Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, November 3, 2008

Raja Petra boleh dibenar jadi saksi kes Altantuya - Malaysiakini

Oleh : ARIFUDDIN ISHAK
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tidak ada sebarang sekatan bagi mana-mana tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Raja Petra Raja Kamaruddin untuk menghadiri sebarang prosedur mahkamah.
"Sememangnya tidak ada sekatan untuk mereka yang ditahan ISA untuk hadir di mahkamah," katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan yang dikemukakan Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan wanita Moggolia, Altantuya Shaariibuu yang ingin mendapatkan Raja Petra sebagai saksi pihak pembelaan.

Raja Petra yang kini ditahan di bawah ISA pernah mengeluarkan Akuan Bersumpah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Syed Hamid berkata jika ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi, pihak kementerian boleh memberikan kebenaran.
"Kalau ada (permohonan), boleh dapat kebenaran... boleh," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, sehingga semalam beliau masih belum menerima sebarang permohonan berhubung perkara tersebut.
"Belum ada lagi, saya belum dapat apa-apa maklumat. Mungkin sebab hujung minggu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Raja Petra akan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Namun beliau menafikan mengenai perkara tersebut.
"Tak ada... saya tak tahu pula khabar angin beliau akan dibebaskan," katanya.