Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 21, 2015

PPAS Tanjong Karang perlu perhatian

Tingkat satu yang dipenuhi sampah dan perabot lama.
TANJONG KARANG, 18 JUN - Bangunan Wisma Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Tanjong Karang, di sini yang didakwa kotor dan tiada penyelenggaraan perlu diberi perhatian pihak berwajib.

Lebih menyedihkan, bangunan tiga tingkat yang menempatkan satu-satunya Perpustakaan PPAS cawangan Tanjong Karang itu agak suram sehinggakan ramai tidak menyedari kewujudan perpustakaan itu di tingkat dua.

Ada yang menganggap perpustakaan itu sudah ditutup berikutan banyak lot kedai di tingkat satu dan bawah kosong dipenuhi sampah dan bekas perabot rosak yang berselerak milik penyewa.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan terbabit mendapati, perpustakaan awam masih dibuka seperti biasa sejak 1983, bagaimanapun keadaan bangunan yang seperti diabaikan menyebabkan ramai tidak tahu.

Lebih-lebih lagi bangunan yang sebelum ini menjadi mercu tanda Pekan Tanjong Karang itu dipenuhi lot kedai kain, pakaian, kosmetik bagaimanapun berpindah ke tempat lain dan hanya tinggal itu sahaja.


Kecewa perpustakaan tiada sambutan

Seorang guru agama, Azimah Mohd Yasir, 42, yang sering mengunjungi perpustakaan itu cukup kecewa dengan keadaan kemudahan awam yang terpinggir selain kawasan sekeliling yang tidak memuaskan.

“Saya sering ke perpustakaan ini untuk pinjam buku dan adakan aktiviti bersama pihak perpustakaan. Kiranya datang sini dalam tiga hingga empat kali seminggu.

“Memang kecewa bila tengok keadaan perpustakaan yang perlukan banyak penyelenggaraan, malah ramai tak tahu perpustakaan ini masih dibuka sebab banyak lot kedai tutup," luahnya.

Menurutnya, terdapat banyak sampah di tingkat dua bangunan tersebut selain perabot bersepah di tingkat satu seperti tiada orang bersihkan selepas penyewa berpindah tempat lain.

Katanya, sebab itu mungkin ramai berpendapat perpustakaan tutup dan terpaksa cari buku ke perpustakaan yang ada di Kuala Selangor atau Shah Alam.

Sementara itu, Faridah Abd Rahim, 56, berkata, dia berharap pihak berwajib dapat meninjau keadaan bangunan Wisma PPAS yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kalau boleh, baik pulih siling yang rosak, selenggara penghawa dingin sebab orang nak datang baca pun tak selesa sebab panas. Buku yang ada kena tambah dan laluan nak masuk pun kena bersihkan.

“Kalau kotor bersepah, orang nak datang pun takut sebab macam bangunan tinggal. Memang tingkat dua tak bersepah seperti tingkat satu dan bawah, tapi kena jaga semua itu,” luahnya.


Masih tunggu peruntukan

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan daripada pihak PPAS Cawangan Tanjong Karang berhubung aduan dan rungutan penduduk setempat yang tidak selesa dengan keadaan bangunan berkenaan.

Sumber berkata, pihak perpustakaan masih menunggu peruntukan yang dimohon kepada kerajaan negeri untuk kerja baik pulih dan pengubahsuaian bangunan di Wisma PPAS itu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu jawapan memandangkan sehingga kini masih tiada perkembangan positif.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/ppas-tanjong-karang-perlu-perhatian-1.402157

Wednesday, June 10, 2015

Pemandu lori maut kemalangan berhampiran Kedai Cendol Borhan

Lori yang dipandu mangsa rosak teruk di KM 52 Jalan Klang-Teluk Intan
TANJONG KARANG | 8 JUN – Seorang pemandu lori maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan di KM 52 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Kedai Cendol Borhan, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa bersama kelindannya dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Tanjong Karang menaiki sebuah lori jenis satu tan yang membawa muatan barangan rumah.

Bagaimanapun mangsa, Mohd Faiz Ihsan Ishak, 30, dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Manakala kelindan, Harun Daud, 47, dan pemandu kenderaan jenis pacuan empat roda, Nor Ikhwan Mohamad Mor, 32, dilaporkan mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama.

Lori mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan beberapa bahagian lain manakala kenderaan jenis pacuan empat roda itu mengalami rosak teruk di bahagian kanan hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan terbabit dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk bertemu Pegawai Polis Trafik, Inspektor Mohd Nor Azman Hussin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang diketuai Komander Operasi, Asmuri Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 4.04 petang.

“Seramai enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa kemalangan sebaik saja menerima panggilan, tiada masalah memindahkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-lori-maut-kemalangan-1.398980