Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, June 10, 2008

Bekalan Lintah Dari Usahawan Lintah

Mukhriz bukan sesiapa

Mukhriz Mahathir hanya Ahli Parlimen seperti ahli-ahli parlimen lain di Malaysia. Bukan nama yang mempunyai keistimewaan tertentu. Tanpa nama Mahathir, Mukhriz hanya ahli biasa tanpa ada apa-apa keistimewaan yang perlu dibanggakan. Namun hari ini Mukhriz dengan nada bapanya Mahathir bertindak menyimpang, menekan dan terus menghambat UMNO tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap UMNO. UMNO memerlukan penyatuan ahli-ahli dalam usaha untuk mengembalikan kekuatan untuk terus memperjuangkan nasib bangsa kini berdepan dengan suara-suara sumbang Mukhriz.

Kritikan beliau sungguhpun kritis tetapi menyakitkan. Mukhirz di lihat mengambil kesempatan di atas kelemahan UMNO, parti beliau sendiri. Mukhriz meletakkan bahawa beliau seolah-olah seorang Perdana Menteri ataupun Ketua Pemuda, beliau menyerang partinya habis-habisan, seolah-olah parti tersebut tidak pernah berbudi walau sekelumit pun kepada beliau dan keluarganya.

Mukhriz, kalau boleh diumpamakan sebagai seorang kawan, beliau bukan kawan yang baik. Kawan yang baik tidak akan meninggalkan kawan-kawan lain sendirian sewaktu susah dan mengambil kesempatan memburukkan kawan sendiri. Dan kalau Mukhirz boleh diumpamakan sebagai antara ahli dalam pasukan perang, beliau bukan seorang panglima yang baik kerana sanggup menikam kawan-kawan dari belakang.

Beliau juga seolah-olah meletakkan bahawa dia adalah orang yang cukup penting kepada UMNO, cukup penting kepada kerajaan dan tidak pernah kita dengar seorang ahli parlimen biasa seperti Mukhirz mengeluarkan kenyataan akhbar tetapi dalam isu kenaikan harga minyak, Mukhirz mendahului semua pemimpin lain termasuklah Pemuda UMNO yang beliau anggotai dengan mengeluarkan kenyataan akhbar.

Seolah-olah Perdana Menteri dan seluruh jawatankuasa kabinet tidak prihatin. Mukhriz sebenarnya cuba meraih populariti dari masa ke semasa untuk kepentingan diri. Ini adalah politikus yang bertindak hanya untuk loncatan politik tetapi tidak mempunyai “substance” dari segi pengorbanan kepada rakyat. Kita tidak melihat beliau sebagai politikus yang mempunyai “exceptional contribution” sehingga beliau mampu diberi keistimewaan tertentu dalam parti.

Mukhriz sebenarnya masih lagi mencari identiti kepimpinannya. Beliau masih berada di bawah ketiak Tun Mahathir, bapanya dan sebarang suara yang keluar dari mulutnya hanyalah sekadar Mukhriz menyambung bicara lidah bapanya kerana Mukhriz sebenarnya tidak ada apa-apa keistimewaan kalau mahu dibandingkan dengan ahli-ahli parlimen yang lain. Mukhriz seperti tidak ada idealisme perjuangan sendiri.

Suara yang beliau lontarkan bukan suara beliau tetapi adalah suara bapanya dan untuk menjadi pemimpin yang hebat, Mukhriz perlu ada satu pembaharuan, perlu satu anjakan dan perlu keberanian yang tidak berselindung di sebalik nama sesiapa. Mukhriz harus mempunyai landasan yang diterokai sendiri dan tidak mengikuti landasan serta aliran perjuangan bapanya.

Setakat ini sudah ada membayangkan bahawa Mukhriz adalah ‘carbon copy’ Tun Mahathir, menulis surat kepada Perdana Menteri - ini pernah Mahathir lakukan, mengkritik Perdana Menteri, ini pun pernah Mahathir lakukan. Sampai bila Mukhirz akan terus berada di bawah bayangan bapanya dan sampai bila Mukhriz harus membenarkan dirinya sentiasa dibayangi oleh Tun yang sememangnya mempunyai semua jenis rekod dalam kedudukannya sebagai seorang ahli politik dan juga Perdana Menteri.

Mukhriz harus menjadi seorang Mukhirz yang lain daripada apa yang dianggap oleh semua selama ini. Untuk mengejar jawatan Ketua Pemuda selepas Hishamuddin, Mukhriz harus mempunyai identiti sendiri. Mukhriz harus menjenamakan pengenalan politik yang ahli lain boleh dilihat mempunyai “ X - factor” untuk menerajui kepimpinan tertinggi dalam UMNO.

Mukhriz yang hebat perlu menggunakan kehebatannya untuk memacu UMNO dan bukannya menjadi sampah kepada UMNO, bukannya menjadi gunting untuk meracik UMNO di dalam lipatan dan Mukhriz tidak perlu memperlihatkan kehebatan sebagai seorang ahli politik sekiranya wajah hebat itu bukan wajahnya yang sebenar.

Tindakan Mukhriz hari ini adalah umpama cebisan nanah yang mengalir dari kanser turun temurun dan seandainya Mukhriz lahir dari darah seorang pejuang, beliau tidak akan bertindak seperti mahu memusnahkan parti dari dalam kecuali Mukhirz sedang mencari pantai ataupun landasan untuk beliau singgah dan mahu seluruh rakyat mengenangnya sebagai seorang pejuang sebenar.

Langkah Mukhrriz ternyata salah dan tindakan Mukhriz sejak kebelakangan ini langsung tidak bermaruah kepada partinya yang telah memberikan dia maruah sehingga menang dalam pilihan raya lalu. Kadang-kadang Mukhriz dilihat seperti langau di atas seekor ikan masin.

Mukhriz merasakan beliau terlalu kebal untuk diambil tindakan kerana pengaruh bapanya kepada rakyat begitu tebal dan kita sendiri pun menjadi bingung serta buntu mencari sebab kenapa pihak pengurusan UMNO seakan gementar untuk mengambil tindakan terhadap anak muda yang sedang ghairah mengejar jawatan Ketua Pemuda UMNO ini.

Apalah sangat mahu dibimbangkan, Mukhriz umpama duri semalu mencucuk kaki, mencabut duri ini tidak akan menjadikan kaki terpotong dan seandainya Mukhirz meneruskan kegilaannya ini, adakah beliau bernilai untuk berada di dalam UMNO?

Tidak perlu menjaga kepentingan Mukhriz seandainya kita mengabaikan nasib dan masa depan lebih 3.2 juta ahli UMNO yang lain. Seperti yang disebut awal tadi, Mukhirz bukan apa-apa dan hanya kebetulan beliau lahir sebagai anak Tun Dr Mahathir.