Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, July 26, 2012

TAZKIRAH RAMADHAN (Siri 1) - Apabila Bercakap Dia Sedang Berbohong

Banyak cara sebenarnya untuk 'membaca' seseorang sama ada dia seorang yang baik, jujur atau sebenarnya seorang pembohong. Seseorang yang gemar berbohong, biasanya sudah mempersiapkan pelbagai cerita sebelum berjumpa dengan orang yang akan ditemuinya. Namun, dalam hal tertentu seperti menjawab pertanyaan atau membuat pengakuan spontan, reaksi manusia berbohong sebenarnya boleh kita kenal pasti.

Berikut adalah tip-tip cara mengenali seseorang yang sedang berbohong:-

1. Nada suara
Biasanya dari intonasi vokalnya, anda akan tahu apakah perkataannya benar atau tidak. Sebagai sahabat atau pasangan, anda mungkin sudah mengenali bagaimana karakter seseorang itu melalui suaranya ketika memberi penjelasan.

2. Enggan berjumpa
Apabila anda mengajaknya keluar untuk bertemu, pasti dia akan banyak memberi alasan. Dengan tiba-tiba, tingkah lakunya berubah tanpa diduga. Mungkin kerana merasa bersalah, pembohong tidak suka berdekatan dengan orang yang dibohonginya.

3. Menyentuh hidung
Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ia membesar. Fenomena itu juga dikenali sebagai kesan pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

4. Menutup mulut
Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi, kita sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

5. Gagap
Apabila seseorang yang bercakap lancar tiba-tiba menjadi gagap, itu merupakan tanda-tanda bahawa dia sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya, tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan itu disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut sedang berbohong.

6. Pergerakan mata
Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu, sekiranya kerlipan mata berkurangan daripada kadar biasa, itu mungkin tanda berbohong. Ada juga keadaan yang mana sekiranya mata seseorang tiba-tiba mengerdip dengan banyak, itu merupakan tanda-tanda kemungkinan bahawa dia sedang berbohong. Kerlipan mata yang normal tidak menunjukkan dirinya berbohong.

7. Melengah-lengahkan jawapan
Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

8. Resah
Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk tatkala berhadapan dengan sesuatu soalan, kemungkinan itu merupakan seseorang sedang berbohong.

Hadith no. 88
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. [info]

Hadith no. 89
Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. [info]