Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, November 1, 2008

Ayah Razak Baginda: "Kehidupan bermula semula" - Malaysiakini

Abdul Razak Abdullah Baginda (kiri) turun dari kenderaan selepas keluar bersama anak dan isterinya petang tadi.
mStar | Selepas sehari dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda terus 'diburu' media bagi mendapatkan kenyataan penuh beliau.

Wartawan mula menunggu di hadapan rumahnya hari ini di Bukit Damansara sejak pukul 9.30 pagi.

Sekali lagi Razak terus mengambil pendirian 'membisu'.

Semalam wartawan turut sehingga petang tetapi beliau hanya memberikan beberapa kenyataan ringkas, antara bersyukur dan "berpuasa di penjara selama 22 bulan."

Razak dilihat keluar bersama isterinya Mazlinda Makhzan kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan beberapa minit kemudian anaknya, Rowena juga keluar dengan menaiki kereta berasingan.

Rowena pulang kira-kira pukul 3.05 petang dan dilihat membawa barangan keperluan harian.

Melihat kumpulan wartawan yang menunggu di hadapan rumah mereka sejak pagi, bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda keluar menegur kumpulan wartawan yang menunggu kira-kira pukul 4 petang.
"Tahu tak Razak tak ada (di rumah)? Razak tak mahu bagi kenyataan lagi... nanti bila dia nak bagi kenyataan, dia akan beritahu media," katanya.
Abdullah juga memberitahu bahawa Razak keluar kerana mempunyai urusan.

Beliau kemudiannya memberikan minuman kepada kumpulan wartawan yang menunggu.

Ditanya tentang perasaannya apabila anaknya itu kini telah pulang kerumah kerana ditahan sejak 22 bulan yang lalu, beliau enggan mengulas lanjut.
"Biasalah, jangan tanya saya apa-apa... tanya Razak nanti," katanya.
Diajukan lagi sama ada beliau berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kepulangan Razak, beliau menjawab dengan ringkas sambil masuk semula ke dalam rumah: "Kehidupan bermula semula."

Lima minit kemudian, Razak pulang bersama isterinya.

Wartawan cuba menegur Razak bagi mendapatkan komennya, namun beliau sekadar menjawab ucapan salam yang diberikan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Razak daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Azilah dan Sirul membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

PM : Kekallah Sebagai Rakan Setia Dalam BN - Malaysiakini

"Kekallah sebagai rakan setia dalam Barisan Nasional (BN)" -- demikian pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Parti Bersatu Sabah (PBS), parti yang pernah beliau bantu untuk kembali ke pangkuan BN pada 2002 setelah meninggalkan gabungan itu 12 tahun sebelumnya.
"Saya sedar ini merupakan ucapan perpisahan saya. Saya tidak mahu putuskan hubungan dengan PBS walaupun saya berhenti.

Kita akan jumpa lagi, Insya-Allah, dalam pertemuan-pertemuan yang lain kerana saya akan tetap menjadi anggota Umno dan dengan itu anggota BN," kata beliau semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-23 PBS di Kota Kinabalu hari ini.
Abdullah telah mengumumkan beliau akan menyerahkan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.

Ketika mengimbas kembali peranan beliau dalam membawa PBS kembali ke pangkuan BN, Abdullah berkata:"Semasa saya menjadi timbalan presiden Umno, merangkap timbalan pengerusi BN, satu perkara yang terpahat di minda saya ialah saya tidak mahu melihat BN dan Umno serta parti lain sentiasa bertelagah dengan parti besar seperti PBS, yang dipimpin Datuk Joseph Pairin Kitingan, seorang Huguan Siou (Pemimpin Agung) masyarakat Kadazandusun di Sabah.
"Ini (kepulangan PBS ke pangkuan BN) adalah baik untuk perpaduan dan baik untuk rakyat Sabah.

Saya harap PBS akan terus berganding bahu dengan parti komponen BN lain bagi membawa negeri ini ke tahap lebih gemilang," katanya.
Dalam ucapan beliau sebelum itu, Pairin mengalu-alukan kehadiran Abdullah pada perhimpunan berkenaan dengan kata-kata: "Kalau bukan kerana Pak Lah, tak mungkin PBS dalam BN".

Ungkapan beliau itu disambut dengan tepukan bergemuruh oleh lebih 1,000 anggota perwakilan, yang kemudian berdiri beramai-ramai untuk memberi penghormatan kepada Abdullah.
"Terima kasih Pak Lah kerana begitu tekun berusaha demi rakyat miskin. Anda akan sentiasa dikenang kerana telah memberi lebih banyak kebebasan untuk bersuara, yang tidak sepatutnya disalah guna bagi menggugat keharmonian dan keselamatan," kata Pairin.
Beliau berkata Abdullah juga akan dikenang kerana memberi penekanan terhadap kebebasan beragama, pembaharuan dalam bidang kehakiman, memerangi rasuah dan ancaman dadah bagai seorang wira dan kerana memberi penekanan terhadap usaha mempersiapkan golongan belia bagi menghadapi hari muka.

Anggota perwakilan dari Kota Marudu Benson Gampawi berkata: "Pak Lah menjadi kesayangan PBS. Tanpa beliau, kami mungkin tidak berada dalam BN.

Beliau memang layak diberi penghormatan. Pak Lah adalah idola kami... yang membolehkan kami kembali berada dalam arena arus perdana politik."

Joos Galid, anggota perwakilan dari Kiulu, pula berkata Abdullah telah banyak berjasa kepada rakyat Sabah, terutama dalam melaksanakan pelan tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
"Beliau pemimpin yang berwawasan dan sederhana. Saya mengagumi beliau kerana beliau berpandangan jauh serta mempunyai wawasan bagi Sabah dan saya sedih beliau akan bersara tidak lama lagi."

Pencalonan sulung Jawatan Presiden UMNO untuk Ku Li - Malaysiakini

Akhirnya Tengku Razaleigh Hamzah dapat pencalonan sulung untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Pencalonan sebulat suara itu adalah dari bahagian yang diketuainya sendiri iaitu UMNO Bahagian Gua Musang yang bermesyuarat hari ini.

Tidak kurang menarik bahagian itu calonkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad sebagai Timbalan Presiden.

Naib Presiden pula bahagian itu calonkan bekas Naib Presiden Tan Sri Isa Samad, Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Affifudin Omar.

Perhimpunan agung Umno 24-28 Mac - Malaysiakini

Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam telah menetapkan perhimpunan agung Umno akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac depan.

Perhimpunan kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan jawatan tertinggi Umno.

Keputusan itu sekaligus menamatkan spekulasi bahawa tarikh pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Umno akan dipercepatkan kepada Disember.

Bercakap dalan sidang akhbar selepas mesyuarat MT, PresidenUmno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ekoran keputusan tersebut, bahagian Umno yang telah bermesyuarat, diminta menghantar laporan kepada ibupejabat Umno.

Menurutnya, mesyuarat MT semalam juga membincangkan tentang perbuatan melobi untuk merayu undi bagi calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi parti kali ini yang didapati berleluasa sekarang.

Berikutan itu, katanya, MT akan mengeluarkan arahan mengenai aktivit pelobi dan perayu undi yang mendorong perwakilan mengundi calon mereka dan jangan calon lain.
"Gelaja ini berleluasa berlaku di hotel-hotel dan tempat-tempat pertemuan," katanya.
Sehubungan itu, Abdullah memberi amaran kepada mereka yang terbabit supaya menghentikan segera perbuatan tersebut sebelum mereka dikesan oleh pemantau parti.