Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, April 30, 2014

Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam Selangor (Paysa) di Parit Empat - Tidur di dewan makan, surau

TANJONG KARANG - Gara-gara kemudahan yang tidak mencukupi, ruang dewan makan dan surau dibahagikan menjadi tempar tidur, menelaah pelajaran serta tempat berehat bagi penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam Selangor (Paysa) di Parit Empat, di sini.

Difahamkan, pembinaan bangunan asrama bagi penghuni perempuan dan lelaki sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan berikutan kekangan modal dan dana yang hanya diperoleh melalui sumbangan.

Sebelum ini, Pengurus Paysanya, Fadilatul Saadiah Siraj menjelaskan, pelbagai usaha dilaksanakan Allahyarham suaminya untuk mendapatkan dana tambahan bagi  pembinaan asrama lima bilik termasuk menerima batu bata terpakai yang masih elok hasil sumbangan individu prihatin.

Menurutnya, atas dasar minat, tanggungjawab dan prihatin dengan nasib anak yatim mendorong Allahyarham suaminya tekad merancang sekali gus menubuhkan pertubuhan ini di atas tanah miliknya bagi membantu merubah hidup golongan kurang bernasib baik.

"Tanah yang masih kosong sudah diperuntukkan untuk membina asrama memandangkan kemudahan lain seperti dewan makan dan surau sudah ada meskipun tidak sempurna, namun kami bersyukur dengan segala yang ada yang juga hasil bantuan orang ramai dan agensi berkaitan.

"Saya memohon keprihatinan orang ramai, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat supaya dapat tampil membantu penghuni di sini," katanya.

Orang ramai yang prihatin boleh menghubungi  Fadilatul Saadiah di talian 0194103479 untuk membantu penghuni Paysa yang terdiri dari anak yatim dan miskin.

BERITA TERTUNDA... Kafe Siber berhampiran Masjid Ar Raudhah, Pekan Tanjong Karang, musnah terbakar

Lari bertempiaran selamatkan diriTANJONG KARANG (26/04/2014) - Sebuah kafe siber berhampiran Masjid Ar Raudhah, Pekan Tanjong Karang, di sini mengalami kerugian hampir RM70,000 setelah musnah terbakar dalam satu kebakaran dalam kejadiran jam 5.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, bunyi letupan kuat mengejutkan beberapa remaja yang leka bermain permainan video di kafe siber itu sebelum lari menyelamatkan diri.

Difahamkan, bunyi letupan itu dipercayai berpunca dari litar pintas di bahagian belakang berhampiran tandas yang cukup kuat sebelum disusuli kepulan asap memenuhi ruang kafe siber terbabit.

Pekerja kafe siber, Faizal Johari, 28, berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang tiba-tiba dan ketika kejadian, ada beberapa remaja leka menggunakan komputer.

"Tak fikir panjang, kami semua terus keluar selamatkan diri dan sempat hubungi pihak bomba serta pengurus kedai untuk beritahu kedai terbakar.

"Nasib baik tak ada siapa yang cedera. Semua peralatan rosak dan kerugian mungkin hampir RM70,000," katanya.

Manakala seorang pekerja kedai makan, Hasmah Mohd Said, 47, berkata, jeritan rakannya yang ketika itu berada di bahagian dapur mengejutkannya yang sedang mengemas ruang depan kedai.

"Saya terkejut bila dengar kawan jerit ada asap tebal keluar dari bahagian atas kedai kafe siber sebelah kedai makan itu. Saya pun cepat-cepat jenguk belakang kedai.

"Waktu itu kami panik dan tak tahu nak buat apa-apa. Tapi cepat-cepat keluarkan tong gas dari dapur sebab takut api merebak sehingga ke kedai makan. Tapi Alhamdulillah, tindakan pantas pihak bomba yang datang tak lama selepas itu berjaya padamkan api," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi yang juga Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohammad Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 5.38 petang.

Menurutnya, jentera bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang tiba ke lokasi kejadian tiga minit selepas panggilan manakala jentera di Sekinchan tiba 10 minit selepas itu.

"Seramai 17 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran dan siasatan awal mendapati, kebakaran itu berpunca dari lihat pintas serta pendawaian komputer.

"Kita berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit dan memandangkan kawasan kebakaran di deretan kedai tepi jalan, kedai berhampiran turut disiram di bahagian tertentu bagi menggelakkan api merebak," katanya.

Monday, April 28, 2014

LIPUTAN MEDIA... #Presiden Barack Obama melawat Masjid Negara Kuala Lumpur

Presiden Barack Obama meluangkan masa melawat ke Masjid Negara Kuala Lumpur. Beliau turut melawat ke Makam Pahlawan yang terletak di Masjid Negara, pada Ahad, 27 April 2014.

YBhg. Tan Sri Syeikh Ismail bin Muhammad, Imam Besar Masjid Negara turut mengiring Presiden Amerika Syarikat sepanjang sesi lawatan selama 20 minit itu. - JAKIM

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, April 17, 2014

KARPAL SINGH MAUT KEMALANGAN

IPOH - Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan pembantu peribadinya maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Ng Kong Soon berkata Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.

Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya. - Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.