Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, September 22, 2014

TERKINI.!!! KERTAS UPSR MATHEMATICS, BAHASA TAMIL DIBATALKAN, TARIKH BAHARU PEPERIKSAAN 9 OKT

Putrajaya  - Kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).

"Peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut," katanya dalam sidang media.

Katanya sebagai langkah serta merta, beliau sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam. ─ Berita RTM

Dihantar dari tablet Samsung

TERKINI.!!! Kertas UPSR Bahasa Tamil dan Matematik pula bocor?

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Selepas kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bocor, kini Lembaga Peperiksaan (LPM) mengesan dua lagi mata pelajaran yang turut mengalami perkara sama iaitu Matematik dan Bahasa Tamil.

Perkara itu didedahkan oleh pegawai kanan lembaga terbabit yang hadir membuat laporan polis berhubung kebocoran itu di sebuah balai polis di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, pihak Lembaga Peperiksaan khuatir kedua-dua kertas peperiksaan tersebut turut bocor dan meminta pihak polis membuat siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md, Isa ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu dan memberitahu, pihaknya akan membuat siasatan rapi berdasarkan laporan polis yang diterima.

"Kami terima laporan yang dibuat di Putrajaya itu dan setakat ini, perkara itu adalah maklumat terbaharu yang diberikan untuk melengkapkan siasatan.

"Siasatan berhubung perkara ini turut dilaksanakan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972," katanya, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Dihantar dari tablet Samsung