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGASIHANI.

DOA NABI YUNUS... memang AJAIB

Assalamualaikum,
Pagi Jumaat kita sama2 mengamalkan satu rahsia DOA NABI YUNUS yang sememangnya wajib kita sertakan setiap kali kita berdoa kepada Allah SWT selepas solat lima waktu. Amalkan DOA ini agar segala masalah2 kita seperti hutang yang besar atau kecil + musibah yang besar + masalah2 yang susah untuk diselesaikan atau apa jua sekalipun. Berdoalah setiap hari sekurang2nya tiga kali sehari tidak kira dalam keadaan apa jua pun terutama bila kita dalam keadaan yang sangat2 memerlukan pertolongan dari-Nya. Moga2 Allah SWT mendengar dan permudahkan segala urusan kita.

Doa Nabi Allah Yunus semasa terperangkap di dalam perut Ikan Nun...

"LAA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ DZALIMIIN"
(Surah Anbiyak)

~ Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri ~

Nota
Rahsia DOA NABI YUNUS ini sangat2 besar maknanya. Amalkanlah setiap hari tidak kira walau dalam keadaan kesenangan atau kesusahan. Sentiasa ucap SYUKUR ALHAMDULILLAH nikmat ALLAH SWT berikan walaupun ianya hanya sekeping roti. Allah SWT amat sayang pada hamba-Nya yang sentiasa BERSYUKUR dan bukan MERUNGUT.

P.S. - Memang besar khasiat doa Nabi Yunus ini. Baca dan amalkanlah wahai sahabat2ku sekelian kerana didalamnya terdapat rahsia yang sangat luar biasa. Bacalah seberapa banyak mana pun doa ini. Tiada ruginya malahan besar pahalanya dan menguntungkan diri.

Thursday, July 26, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 1) - Apabila Bercakap Dia Sedang Berbohong

Banyak cara sebenarnya untuk 'membaca' seseorang sama ada dia seorang yang baik, jujur atau sebenarnya seorang pembohong. Seseorang yang gemar berbohong, biasanya sudah mempersiapkan pelbagai cerita sebelum berjumpa dengan orang yang akan ditemuinya. Namun, dalam hal tertentu seperti menjawab pertanyaan atau membuat pengakuan spontan, reaksi manusia berbohong sebenarnya boleh kita kenal pasti.

Berikut adalah tip-tip cara mengenali seseorang yang sedang berbohong:-

1. Nada suara
Biasanya dari intonasi vokalnya, anda akan tahu apakah perkataannya benar atau tidak. Sebagai sahabat atau pasangan, anda mungkin sudah mengenali bagaimana karakter seseorang itu melalui suaranya ketika memberi penjelasan.

2. Enggan berjumpa
Apabila anda mengajaknya keluar untuk bertemu, pasti dia akan banyak memberi alasan. Dengan tiba-tiba, tingkah lakunya berubah tanpa diduga. Mungkin kerana merasa bersalah, pembohong tidak suka berdekatan dengan orang yang dibohonginya.

3. Menyentuh hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ia membesar. Fenomena itu juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

4. Menutup mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi, kita sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

5. Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar tiba-tiba menjadi gagap, itu merupakan tanda-tanda bahawa dia sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya, tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan itu disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut sedang berbohong.

6. Pergerakan mata
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu, sekiranya kerlipan mata berkurangan daripada kadar biasa, itu mungkin tanda berbohong. Ada juga keadaan yang mana sekiranya mata seseorang tiba-tiba mengerdip dengan banyak, itu merupakan tanda-tanda kemungkinan bahawa dia sedang berbohong. Kerlipan mata yang normal tidak menunjukkan dirinya berbohong.

7. Melengah-lengahkan jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

8. Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk tatkala berhadapan dengan sesuatu soalan, kemungkinan itu merupakan seseorang sedang berbohong.

Hadith no. 88
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. [info]

Hadith no. 89
Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. [info]

Thursday, July 19, 2012

PENTAS PEMUDA BN DAN PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA PEMUDA BN TANJUNG KARANG

TANJUNG KARANG – Pentas Pemuda Barisan Nasional (BN) dan pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Barisan Nasional Tanjung Karang yang dihadiri oleh Ahli-ahli Pergerakan Pemuda BN seluruh kawasan Parlimen Tanjung Karang turut mendapat sambutan daripada golongan muda dan orang ramai.

Lima panel utama, Datuk Seri (DR) Hj. Noh Bin Hj. Omar, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno/Barisan Nasional Malaysia, YB. P. Kamalanathan, Ahli parlimen Hulu Selangor, Sdra. Lokman Nor Adam dan Sdra. Khir Ramli, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjung Karang, dan beberapa orang lagi pemimpin daripada parti-parti komponen BN telah menyampaikan ceramah mengenai isu-isu politik semasa . Turut hadir YB. Hj. Sulaiman Bin Abdul Razak, ADUN Permatang dan Datuk Habibah Yusof, Ketua Pergerakan Wanita Umno Tanjung Karang, di program yang berlangsung di Padang Dewan Orang Ramai Kampong Raja Musa, Tanjung karang disini, pada Isnin malam (16 Julai).

Wednesday, July 18, 2012

Noh Omar Cabar MB Khalid Dan Exco Selangor

17 JULAI - Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata rancangan kerajaan Selangor untuk mengambil alih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) adalah satu taktik supaya rakyat menyalahkan syarikat pengedar tunggal air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai penyebab krisis air.

"Air tak ada kena mengena dengan SYABAS. SYABAS hanya jual air yang terawat," katanya selepas menyampaikan sumbangan moreh kepada surau-surau dan masjid-masjid kawasan Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Anggota Parlimen Tanjong Karang itu berkata kerajaan tadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba mempolitikkan isu air dan menyalahkan SYABAS.

Beliau yang juga menteri pertanian dan industri asas tani itu mencabar Abdul Khalid dan Exco Kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar supaya turun bersama-sama beliau untuk melawat paras air di loji-loji rawatan air di Selangor yang paras rizabnya berada pada tahap 2.4 peratus daripada 20 peratus yang sepatutnya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan yang menyedari keperluan bekalan air bagi menampung keperluan air yang meningkat di Lembah Klang dan tanpa mengira kepentingan politik telah menyediakan pelan mitigasi bekalan air berjumlah RM600 juta memandangkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum mendapat kelulusan pembinaan daripada kerajaan negeri.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu bekalan air yang semakin meruncing di Selangor perlu lebih diutamakan berbanding cuba mempolitikkan isu dengan mengumumkan pengambilalihan SYABAS.

"Saya turut terkesan dengan situasi air di Selangor kerana ia melibatkan seluruh penduduk di Lembah Klang.

"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sudah beberapa kali berunding dengan Tan Sri Abdul Khalid (mengenai isu air), dan saya dimaklumkan persetujuan telah diperoleh daripada beliau secara lisan, tetapi apabila dibawa ke mesyuarat Exco ia dibatalkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis tamat latihan Kursus asas Perajurit Muda Sukarela Siri Khas.

Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri seharusnya tidak menjadikan Selangor sebagai sebuah badan korporat.

Abdul Khalid harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kehendak parti yang diwakilinya, kata beliau.

"Sebagai tokoh politik (Abdul Khalid) diharap tidak jadikan ia satu keutamaan peribadi tetapi kepentingan rakyat (Selangor) sebagaimana dijanjikan dalam manifesto (pilihan raya) harus diberikan keutamaan," kata Ahmad Zahid.

Tuesday, July 17, 2012

Khalid Ibrahim Masih Mahu Bermain Air Walaupun Masalahnya Kian Kronik?

SYABAS sudah memberikan cadangan untuk membuat catuan bekalan air di seluruh Lembah Kelang bagi mengurangkan bebanan kekurangan bekalan air bersih di kawasan ini. Sedangkan Kerajaan Negeri Selangor pula, kelihatan sangat bersahaja dan langsung tidak menampakkan sebarang tanda-tanda gusar, seolah-olah bekalan air mentah dan bersih boleh diperolehi dalam jangka masa yang sangat singkat.

Kontroversi berhubung pembinaan Loji Sungai Langat 2 memuncak apabila Pakatan Rakyat Selangor yang diterajui oleh PKR, berusaha untuk merampas projek tersebut dengan pelbagai helah dan tipudaya, termasuklah dengan menyatakan pembinaan loji berkenaan akan menelan belanja yang sangat besar, sedangkan hakikatnya, Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu mengeluarkan walau sesen pun memandangkan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Untuk membolehkan Pakatan Rakyat mendapat sokongan daripada rakyat dan penduduk Selangor atau lebih tepat lagi untuk memperlihatkan bagaimana betul dan jujurnya Pakatan Rakyat, maka dicanangkan ke seluruh Selangor, tarif air akan dinaikkan jikalau Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan pembinaan loji berkenaan.

Barangkali menyangkakan rakyat dan penduduk Selangor akan lebih mudah dicucuk hidung apabila cerita tarif air dinaikkan, maka setiap masa dan setiap waktu, Khalid Ibrahim dan bala tentera propaganda memainkan cerita berkenaan.

Sedangkan hakikatnya, rakyat dan penduduk Selangor serta Lembah Kelang sebenarnya sedang berhadapan dengan krisis air yang sangat kronik. Manakala Kerajaan Pakatan Rakyat pula terus berdrama dan bercerita tentang kehebatan mereka menyelesaikan masalah air dengan air lombong, air longkang, air najis dan segala macam air yang lain.

Paling tidak masuk akal ialah apabila di sebalik mempercepatkan proses pembinaan Loji Sungai Langat 2 yang menggunakan wang Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor beriya-iya pula mahu mengambil air dari Tasik Kenyir di Terenggan menerusi sistem paip yang menelan belanja ratusan juta ringgit.

Catuan air yang akan dibuat oleh SYABAS nanti, pastinya akan menimbulkan pelbagai masalah termasuklah merencatkan pertumbuhan ekonomi selain menghentikan sama sekali perindustrian yang menjadi nadi serta penggerak ekonomi Selangor.

Khalid Ibrahim dan Pakatan Rakyat masih lagi bermain-main dengan masalah air di Selangor dan Lembah Kelang. Pakatan Rakyat masih lagi bermain retorik tentang masalah lain, berbanding mencari jalan penyelesaian secepat-cepatnya.

Sampai bila sebenarnya rakyat dan penduduk Selangor akan terus dipermain-mainkan oleh Pakatan Rakyat dengan isu air ini?

Sampai bila sebenarnya Pakatan Rakyat akan terus mengelak untuk bertanggungjawab dengan bekalan air yang semakin meruncing di Selangor dan Lembah Kelang?

Berapa lama lagi Pakatan Rakyat akan terus bertahan dengan cerita-cerita dongeng mereka terutama sekali bekalan air bersih dapat disalurkan dari punca-punca yang tidak munasabah seperti bekas-bekas lombong?

Atau barangkali Pakatan Rakyat yang sekarang ini sedang mendiamkan diri, sebenarnya mempunyai kaedah atau teknologi yang membolehkan mereka membina loji rawatan air dalam sekelip mata apabila mereka berjaya mengambilalih SYABAS?

Atau Pakatan Rakyat hanya akan membenarkan rakyat dan penduduk Selangor tidak lagi diganggugugat dengan ketiadaan air untuk mereka gunakan setelah projek dan Loji Air Langat 2 diserahkan kepada kroni-kroni Pakatan Rakyat khususnya dari PKR dan DAP?

Masa kian suntuk dan dengan pilihanraya umum yang semakin hampir, Pakatan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai sebarang solusi sebaliknya sangat berpuas hati apabila melihat Selangor dan seluruh Lembah Kelang berjaya dimundurkan seratus tahun ke belakang!

Sunday, July 15, 2012

"Saya buat bisnes udang sebelum jadi Menteri Pertanian, apa salahnya?" - Noh Omar

SHAH ALAM, 14 JULAI - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menjelaskan bahawa ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak dimilikinya sebelum dilantik sebagai menteri pertanian.

Justeru, beliau tidak nampak apa salahnya untuk mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang.

"Jadi, seorang menteri perumahan tidak boleh beli rumah. Apakah itu juga ditafsir sebagai konflik kepentingan?" katanya sebagai menjawab dakwaan konflik kepentingan atas kedudukan portfolio beliau, memetik laporan akhbar Sin Chew Daily.

Tambahan pula, jelas beliau, tanah itu bukan miliknya sendiri dan menjalankan perniagaan penternakan udang bersama dengan ahli perniagaan lain, ujar beliau melancarkan satu program Bank Pertanian semalam.

"Ini pun tidak boleh ke? Saya mesti menegaskan bahawa perniagaan ini dikongsi dengan orang lain. Ia adalah sesuatu yang saya lakukan sebelum saya jadi menteri. Saya membuat perniagaan itu bukan kerana Kementerian Pertanian, jadi apa yang salahnya?"

Beliau menjalankan perniagaan penternakan udang kerana ingin merasai kehidupan sebagai seorang petani dan atas beliau sendiri berminat dalam bidang pertanian.

Saturday, July 14, 2012

TERBARU.!!! Pendedahan isu kondominium Adun Sekinchan

TANJONG KARANG, 13 JULAI - Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar Jumaat mendakwa berlaku penyelewengan dalam dua projek perumahan di Sekinchan di sini, termasuk melanggar dasar yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata projek pembinaan Kondominium Sekinchan Perdana di sini dibina tidak mengikut dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang menetapkan setiap pembinaan di atas 0.4 hektar tanah hanya boleh membabitkan 60 unit rumah.

"Malah mengikut dasar itu, rumah yang dibina tidak boleh melebihi 12 tingkat," katanya ketika membalas salah laku ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim bersabit isu rumah kondominium yang dibinanya.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor, mendakwa pembinaan kondominium itu membabitkan 94 unit rumah dengan ketinggian 18 tingkat jelas tidak mengikut dasar yang ditetapkan JPBD.

Beliau turut mempersoalkan penjualan 24 unit rumah di Pangsapuri Damai di Taman Sekinchan Damai yang sepatutnya diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam tetapi dijual kepada sebuah syarikat swasta. - Antarapoz

Thursday, July 12, 2012

FOTO.!!! Demo GPRS Bantah Pentadbiran Kerajaan Selangor...Khalid Lari Beb....

SHAH ALAM, 11 JULAI - Kira-kira 200 orang mengadakan demonstrasi aman di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini, bagi membantah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa membenarkan penyelewengan berleluasa.

Bantahan tersebut yang bermula berkumpul di Dataran Shah Alam adalah anjuran NGO, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS).

Antara rasa tidak puas hati mereka, termasuk dakwaan salah tadbir urus melibatkan Universiti Industri Selangor (Unisel), Yayasan Selangor dan kemelut padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya.

Kumpulan itu kemudiannya berarak menuju ke bangunan SUK bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Abdul Khalid dengan membawa sepanduk dan kain rentang tertera “Kami Benci Pakatan Rakyat”.

Demonstrasi ini turut mendapat sokongan daripada beberapa NGO lain yang turut menyertainya. Antaranya, adalah Persatuan Bekas Veteran Tentera Malaysia, Waris Malaya, Belia 4B, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan juga beberapa kumpulan pendesak India yang mendakwa masyarakat itu terus dipinggirkan.

Dari tinjauan, mendapati mereka berang kerana mendakwa Abdul Khalid mengetepikan nasib kaum tersebut.

Sambil melaungkan “Khalid Bodoh” mereka mengegarkan pagar SUK dan melemparkan air botol minuman ke dalam kawasan SUK.

Dalam memorandumnya, GPRS mendesak kerajaan negeri Selangor memecat ahli politik Pakatan Rakyat yang menduduki Lembaga Pengarah Unisel kerana mempolitikkan institusi itu.

Mereka juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan laporan kewangan Unisel serta menyatakan jumlah kemasukan serta pelajar dari tahun 2008 hingga 2012.

GPRS yang diwakili oleh Zubir Zainuddin dan Mohammad Zainal Khamis menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Norzaton Aini Mohd Kassim.

"Kami mewakili rakyat seluruh Selangor yang tidak berpuas hati jadi kita menubuhkan satu gerakan iaitu Gerakan Prihatin Rakyat Selangor untuk menyampaikan ketidak puasan hati rakyat Selangor mengenai kepincangan, penyelewengan, dan penipuan yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Maka pada hari ini memorandum mengenai tiga isu, iaitu isu Unisel, penyelewengan Yayasan selangor, dan rampasan padang bola di Kelana Jaya," kata Zubir.

Mengenai penyelewengan Yayasan Selangor pula, kumpulan tersebut menuntut supaya seorang pengawai kanan Yayasan Selangor yang mengaku melakukan kesilapan kerana meluluskan peruntukan RM1.4 juta dipecat.
GPRS juga mendesak supaya kerajaan negeri mengembalikan Padang PKNS di Kelana Jaya kepada penduduk setempat. Katanya, Abdul Khalid wajar mengekalkan padang PKNS sebagai pusat rekreasi dan bukannya sebagai tapak projek komersial.

Turut hadir pada hari ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun, ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak, ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus, dan ADUN Sungai Pelek, Yap Ee Wah yang datang memberi sokongan kepada himpunan tersebut.

FOTO !! SELANGOR GEGAR DENGAN BILLBOARD NOH OMAR DAN PM.!!!

Kerajaan Negeri Takut Pada Billboard2 Noh Omar dan PM. Semua Billboard Noh Omar, PM Akan di Roboh oleh MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR Apa Salahnya Billboard Ini..?

Hanya sekadar paparan SELAMAT DATANG dan letak gambar Perdana Menteri..takkan nak jadikan isu...atau sekadar nak kona dari isu ketirisan dan kelemahan kerajaan Pakatan Selangor..? ke guana..?

PAS Selangor kena 'ngap' lagi dengan DAP...

Mana satu yang betul? Ini yang boleh peningkan kepala bila tiga pemimpin PAS Selangor memberi pendapat berbeza dalam isu peraturan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengasingkan lelaki dan wanita belum berkahwin ketika menonton wayang di daerah itu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pertahan keputusan MDKS tetapi ahli parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad kata itu hanya notis macam amaran larang orang Melayu Islam beli arak dan nombor ekor.

Ketua mereka, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman pula dakwa keputusan itu dibuat Jabatan Perlesenan MDKS sewaktu pengeluaran lesen dahulu dan belum dibawa ke peringkat mesyuarat penuh majlis.

Namun yang pasti cadangan dan pelaksanaan tersebut dibuat Ahli Majlis MDKS mewakili PAS.

Jadi ‘flip flop’ pula bila teliti kenyataan Khalid, Dzulkefly dan Dr Rani yang berbeza-beza itu.

Apapun, semua itu tidak lebih wayang PAS untuk jaga hati Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu yang arahkan pelaksanaan garis panduan pisahkan lelaki dan wanita belum berkahwin dalam pawagam ditangguhkan sehingga kajian menyeluruh mengenainya selesai.

Arahan itu dibuat selepas media melaporkan panduan baru yang diperkenalkan MDKS terhadap pengunjung panggung wayang milik Lotus Five Star Cinemas bertempat di pusat membeli-belah 1 Plaza.

Garis panduan itu menghendaki pengunjung lelaki dan wanita yang belum berkahwin agar diasingkan kedudukan tempat duduk ketika menonton wayang.

Peliknya, cepat sungguh Ronnie keluarkan arahan itu sedangkan dalam isu kebimbangan rakyat Selangor pasal rumah urut yang tumbuh macam cendawan selepas kerajaan PKR memerintah, wakil rakyat DAP itu buat-buat tidak dengar saja.

Bukan rahsia lagi beribu-ribu rumah urut terutama tanpa lesen di kawasan pinggir dan luar bandar naik satu demi satu sedangkan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, jumlahnya cuma beratus sahaja.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga jaga Hal Ehwal Agama Islam mengakui perkara itu selepas pendedahan Utusan Malaysia tidak lama dulu.

Beliau janji nak ambil tindakan tetapi hingga sekarang yang bertindak hanya polis dan pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Imigresen.

Dalam isu peraturan MDKS, Khalid masih tutup mulut kerana Ronnie awal-awal lagi sudah bersuara.

Amat menghairankan suara Ronnie buat pemimpin PAS akur saja padahal arahan itu berkaitan tuntutan agama yang melarang bukan muhrim berdua-duaan.

Sepatutnya PAS Selangor secara total menyokong peraturan itu lagipun ianya dicadangkan ahli majlis dari PAS selepas aduan orang ramai terutama ibu bapa yang membawa anak-anak menonton tetapi ada pasangan lelaki dan wanita pula ‘berlakon’ aksi tidak senonoh dalam pawagam.

Ini diakui sendiri Khalid Samad kerana katanya pawagam tempat awam bukan tempat pasangan memadu kasih.

Bila tiga pemimpin PAS ini ‘flip flop’, teringat kes Datuk Dr Hasan Ali dalam serbuan ke Gereja Methodist Damansara Utama tahun lalu.

Khalid dilihat menentang tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan isu itu berlarutan hingga akhirnya Dr Hasan kena pecat dari PAS dan gugur jawatan Exco Agama.

Kali ini, ahli majlis MDKS dari PAS yang kemukakan cadangan itu tentu kena ‘taram’ juga oleh PAS Selangor kerana dianggap memandai-mandai buat peraturan tersebut.

Silap haribulan, ahli majlis itu juga boleh digugurkan keahlian atau dipecat dari PAS.

Patut sangatlah Dr Hasan pening kepala masa jadi Pesuruhjaya PAS Selangor kerana banyak hal berkaitan kepentingan agama Islam diperkotak-katik oleh DAP termasuk isu rampasan jualan arak di tempat awam sekitar Shah Alam.

Bila Ronnie bersuara, arak dirampas boleh dipulangkan semula dan Dr Hasan terpaksa ‘berjabat tangan’ dengan Ronnie bagi menunjukkan PAS dan DAP ‘ngam’ tetapi sebaliknya PAS Selangor sudah kena ‘ngap’ dengan DAP.

Sekarang ramai nak lihat apa reaksi Khalid Ibrahim yang jaga Exco Agama.

Beranikah dia buat keputusan kekalkan peraturan itu serta kuatkuasakan di pawagam seluruh Selangor.

Jawapannya mungkin sudah ada kerana Menteri Besar itu tentu tidak mahu kena ‘ngap’ dengan Ronnie pula.

Maklumlah, kalau Ronnie akur keputusan PAS, beliau pula nanti kena ‘ngap’ dengan pengundi-pengundi Cina yang menyokong DAP.

Jadi kesudahannya dalam isu untuk jaga kepentingan Islam ini, PAS Selangor sekali lagi kena ‘ngap’.

Kalau hal-hal kecil begini sudah kena 'ngap'...beranikah ambil langkah yang lebih besar tanpa 'menyinggung' DAP?

Tuesday, July 10, 2012

VIDEO.!!! Amukkan Samurai Di Putrajaya Rupanya Blogger

Siapa sebenarnya yang mengamuk di Putrajaya itu? Nama yang digunakan adalah Jaya Negara. Penulisan terakhir di blognya bertajuk HIDUP DAN MATI....... apa yang dipertaruhkan.

Beliau adalah Khalil Afandi Hamid, pengganggur berusia 47 tahun dari Petaling Jaya bersama pasanganya berusia 28 tahun, bekas pelajar UIA tumpas setelah mengamuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.

Mereka menceroboh bangunan JPM tersebut sambil membawa pedang samurai.

Lelaki tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.

MB Selangor perlu perjelas semua isu di Dun

TANJONG KARANG, 9 JULAI - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menggunakan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), yang bermula hari ini, untuk menjelaskan semua isu berhubung pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang yang dipimpinnya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata Abdul Khalid tidak sepatutnya mengelak daripada menjawab semua dakwaan termasuk isu penstrukturan hutang antara Talam Corporation Bhd (Talam) dan kerajaan negeri.

Bila orang dakwa, kita perlu jelaskan. Seperti juga saya, bila orang dakwa dan tuduh, kita perjelaskan... kemudian jika masih berlaku isu berbangkit dan ia menjurus kepada fitnah, baru fikirkan langkah tindakan undang-undang.

Sebaliknya, beliau terus ambil tindakan enggan mengulas dengan alasan kononnya atas arahan peguam kerana mahu ambil tindakan undang-undang. Kita sebagai pemimpin kena bertanggungjawab dan berani menjelaskan sebarang dakwaan," katanya pada sidang akhbar media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid dalam satu sidang akhbar semalam yang bertegas tidak akan menggunakan persidangan DUN bagi menjawab isu Talam.

Noh berkata, Abdul Khalid juga sepatutnya membawa isu Talam ke Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi membuktikan ketelusan seperti yang sering diuar-uar dan bukan mendiamkan diri serta mengambil tindakan undang-undang.

Beliau juga berkata, Menteri Besar Selangor itu perlu menepati janjinya untuk menjawab beberapa isu yang dibangkitkan seperti pemberian kontrak secara rundingan terus dan laporan kewangan Universiti Selangor (Unisel).

"Banyak isu yang Abdul Khalid sebenarnya takut untuk dedahkan kerana bagi saya, dia telah kalah 2-0 apabila isu perbelanjaan Yayasan Selangor dan pasir yang pernah saya bangkitkan sebelum ini ternyata benar," katanya.

Pada Mac lepas, Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki mengakui wujud amalan kewangan yang lemah dalam penganjuran pelbagai kegiatan yayasan itu pada 2010, termasuk sambutan ulang tahun ke - 40.

Pengakuan itu dibuat pada pendengaran awam yang dikendalikan Selcat berhubung dakwaan yayasan tersebut berbelanja lebih RM1.4 juta untuk pelbagai acara pada 2010.

Noh turut mendakwa kerajaan Selangor enggan membawanya ke Selcat berhubung isu pasir yang dibangkitkan sebelum ini, walaupun beliau sedia mendedahkan maklumat berhubung skandal tersebut.

Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Parlimen Tanjong Karang

KUALA SELANGOR, 9 JULAI - Datuk Seri (Dr) Hj Noh Bin Hj Omar, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 bertemakan Guru Inovatif Transformasi Pendidikan Negara yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel D'Palma Kuala Selangor di sini hari ini.