Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, March 19, 2015

Farahdhiya sedia berumah tangga

PINTU hati wanita ini pernah tertutup rapat setelah dikecewakan oleh dua lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Terdetik dalam hatinya untuk terus menolak rasa cinta walaupun pernah beberapa kali perasaan itu menerjah ke jiwa.

Bagaimanapun, Farahdhiya sedar, meletakkan batas hati yang sengaja dibina tidak akan membuahkan sebarang hasil untuk hari muka.

Mengakui sedikit tercuit apabila melihat kebahagiaan teman sekelilingnya yang telah berkahwin, jendela hati penyanyi yang juga pelakon berusia 31 tahun ini sudah terkuak. Dia sudah bersedia untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.

"Rasa kecewa yang dipendam sejak dua tahun lalu banyak memberi ruang dan peluang untuk saya merehatkan diri daripada terus diburu soal cinta.

"Melihat rakan-rakan yang sedang bahagia meniti kehidupan berumah tangga, timbul perasaan untuk berkahwin kerana usia pun sudah mencecah 31 tahun," ujarnya tanpa keberatan berkongsi isi hati.

Suka lelaki Melayu

Mengimbas episod cinta luka yang pernah dilalui, Farahdhiya pernah dikaitkan dengan penyanyi tersohor, Datuk Hattan sekitar tahun 2006. Namun, hubungan itu tidak mampu bertahan lama kerana Hattan memilih untuk berkahwin semula dengan isterinya, Ariani.

Selang tidak lama kemudian, Farahdhiya dikatakan intim dengan seorang lelaki yang bergelar Datuk S. Kelibat Farahdhiya dengan lelaki tersebut terlihat ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan aktres Fasha Sandha pada tahun 2012. Bagaimanapun, fasa bahagia yang terbina itu juga terputus di tengah jalan.

"Semuanya telah berakhir. Kisah lama sudah menjadi sejarah dan tidak perlu diungkit lagi kerana saya bukan jenis orang yang suka menjilat ludah sendiri.

"Apa yang berlaku sukar untuk dijelaskan, namun saya yakin setiap yang terjadi pasti mempunyai sebab tertentu. Kalau boleh, saya enggan mengungkit cerita lama," tutur Farahdhiya bersahaja.

Menyifatkan fasa pencarian cinta selama lapan tahun yang tidak berkesudahan itu sia-sia kerana pemilik nama Farahdhiya Mohamed Amin tidak lagi percayakan istilah bercinta. Jika bertemu calon suami, Farah mahu menghadkan tempoh perkenalannya selama setahun sahaja sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.

Akui wanita yang lebih mesra dipanggil Farah itu, dia mahu lebih berhati-hati kerana takut dikecewakan sekali lagi.

Sering disifatkan sebagai wanita yang cerewet dalam kalangan sahabat baik, Farah akui meletakkan syarat terhadap lelaki yang ingin mendekatinya.

Walaupun memiliki darah kacukan Inggeris daripada sebelah ibunya, Farah mengakui yang dia lebih selesa didampingi lelaki Melayu untuk dijadikan peneman hidup.

"Lelaki itu mestilah seorang yang bijak membawa diri, bertubuh tinggi, tidak pengotor, gemar melakukan aktiviti sukan lasak dan rajin bersenam.

"Kawan-kawan baik selalu mengusik, mengatakan sampai bila-bila pun saya tidak akan berkahwin sekiranya bersikap terlalu cerewet dalam memilih pasangan," tuturnya sambil ketawa.
Artikel Penuh : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm