Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 4, 2015

Helikopter awam terhempas di Semenyih, 6 maut

KUALA LUMPUR - Sebuah helikopter awam dilaporkan terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih pada petang tadi.

Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata jumlah penumpang belum dapat dipastikan, lapor The Star.

Pasukan bomba Kajang dilapor telah dihantar ke lokasi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam Twitternya menyebut bahawa ada enam penumpang di dalam helikopter tersebut.

Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.
"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan juga kejadian ini melibatkan orang kenamaan.

Kesemua enam mayat mangsa nahas helikopter telah ditemui namun identiti mereka belum dapat dipastikan, kata Pengarah Bomba Selangor sambil menambah bahawa proses mengeluarkan mayat mungkin selesai 9.30 malam ini.

Dalam pada itu, seorang saksi mendakwa melihat helikopter malang itu meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang tadi.

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan yang ketika itu berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.

"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang tadi.
Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/helikopter-awam-terhempas-di-semenyih-6-maut-57088