Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, May 16, 2015

Ini bukan Filem #LIBAS - 2 cedera ditetak parang

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Air Manis, Sabak Bernam. Gambar kecil: Khairul Fikry
SABAK BERNAM, 15 MEI – “Parang di tangan lelaki itu diacu tepat ke muka saya, mujur dia (suspek) tak libas,” cerita salah seorang daripada dua mangsa tetak di Taman Air Manis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Khairul Fikry Sunarno, 23, cedera di bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi mangsa iaitu isteri suspek cedera di kepala selepas ditetak lelaki berkenaan menggunakan parang.

Khairul Fikry berkata, dia bertindak mempertahankan dirinya selepas suspek mengacu parang ke arah mukanya, dan hanya sempat melaungkan takbir beberapa kali.

“Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk, dia macam dirasuk. Dia (suspek) kemudian alihkan parang dan melibas tangan kiri hingga saya meraung kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul yang menerima sembilan jahitan di tangannya berkata, isteri suspek turut alami mimpi ngeri apabila suspek bertindak kejam menetak bahagian kepala mangsa menggunakan parang hingga mendatangkan kecederaan.

“Mulanya berlaku perselisihan faham antara dia dan isterinya, saya yang berada di rumah itu cuma ingin leraikan pergaduhan. Tak sangka, saya juga diheret dalam kemelut ini,” katanya.

GAMBAR - FB I Love Sungai Besar
Khairul Fikry bertandang ke rumah mangsa selepas mengetuai rombongan pihak lelaki merisik anak perempuan mangsa kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

“Rakan saya merancang berkahwin dengan anak mangsa. Kami berbincang seperti biasa, sebelum mangsa mengadu hubungan dia dan suami bermasalah.

“Kata mangsa (sebelum kedatangan rombongan meminang), dia beberapa kali diugut,” katanya.

Katanya, setelah perbincangan dengan pihak lelaki, mereka ambil keputusan buat laporan polis, dan rombongan itu pulang ke rumah di Kampung Banting.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama anak perempuannya serta teman lelaki pulang ke rumah mereka di Taman Air Manis, Sabak Bernam.

“Dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suami. Suami mangsa kemudiannya menetak kepala isterinya itu di bahagian kepala dan menetak lelaki terbabit di bahagian tangan kiri dengan parangg,” katanya.

Akibat tetakan itu, mangsa dan lelaki itu mengalami luka dua sentimeter masing-masing di bahagian kepala dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden, Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang mengerakkan usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebagai pesakit luar dan memaklumkan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 324.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/cedera-ditetak-parang-1.390329

No comments: