Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, January 22, 2009

Penduduk minta pantau jalan terbiar - Malaysiakini

Sebahagian penduduk di Lorong 1 Jalan RB, Kampung Haji Razali, Tanjong Karang, di sini memohon keprihatinan pihak berwajib memantau keadaan jalan di lorong berkenaan yang didakwa tidak sempurna sepanjang empat kilometer.

Difahamkan, jalan berpasir itu lecak dan licin setiap kali hujan sehingga menyukarkan penduduk setempat yang rata-ratanya warga emas untuk keluar ke jalan besar dan lebih menyedihkan, jalan berkenaan seperti terbiar begitu sahaja tanpa ditar selepas siap pada 1980 lalu.

Seorang penduduk, Ramlah Ahmad berkata, jalan yang digunakan setiap hari itu tidak ubah seperti jalan terbiar berikutan dipenuhi semak samun dan menyukarkan masyarakat setempat untuk menggunakan jalan berkenaan terutamanya pada waktu malam.

Menurut Ramlah, bukan lorong di sini sahaja terbiar begitu sahaja tetapi lorong di kawasan lain juga mengalami nasib yang sama termasuklah Lorong Haji Suratno dan Lorong Haji Salleh, bagaimanapun salah satu jalan di situ sudah ditar walaupun separuh jalan.
“Masalah ini sudah beberapa kali dikemukakan kepada peringkat pimpinan kampung sejak lebih 20 tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil lebih-lebih lagi tampuk pimpinan kerajaan negeri sudah berubah.

“Jika jalan diperbaiki, kami boleh digunakan sebagai jalan pintas ke jalan besar," katanya.
Ramlah berkata, rata-rata penduduk di sini memohon jalan ini diperbaiki untuk memudahkan mereka berulang alik ke pekan atau memudahkan masyarakat setempat hadir sekiranya ada majlis kenduri kendara yang dijalankan di sini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Misri Idris ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasat terhadap status jalan berkenaan sama ada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Pembangunan Luar Bandar (PLB).

Misri berkata, pihaknya akan mengenal pasti status jalan berkenaan bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur jalan sama ada ia di bawah Projek Jalan Kampung (PJK) PLB atau JKR kerana kalau dahulu, JKR yang melaksanakan kerja-kerja pembaikan di sini.
“Namun, kami akan menjalankan siasatan dalam tempoh terdekat ini,” katanya, semalam.