Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, December 11, 2008

Setiausaha kerja UMNO Pahang maut nahas - Malaysiakini

Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang Datuk Abdullah Rahmat, 51, maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas setelah terlanggar seekor lembu dalam kemalangan di km92 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Lanchang pada 9.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dan apabila tiba di tempat kejadian telah terlanggar seekor lembu yang melintas dari arah kiri ke kanan lebuh raya itu.
“Selepas melanggar lembu berkenaan, pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan dengan keempat-empat roda ke atas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh.

Dua lagi rakan mangsa yang berasal dari Kuantan, Ahmad Kamal Abdul Malek, 50, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hoshah, manakala seorang lagi, Mohd Fazzri Mohd Amri, 22, hanya cedera ringan.

Ahmad Fadzillah berkata sejurus kemalangan itu, sebuah kereta lain jenis Perodua Kelisa dari Kuala Lumpur menuju Kuantan turut terlanggar lembu yang mati di tengah lebuh raya itu sebelum terbabas, bagaimanapun pemandunya, Sahlan Mat Nor, 22, hanya cedera ringan.

Jenazah Allahyarham Abdullah dihantar ke kampungnya di Pulau Tambun, Pekan pagi ini dan dijangka dikebumikan selepas Zohor ini.

Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah - Malaysiakini

"DAULAT TUANKU...DAULAT TUANKU...DAULAT TUANKU....SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN KEPUTERAAN SULTAN SELANGOR KE 63.....SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN"

Kita boleh menang dan mahu menang kata PM - Malaysiakini

Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa parti itu bekerja keras jika ingin memenangi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada bulan depan.
“Kita mahu menang. Kita mahu menang. Kita mesti ada keyakinan, sebab itu kita kata boleh menang. Kita ada sokongan kuat dan kita perlu bekerja keras,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu lebih tiga jam semalam.
Majlis Tertinggi BN bagaimanapun belum membincangkan calon yang bakal menghadapi saingan sengit PAS. Tambah Abdullah, yang juga presiden Umno, berkata parti itu akan mengumumkan calonnya dalam masa yang terdekat.BN akan berdepan dengan calon PAS yang ghairah merampas kerusi tersebut selepas tewas tipis dengan 628 undi dalam pilihanraya umum lalu.
Ditanya oleh wartawan sekiranya ada pengundi akan beralih arah untuk menyokong pembangkang, beliau berkata: ”Tidak buat masa sekarang. Awak tahulah politik, awak tidak dapat meramal bagaimana pengundi ingin beralih arah. Mereka mempunyai kecenderungan beralih arah sekalipun pada minit-minit terakhir, sama ada ke arah kita (BN) atau lawan.”

Kedudukan jambatan kekal terpaksa diubah ekoran protes penduduk - Malaysiakini

Kedudukan jambatan kekal yang dicadangkan sebelum ini terpaksa diubah ekoran protes penduduk di kawasan berkenaan. Sementara itu, jambatan taktikal yang dibina sejak Ahad terus menjadi nadi yang menyambungkan jalan yang terputus akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu lalu. Jambatan ini menyambungkan Taman Bukit Mewah dengan Riverdale Park Apartment bagi membolehkan penghuni yang terkandas keluar dari pangsapuri mereka.

Terlajak perahu boleh diundur - Malaysiakini

Perhatian kini bertumpu kepada Parti Progresif Rakyat (PPP) setelah pucuk pimpinan Barisan Nasional tidak peduli pada ‘ gertak’ presiden parti itu Datuk M Kayveas nak keluar jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum pilihan raya umum Ke-13.

Ini adalah kali pertama BN bersikap tegas terhadap parti gabungannya yang cuba buat perangai selepas ia berdepan dengan tsunami politik para pilihanraya umum Mac lalu.

Kalangan para pemerhati politik tidak terkejut dengan kenyataan bersahaja Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN Selasa menyerahkan kepada PPP memilih jalannya sendiri jika tidak setuju dengan ISA.

Para pimpinan UMNO dikatakan sudah muak dengan tindak tanduk kalangan parti komponen yang cuba membuat berbagai tuntutan keterlaluan kerana mengandaikan parti yang menjadi tunjang BN itu sudah lemah akibat badai tsunami pilihanraya umum lalu.

Mereka dikatakan merasakan jika BN tidak bertindak tegas pada tindak tanduk parti komponen seperti ini berbagai isu dan tuntutan lain yang tidak ada penghujungnya akan terus berbangkit dari masa ke semasa.

Lagipun UMNO sebagai sebuah parti sebenarnya tidak mengalami pukulan seteruk parti-parti komponen BN lain iaitu MCA,MIC,Gerakan dan PPP semasa pilihanraya umum lalu.Sebaliknya mereka cuba menuding jari kearah UMNO untuk menutup kelemahan masing-masing.

PPP sendiri kini tidak mempunyai sebarang kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.Kayveas sendiri tewas di kerusi parlimen Taiping yang dimenanginya semasa pilihanraya umum 2004.

Apakah Kayveas sedia berpegang kepada kata-katanya dengan mengucapkan selamat tinggal kepada BN ?

Ibarat kata 'terlajak perahu boleh diundur...terlajak kata buruk padahnya'.

Juga bagaimana pendirian kalangan pimpinan PPP yang lain dalam isu yang besar ini?

Rabu sekurang-kurangnya sudah terdengar ada suara yang mempersoalkan Kayveas.

Penasihat PPP, S.I. Rajah menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Kayveas mengenai ISA merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP akhir bulan lalu merupakan pandangan peribadinya.

Katanya Presiden PPP itu sepatutnya mendapatkan persetujuan para ahli akar umbi parti itu terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan seumpama itu.

Menariknya Rajah menegaskan PPP tidak akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebaliknya mencadangkan Kayveas meletakkan jawatan.
“Sebagai penasihat parti dan bekas senator, saya telah bertemu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen pagi ini dan memberikan jaminan PPP tidak akan meninggalkan BN,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu difahamkan Kayveas yang kini berada di Amerika telah mengarahkan pimpinan PPP mengadakan satu mesyuarat khas hari ini (Khamis) untuk membincangkan mengenai kedudukan parti itu dalam BN.

Seorang pemimpin kanan parti itu telah dipetik sebagai berkata mereka akan mengeluarkan satu kenyataan selepas mesyuarat berkenaan.