Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 11, 2008

DASAR AJAR MATEMATIK DAN SAINS GUNA BAHASA INGGERIS GAGAL

Sedutan rencana Anggota Parlimen Rembau, Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin, di akhbar Malaysia, New Straits Times, baru-baru ini.

HAMPIR setahun telah berlalu sejak saya menyarankan, semasa membahaskan usul berkaitan pendidikan di perhimpunan agung Umno, agar dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris disemak.

Saya membuat saranan itu berdasarkan maklum balas daripada aktivis akar umbi dan beberapa siri bantahan terhadap dasar itu sejak ia diumumkan perdana menteri sebelum ini.

Pada masa itu, dan juga sekarang, saya berpendapat dasar separuh masak itu kekurangan analisis rapi, selain merupakan satu lagi usaha menyelesaikan secepat mungkin satu masalah serius yang memerlukan perubahan besar struktural.

Laporan Study reveals policy's flaws (NST, 7 September) memberi gambaran baru untuk mewajarkan kesangsian saya mengenai dasar tersebut.

Saya berpendapat kajian yang dijalankan Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kajian-kajian lain membabitkan pelajar sekolah menengah menunjukkan adanya masalah serupa yang perlu dilihat secara teliti dan mungkin menjadi bukti penting dalam mencondongkan perbahasan mengenai isu ini sedang kerajaan berjanji menyemak pelaksanaannya tahun depan.

Atas dasar kejelasan, dan mungkin saya dituduh sebagai berfikiran mundur, saya ingin menekankan lagi bahawa saya yakin sebilangan besar warga Malaysia sependapat bahawa penguasaan kukuh bahasa Inggeris penting bagi semua lulusan sekolah.

Ini agar mereka mudah memahami dan menyerap ilmu-ilmu yang banyak terkandung dalam buku-buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris di peringkat tinggi, atau bagi siswazah bersaing di pasaran buruh.

Bahasa Inggeris kini menjadi syarat asas bagi pelajar dan pemohon kerja dalam dunia yang semakin global, dengan bahasa itu kini bahasa perantaraan utama.

Isu ini bukanlah mengenai pentingnya bahasa Inggeris. Ia memang penting dan sistem pendidikan kita mestilah beriltizam menjadikan pelajar kita fasih bahasa Inggeris.

Malah, semasa perbahasan Umno, saya menggesa orang Melayu supaya mencontohi masyarakat lain di Malaysia yang kian menguasai dwibahasa, atau mungkin tiga bahasa.

Isu sebenar di sini adalah bagaimana mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak kita. Saya amat yakin caranya bukan dengan dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Hasil kajian UPSI membuktikan kebimbangan saya benar dan mendedahkan hakikat tentang masalah yang dihadapi pelajar ekoran dasar lemah ini.

Khususnya, kesan dasar ini terhadap pelajar Melayu di sekolah kebangsaan, terutama di kawasan luar bandar dengan latar belakang sosio-ekonomi rendah, amat besar sekali.

Dasar ini bukan hanya tidak mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris pelajar bahkan menjejas pemahaman mereka akan konsep-konsep Matematik dan Sains.

Tambahan pula, masalah dan kelemahan dasar ini tidak hanya terbatas pada satu masyarakat saja.

Kajian itu mendapati golongan yang meraih keuntungan daripada dasar itu adalah sekumpulan kecil pelajar Melayu daripada keluarga kelas pertengahan tinggi yang belajar di sekolah baik dan di kawasan bandar.

Ia menunjukkan juga pelajar Cina turut menghadapi masalah apabila mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, membuktikan masalah ini menjejas semua kaum.

Dalam usaha kita merapatkan jurang bandar dan kampung, jurang miskin dan kaya, sedih melihat pelajar-pelajar sekolah kebangsaan, kebanyakannya di kawasan luar bandar dan keluarga sosio-ekonomi rendah, tidak meraih manfaat di bawah dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Rumusan penuh kajian itu juga mengesahkan bukti-bukti anekdot bahawa satu masalah utama ialah para guru sukar mengajar dalam bahasa Inggeris dan akibatnya pelajar sukar memahami pelajaran yang diajar guru mereka.

Saya sependapat juga dengan pandangan kajian itu bahawa lebih baik memberi lebih banyak masa, kakitangan dan wang bagi pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah daripada mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Saya menulis kepada akhbar New Straits Times pada November tahun lalu, menggesa ditingkat segera pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah kita.

Tetapi caranya bukanlah melalui satu dasar yang bukan hanya tidak membantu mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita bahkan menjejas serius keupayaan mereka belajar Matematik dan Sains.

Sudah masanya kita mengetepikan dasar ini kerana kegagalannya, dan belajar daripada episod ini mengenai dasar lemah dan tidak bijak, walaupun saya anggap ia mempunyai niat yang baik.

TV, radio perlu saingi kepantasan blog dan sms

Kepantasan media elektronik seperti radio dan televisyen dalam menyampaikan maklumat kini amat penting bagi mengimbangi kepantasan penyebaran maklumat oleh blog dan sms, kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf.

Ini kerana, katanya, radio dan televisyen serta media cetak tetap memainkan peranan penting bagi menyebarkan berita dan maklumat.
"Sudah pastinya apa yang disebarkan oleh media kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) adalah sesuatu yang benar, sahih dan tepat, dan bukannya mempunyai elemen sensasi yang belum boleh dipastikan seperti melalui sms, blog dan sebagainya.

"Ini kerana masyarakat selama ini pun memang telah sinonim sebagai apa yang disiarkan oleh RTM sebagai benar, tepat dan sahih," katanya di majlis pelancaran Chery Eastar MPV dan perasmian program visual radio 'Roadshow Oghok Pikuk Negerifm' di Seremban, malam semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Penyiaran negeri (Negerifm) Norbaiyah Baharuddin dan Pengurus Besar CE Distributions Sdn Bhd Raymond Chew.

Pada majlis itu, CE Distributions Sdn Bhd menaja sebuah kereta Chery Eastar MPV untuk kegunaan stesen radio, Negerifm.

Sementara itu, Kamaruddin menganggap perkongsian pintar di antara Negerifm dan CE Distributions Sdn Bhd sebagai suatu inisiatif yang amat baik ke arah memantapkan lagi fungsi radio kerajaan yang bertujuan menyebarkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat.
"Langkah ini akan membolehkan Negerifm semakin mendekati rakyat. Ini kerana melalui unit bergerak ini, penerbit dan kru liputan akan dapat sampai ke sesuatu lokasi berlangsungnya acara penting anjuran kerajaan dan sebagainya.

"Dari situ kru liputan akan dapat memberikan liputan secara lintas langsung (cross over) terus kepada siaran radio Negerifm," katanya.
Katanya pendekatan sebegini akan menjadikan peranan radio khususnya Negerifm terus relevan kepada masyarakat dan mampu bersaing dengan stesen radio swasta, disamping kemudahan sms dan blog yang berjaya mencuri minat dan perhatian masyarakat masa kini.