Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 12, 2008

10,000 sertai Perarakan 'Baju Hitam' bantah buka UiTM kepada bukan Bumiputera

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

SHAH ALAM - Hampir 10,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi tadi bagi membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut, berusia lebih lima dekad, dibuka kepada bukan Bumiputera.

Tinjauan mStar Online mendapati penuntut UiTM telah mula berkumpul sejak 7.30 pagi untuk bergerak secara konvoi - menaiki bas UiTM, kereta dan menunggang motosikal bagi melahirkan pendirian bantahan mereka.

Pada awalnya pihak penganjur menjangkakan kira-kira 2,000 orang sahaja akan menyertai perarakan tersebut.

Perarakan yang diberi nama "Perhimpunan UiTM Di Hatiku" telah menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada wakil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor pukul 10 pagi.
"Kami mendesak agar Menteri Besar memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut (syor 10 peratus tempat di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera)," katanya.
Tindakan susulan termasuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan Canselor UiTM akan ditentukan selepas reaksi Khalid, kata beliau.
“Kita telah merancang pelan tindakan secara terpeinci. Susulan fasa kedua dan ketiga akan diteruskan termasuk memohon perkenan Tuanku Canselor (Tuanku Mizan Zainal Abidin) bertitah agar UiTM tidak diganggu,” katanya.
Bercakap kepada media di hadapan pintu masuk Bangunan SUK, Luqmannulhakim berkata pergerakan bantahan hari ini bukanlah atas desakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah atau mana-mana parti politik.

Tambah beliau agar isu pembukaan UiTM kepada bukan bumiputera tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk meraih simpati dan juga undi dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti.
“Kita melihat ini adalah taktik pihak tertentu menjelang pilihanraya kecil di Permatang Pauh nanti.

“Sekiranya tujuannya ialah untuk itu (politik), maka tolonglah hentikan kerana telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan khas untuk Bumiputera,” katanya.
Diminta mengulas mengenai pendapat yang mengatakan percampuran pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera akan mewujudkan satu persaingan yang sihat, beliau tidak bersetuju dengan pendapat itu.
“Saya amat tidak bersetuju kerana telah terbukti seperti apa yang berlaku di universiti-universiti lain setiap kaum tertentu hanya akan bergaul dengan kaum mereka sendiri.

“Ini bukan persaingan yang sihat. Keadaan ini lebih bahaya jika wujudnya perasaan mementingkan kaum sendiri walaupun belajar dalam satu institusi,” katanya.
Tegas beliau walaupun UiTM terdiri daripada kaum Bumiputera sahaja, tetapi para pelajarnya telah dididik untuk menghormati agama, adat dan kepercayaan kaum lain.

Diminta mengulas mengenai pembukaan UiTM kepada pelajar antarabangsa, beliau berkata tindakan itu adalah bagi kepentingan jangka masa panjang.
“Kepentingan kita diperingkat pelajar sekarang ialah agar dapat mewujudkan jaringan hubungan dua hala dengan pelajar antarabangsa pada masa-masa akan datang,” katanya.
Dr. Ibrahim dijadual mengadakan sidang media di pejabatnya di Shah Alam pada pukul 2 petang ini.

Sementara itu, penuntut UiTM yang membanjiri perkarangan Bangunan SUK bersorak melaungkan kata-kata seperti ‘selamatkan UiTM’, ‘UiTM untuk bumiputera’ serta ‘hidup UiTM’.

Mereka juga memegang sepanduk yang bertulis ‘kami pertahankan hak bumiputera’, ‘kami bantah buka UiTM kepada bukan bumiputera’ serta ‘UiTM hak bumiputera’.

Pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Ibrahim bagi memaklumkan tindakan mereka pagi ini.

Ketika dihubungi malam tadi, Luqmannulhakim berkata: "Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian."
"Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar," kata beliau.
Malah, pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.

Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.

Malah, tindakan ini hanya disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan.
"Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian," katanya.
Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.
"Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan," katanya.
Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.
"Sehingga malam ini (Isnin) kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok," katanya.
Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
Perhimpunan pelajar secara besar-besaran akan diadakan esok di Padang Kawad UiTM Shah Alam seawal pukul 7.30 pagi bagi mendapatkan tandatangan pelajar sebagai bantahan.

Sementara itu Naib Canselor UiTM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Maaf, saya tak dapat nak beri komen mengenai perkara ini sehingga Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau hanya akan memberi komen dalam sidang media khas yang akan diadakan di pejabatnya esok setelah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan.

Dalam pada itu, mStar Online gagal mendapatkan komen Khaled berhubung isu ini.

Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.

Bagaimanapun, kata Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.