![]() |
Sulaiman bersalaman dengan peserta Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang. |
Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak berkata, pendidikan modal insan amat penting selain proses pembelajaran biasa yang diterapkan dari peringkat tabika.
“Pembentukan sahsiah dan akhlak mulia bermula dari pra sekolah mahupun tabika penting bagi membolehkan anak kecil ini berdepan cabaran yang semakin membimbangkan.
“Ini kerana corak pemikiran anak muda sekarang cukup berbeza dan mudah terpengaruh dengan unsur fitnah serta sensasi yang menjadi viral media sosial sehingga tidak dapat membezakan baik dan buruk.
“Malah dunia mereka yang taksub dengan gajet terkini cukup membimbangkan sehingga lalai dan lupa dengan tanggungjawab sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang.
Tambah Sulaiman, ibu bapa cukup yakin dengan konsep pembelajaran yang diterapkan di peringkat tabika bagi memberi pendidikan awal sebelum memasuki alam persekolahan.
“Walaupun berdepan pesaing swasta yang semakin meningkat, namun saya yakin tabika akan tetap menjadi pilihan ibu bapa kerana lebih dekat dengan mereka.
“Malah sokongan kerajaan turut membantu meningkatkan prasarana, bantuan persekolahan dan menambah cawangan tabika di setiap daerah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/elak-anak-kecil-terpengaruh-viral-media-sosial-1.393000