Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, May 7, 2015

Nelayan diserang botol kaca

Serpihan kaca yang bertaburan di dalam bot Lim.
SUNGAI BULOH, 6 MEI – Tindakan individu yang membaling botol kaca ke arah bot yang melalui perairan Jeram, di sini pada waktu malam menimbulkan tanda tanya nelayan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam bot Zon B sebelum dikejutkan kehadiran botol kaca yang dibaling dari pelbagai arah.

Nelayan yang ingin dikenali sebagai Lim, 55, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari jeti Bagan Sungai Buloh mahu mencari ikan seperti rutin biasa di perairan Jeram.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di satu tempat untuk memeriksa jaring yang dipasang, dia dikejutkan dengan balingan botol oleh tujuh individu yang tidak dikenali.

“Masa tu saya dalam bot dan pekerja sedang periksa jaring... tiba-tiba ada lebih kurang tujuh lelaki naik sampan menyerang dengan membaling botol sehingga serpihan kaca bersepah di dalam bot.

“Kawasan situ gelap dan kami hanya nampak samar-samar saja. Nasib baik kami tak cedera kena botol. Saya tak tahu apa motif mereka berbuat demikian seolah-olah mahu halau kami pergi dari situ.

“Tidak mahu kejadian buruk terjadi kepada kami sekeluarga, saya buat laporan polis,” katanya sambil memberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jeram.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perairan itu mendapati, tindakan segelintir individu yang membaling botol ke arah bot sebagai tanda amaran selepas mereka menceroboh perairan pesisiran pantai.

Seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, mungkin tindakan itu sebagai tanda protes nelayan pantai terhadap nelayan bot Zon B yang menceroboh kawasan pantai.

“Sebab banyak kali bot Zon B menceroboh kawasan pantai, kaut semua hasil termasuk anak ikan sehingga menjejaskan nelayan Zon A. Mungkin sebab tak tahan dihimpit kesusahan sebab hasil ikan tiada dan tindakan penguatkuasaan kurang pada waktu malam, mereka ambil tindakan sendiri,” katanya.

Seorang lagi nelayan dikenali sebagai Ibrahim berkata, tindakan baling botol bagaimanapun bahaya kerana boleh mengundang kecederaan.

“Janganlah ambil tindakan sendiri sedangkan kita ada saluran betul seperti lapor kepada Rakan Fish dan pihak berkaitan... Tapi memang patut nelayan Zon B diberi pengajaran supaya tak besar kepala dan pihak berwajib perlu lihat perkara ini dengan lebih teliti supaya isu sama tak berulang,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nelayan-diserang-botol-kaca-1.387185

No comments: