Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, January 16, 2009

Bengkel Motosikal Bersama Juara Kebangsaan Dapat Sambutan Hangat - Malaysiakini

Hampir 500 penunggang motosikal di kawasan ini tidak melepaskan peluang untuk bersama Juara Expert Cub Prix Kebangsaan, Wazi Abd Hamid yang mengadakan Bengkel Motosikalnya di sini, hari ini.

Bengkel Motosikal tersebut yang dianjurkan Pemuda Barisan Nasional (BN) di Bilik Gerakan Jenteranya ternyata mendapat sambutan khususnya di kalangan penunggang muda yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama juara kebangsaan tersebut.
Wazi Abd Hamid Sedang Memeriksa Salah Satu Motosikal Yang Dibawa Salah Seorang Penunggang Motosikal
Selain mendapatkan khidmat penyelenggaraan, penunggang motosikal yang datang ke bengkel tersebut juga turut mendapatkan khidmat nasihat baik dari segi cara pengendalian motor hingga ilmu untuk menjadi juara.

Menurut Wazi menerusi program yang dianjurkan Pemuda BN ini beliau bukan sahaja dapat berkongsi ilmu dengan penunggang muda motosikal terbabit malah yang lebih penting mengingatkan mereka agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti berlumba haram.

Beliau yakin program seumpama ini serta pelbagai lagi aktiviti yang pernah dianjurkan kerajaan akan menyemarakkan lagi minat golongan muda dalam bidang permotoran.
“Ini adalah satu program sihat yang sesuai untuk golongan muda terutama menghindarkan mereka daripada gejala negatif”, katanya.
Bengkel motosikal ini dibuka kepada orang ramai sehingga Jumaat ini.

Lagi Gambar Terbaru Menanti Menjelang PRK Kt P.36 - Malaysiakini

SIAP SEDIA... Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak kertas undi yang diterima sebelum diedarkan ke Pusat Mengundi untuk proses pengundian pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri.

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berucap pada majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Masyarakat Tionghua di Kuala Terengganu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama menteri kabinet dan orang ramai menunaikan solat hajat selamatkan bumi Palestin di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Solat yang diimamkan oleh Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Abdul Halim Awang turut dihadiri Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Abuqutaish.

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (depan,kanan) menyiram air mawar pada pusara Allahyarham Datuk Razali Ismail di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim.

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (duduk tengah) dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (duduk lima kiri) bergambar bersama Anggota Jawatankuasa Persatuan Hainan selepas mengadakan perjumpaan dan menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada warga emas pada majlis perjumpaan dengan persatuan itu di Tokong Thean Hou di sini, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng (tiga kiri) dan Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (empat kiri).

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (kanan) beramah mesra dengan seorang peniaga ketika lawatannya ke Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini.

Kertas ‘No Ekor’ menghina Nabi - Malaysiakini

Biadab dan melampau. Perbuatan sindiket judi di bandar raya ini menggunakan kertas bertulisan selawat nabi untuk menyiarkan keputusan nombor ekor seolah-olah mahu mempersendakan kesucian Islam.

Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Azuani Ahmad, 36, berkata tindakan sindiket terbabit bukan saja memperlekehkan selawat nabi, tetapi juga seperti menghalalkan kegiatan perjudian apabila meletakkan kedua-dua keputusan nombor ekor dan selawat nabi di muka surat sama.

Menurutnya, dia menyedari perbuatan sindiket terbabit Selasa lalu apabila kertas itu diedarkan secara bebas sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran di Tampoi di sini.
“Awalnya saya dan beberapa rakan beranggapan kertas yang diedarkan itu risalah biasa bagi promosi jualan barangan. Ini berikutan kertas itu diedarkan secara percuma kira-kira jam 8 malam termasuk penduduk Islam.

“Mereka dipercayai mengambil kesempatan mengedarkan kertas judi itu di lokasi berkenaan kerana berhampiran sebuah kedai judi. Namun, kami tidak menjangka ia memaparkan keputusan nombor ekor.

“Kami tambah terkejut apabila kertas itu terkandung selawat menyampaikan hajat kepada Nabi,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Dia berkata, perbuatan itu bukan saja boleh memesong dan mencemuh selawat nabi, malah menimbulkan pandangan serong di kalangan pelancong khususnya orang Islam.

Katanya, selawat nabi tidak boleh digunakan untuk tujuan haram termasuk kegiatan perjudian.
“Selawat menjadi permohonan kepada Allah supaya memberikan keutamaan kepada doa dan dengan berselawat, kita boleh mendapat pelbagai manfaat.

“Sebaliknya, penggunaan selawat di kertas judi adalah dosa besar dan menunjukkan perbuatan orang cetek pengetahuan agama. Diharapkan Jabatan Agama Johor (JAJ) mengambil tindakan tegas terhadap sindiket nombor ekor berkenaan,” katanya
Sementara itu, jurucakap JAJ berkata, selawat adalah kemuliaan terhadap Nabi dan sewajarnya digunakan secara bersesuaian.
“Kalau ia terkandung pada kertas nombor ekor, itu bermakna masyarakat tidak menghormati Islam dan mengambil ringan kepentingan selawat berkenaan.

“Kami akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sesuai bagi menghentikan perbuatan terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam. - MyMetro

Keputusan pilihan raya KT jam 10.30 malam - Malaysiakini

Keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dijangka diperoleh selewat-lewatnya jam 10.30 malam, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berkata SPR mensasarkan 90 peratus daripada 80,299 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi esok.