Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, March 8, 2011

2 beradik rentung dalam kemalangan di Tanjong Karang

Keakraban dua beradik bekerja di tempat sama sebagai pegawai pertanian berakhir dengan kematian tragis apabila kedua-duanya rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 57.5, Jalan Klang-Teluk Intan-Tanjung Karang, kira-kira 11 pagi semalam.

Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Selangor selepas sama-sama menghadiri kursus berkaitan pekerjaan mereka di Tanjung Karang.

Dalam kejadian itu, Mohd Fauzan Mohd Ayob, 20, dan abangnya, Khairul Amri, 26, yang memandu kereta rentung di tempat kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim, berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit, lelaki berusia 30-an, turut cedera.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Khairul Amri dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan bertentangan gagal mengelak dan merempuh kereta mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

“Kedua-dua beradik itu gagal menyelamatkan diri. Pemandu pacuan empat roda terbabit terselamat selepas dikeluarkan orang ramai di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam. - myMetro