Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 24, 2015

TAZKIRAH JUMAAT - Kisah Syaitan Menolong Seorang Pemuda Ke Masjid

Kisah ini bermula apabila seorang pemuda bangun pada awal pagi untuk solat Subuh di masjid. Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid. Di pertengahan jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit membersihkan bajunya dan pulang kembali ke rumah.

Di rumah, dia berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid. Dalam perjalanan ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yang sama. Dia sekali lagi bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah.

Di rumah, dia sekali lagi berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju ke masjid.

Di tengah jalan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu. Dia menanyakan identiti lelaki tersebut dan lelaki tersebut menjawab "Saya melihat anda jatuh dua kali di perjalanan menuju ke masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda."

Pemuda tersebut mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan menuju ke masjid. Apabila mereka sampai di masjid, pemuda tersebut bertanya kepada lelaki yang membawa lampu untuk masuk dan solat Subuh bersamanya. Lelaki itu menolak, pemuda itu mengajak lagi hingga berkali-kali tetapi jawapannya sama.

Pemuda itu bertanya, kenapa menolak untuk masuk dan solat Subuh bersama? Lalu lelaki itu menjawab... "Aku adalah IBLIS..." Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Iblis kemudian menjelaskan, "Saya melihat kamu berjalan ke masjid dan sayalah yang membuat kamu terjatuh.

Ketika kamu pulang ke rumah membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan SEMUA DOSAMU.

Saya membuatkan kamu jatuh kali kedua dan itupun tidak membuatkan kamu berubah fikiran, bahkan kamu tetap memutuskan kembali untuk ke masjid. Kerana hal itu, Allah memaafkan DOSA-DOSA SELURUH ANGGOTA KELUARGAMU.

Saya bimbang jika saya membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan-jangan Allah akan memaafkan dosa dosa seluruh penduduk kampungmu jadi saya harus memastikan bahawa kamu sampai di masjid dengan selamat...
P/S - Sampaikanlah kepada orang lain, maka ini akan menjadi Shadaqah Jariyah pada setiap orang yang Anda kirimkan pesan ini. Dan apabila kemudian dia mengamalkannya, maka kamu juga akan ikut mendapat pahalanya sampai hari kiamat...

Wednesday, April 22, 2015

2 rumah di Tanjong Karang rosak dipukul ribut

Keadaan rumah mangsa ribut di Parit Empat, Sungai burong.
TANJONG KARANG - Dua buah rumah di Sungai Burong dan Sawah Sempadan, di sini, rosak dalam kejadian ribut, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5 petang menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah penduduk sebuah di Parit Empat Sungai Burong manakala sebuah lagi di Block D Sawah Sempadan diterbangkan angin kencang dalam hujan lebat.

Keadaan dalam rumah mangsa ribut di Block D, Sawah Sempadan.
Angin kuat berlaku beberapa minit sahaja dan disusuli hujan lebat mengakibatkan semua barangan mereka basah.
Sumber : #WHATSAPP GROUP

Tuesday, April 21, 2015

HULURKAN SUMBANGAN - 100 pelajar Maahad Tarbiyah Islamiah Al Ansar Kuala Selangor hilang tempat tinggal

Bangunan lain turut terjejas akibat ribut pada Jumaat lalu.
KUALA SELANGOR, 20 APR – Lebih 100 pelajar Maahad Tarbiyah Islamiah Al Ansar Kuala Selangor bertempiaran lari apabila bumbung asrama mereka diterbangkan angin kencang pada kejadian petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, seramai 150 pelajar lelaki sedang berehat di dalam asrama selepas solat memandangkan kelas dibatalkan kerana hujan lebat.

Namun, tak sampai lima minit angin kencang menerbangkan kepingan bumbung asrama lelaki sehingga mereka terpaksa lari menyelamatkan diri ke surau berhampiran.

Guru Penolong Kanan 1 Maahad Tarbiyah Islamiah Al Ansar Kuala Selangor, Hafizaton Hamdan menjelaskan, musibah ribut yang melanda kawasan maahad turut menjejaskan kelas dan bangunan lain.

“Tapi saya bersyukur tiada pelajar yang mengalami kecederaan namun sedih melihat mereka hilang tempat berteduh dengan pakaian, peralatan asrama dan kelas basah.

“Bangunan dua tingkat itu menempatkan lapan bilik untuk pelajar lelaki manakala tingkat bawah adalah empat kelas harian namun bangunan itu tidak dapat digunakan buat sementara waktu,” katanya.

Saturday, April 18, 2015

Sebak RM3,000 hangus sekelip mata - Kebakaran rumah di Taliair 1 Sungai Burong

Maruwan (tiga, kiri) mendengar penjelasan penduduk berhubung kebakaran rumah Sulaiman.
TANJONG KARANG, 17 APR - Seorang pemandu teksi terpaksa berputih mata apabila wang yang dikumpul untuk membaiki bumbung rosak hangus dalam kebakaran di rumahnya di Tali Air 1, Sungai Burong semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Sulaiman Alang, 68, baru sahaja pulang ke rumah sebelum menyedari api marak di sebuah bilik di dalam rumahnya.

Menurut Sulaiman, tak sampai 15 minit dia berehat sebelum menyedari api marak terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barang peribadi dan dokumen penting.

“Lagi luluh hati pakcik bila duit RM3,000 yang disimpan untuk beli zink baru pun turut hangus, memang sebak sangat tengok rumah tak sampai 30 minit terbakar.

“Baju pun tak sempat nak ambil, pakcik hanya sempat selamatkan tiga motosikal dan teksi saja. Semua barang dalam rumah memang tak sempat sebab api marak,” katanya sebak.

Sulaiman menganggarkan kerugian yang terpaksa ditanggung kira-kira RM280,000 dan dilaporkan punca kebakaran dikatakan akibat litar pintas.

Musibah yang menimpa Ketua Pas Cawangan Tali Ayer 1 Sungai Burong itu turut mendapat perhatian Briged Kebajikan Tanjong Karang, AJK Pas Kawasan, Nor Az Azlan Ahmad dan Ketua Pas Cawangan Parit 2 Sungai Burong, Ahmad Jani Sarwan.

Wakil Briged Kebajikan Tanjong Karang, Mohamad Judi Sarjo berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan musibah itu ketika dalam perjalanan ke Sabak Bernam.

“Bila dapat tahu, saya pun singgah memandangkan mangsa memang kenalan yang mesra dengan panggilan Mat Sabu dalam kalangan pejuang Pas kawasan Tanjong Karang.

“Saya amat bersimpati dengan ujian yang menimpa Sulaiman dan mendoakan dia sekeluarga sentiasa tabah,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban.

Sementara itu, wakil Adun Sungai Burong, Maruwan Ahmad turut meninjau kawasan kebakaran dan menemui mangsa kebakaran sebaik sahaja dilaporkan musibah itu.

“Sudah menjadi kelaziman kami untuk merekodkan sebarang musibah yang berlaku kepada Adun Sungai Burong sebelum bantuan dapat disampaikan terus kepada mangsa,” katanya.

Sinar Harian turut difahamkan, Penghulu Mukim Tanjong Karang 2, Jusmari Jumin sudahpun menghantar laporan berkaitan ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor untuk sumbangan Tabung Bencana Daerah Kuala Selangor.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/sebak-rm3-000-hangus-sekelip-mata-1.380517

Wednesday, April 15, 2015

Google Malaysia Digodam Oleh Hacker Bangladesh.?

KUALA LUMPUR, 14 APR - Laman Web Google Malaysia mengalami gangguan selama beberapa jam, hari ini selepas paparan berwarna hitam tertera perkataan ‘Google Malaysia HackeD’ dilihat pengguna yang cuba layari www.google.com.my.

Insiden itu dikesan bermula pagi tadi dan pulih kembali kira-kira 1.30 petang.

Ia dipercayai dilakukan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai TiGER-M@TE.

Pihak yang dipercayai mendalangi penggodaman itu turut meletakkan satu hashtag #Bangladeshi HackeR.

Namun, jurucakap Google Malaysia, Zeffri Yusof ketika dihubungi menyatakan, laman web itu sebenarnya tidak digodam sebaliknya pihak tidak bertanggungjawab melakukan serangan ke atas sistem nama domain (DNS).
Sumber : http://postmetro.net/google-malaysia-di-godam/

Sunday, April 12, 2015

Pesawah kesal tak dapat notis awal

Padi sebelum ini berjaya dituai dengan hasil yang memuaskan.
TANJONG KARANG, 11 APR – Tindakan pembatalan skim pengesahan benih padi daftar tanpa notis awal didakwa bakal menjejaskan lebih 30 pesawah di Dun Sungai Burong, di sini apabila mereka berdepan risiko kerugian.

Lebih menjadi tanda tanya, tiada makluman awal dibuat syarikat pukal padi dan jabatan berkaitan berhubung tindakan pembatalan skim itu sedangkan usia benih sudah mencapai 45 hari.

Wakil pesawah, Rahim Saranek, 62, berkata, pesawah berdepan kerugian cukup tinggi kerana tindakan pembatalan benih daftar yang tidak dimaklumkan lebih awal seolah-olah mahu menghukum mereka yang mengusahakan padi luar jadual.

Kaedah penanaman transplanter lebih menggunakan kos tinggi.
“Bagi pesawah yang gunakan kaedah penanaman transplanter untuk tujuan benih daftar ini, mereka terpaksa keluarkan kos cukup tinggi iaitu RM1,500 bagi setiap lot berbanding kaedah biasa hanya RM600.

“Kalaulah pihak jabatan dan syarikat pukal padi maklum awal-awal, mungkin pesawah boleh ambil kaedah lebih murah untuk kurangkan kerugian yang ditanggung,” katanya.

Tindakan pembatalan skim pengesahan benih padi daftar dikatakan diputuskan dalam mesyuarat melibatkan Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan syarikat pukal padi pada 4 Mac lalu.

Alasan tak munasabah

Rahim menjelaskan, alasan yang diberikan cukup tidak munasabah hanya kerana pesawah menanam padi di luar jadual yang ditetapkan sedangkan lot yang diusahakan masih belum menunjukkan kesan serangan penyakit.

Pesawah berusaha memastikan benih padi subur dan bebas serangan penyakit.
“Kalau nak hukum pesawah, kenalah ambil cara yang betul dan maklumkan awal-awal kepada pesawah. Tapi maklumat itu tidak didedahkan kepada pesawah dan hanya dimaklumkan melalui satu syarikat pukal yang terlibat saja.

“Ramai pesawah persoalkan pembatalan itu tidak dimaklumkan terus kepada mereka…adakah nak tunggu sampai padi nak tuai baru nak maklum? Sedangkan pesawah masih mengharap benih padi mereka masih berdaftar," katanya.

Sebelum ini menurutnya, isu sama turut dibangkitkan kepada wakil rakyat kawasan dan perjumpaan dengan semua ketua jabatan sudah dibuat tapi malangnya sebelum sesi dialog bermula, pesawah dijanjikan masalah mereka akan diselesaikan.

“Tapi selepas seminggu sesi dialog itu, keluar pula notis pembatalan benih padi daftar sekali gus mengundang 1,001 perasaan berkecamuk…memang pesawah tak sangka jadi begini sebab terpaksa tanggung rugi,” katanya.

Tiada niat susahkan sesiapa

Katanya, dia bukan bercakap untuk diri sendiri tetapi mewakili 30 pesawah yang cukup merasakan diri mereka teraniaya malah niat untuk mendedahkan isu ini bukannya mahu menyusahkan sesiapa.

“Kami cuma nak hak sebagai pesawah sebab tak nak lepas menuai padi baru tindakan diambil. Sudah lewat dan kami terpaksa tanggung rugi.

“Kami petani di Sungai Burong bukan nak memburukkan sesiapa...cuma nak mengadu berkenaan masalah petani akibat kesannya tindakan yang diambil merugikan petani. Mereka marah petani tanam luar musim kononnya tak ikut jadual.

“Sebenarnya petani dah lama tunggu pelaksanaan tanaman lima kali dalam tempoh dua tahun sebab nak tunggu masa rehat yang cukup lama hampir tiga bulan tapi kami reda bila berdepan musim kering pada Januari dan Februari lalu.

“Selepas petani buat tanaman luar musim barulah ada kedengaran pihak jabatan mengenai projek kajian pelaksanaan tanaman lima kali dua tahun. Syukurlah jika perkara ini dipandang positif sebenarnya boleh membantu jabatan untuk mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.

Pesawah ‘direhatkan’ satu musim

Sementara itu, Pegawai Pertanian Pusat Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sungai Burong, Aini Waznati Lasuan menjelaskan, perbincangan sebelum ini membabitkan syarikat pukal padi memutuskan mana-mana pesawah yang mengusahakan luar jadual akan ‘direhatkan’ satu musim.

“Sepatutnya syarikat pukal padi yang bertanggungjawab memaklumkan perkara itu lebih awal kepada pesawah supaya tidak timbul masalah di kemudian hari tapi sekarang ini ramai pesawah tak tahu.

“Jadi yang buruknya pihak jabatan yang terkena tempiasnya…sebenarnya pesawah yang terlibat dengan penanaman luar jadual ‘direhatkan’ supaya lot dapat ‘dibersihkan’ sebaiknya daripada serangan penyakit dan serangga perosak," katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan sebelum ini mendapati lot pesawah yang mengamalkan kaedah penanaman luar jadual menjadi tempat serangan penyakit dan menjejaskan tanaman kawasan jiran.

“Kita mahukan benih yang berkualiti tinggi dan pesawah itu mestilah mengamalkan amalan pertanian baik untuk memastikan benih padi yang diusahakan bermutu selain bebas serangan penyakit,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/kesal-tak-dapat-notis-awal-1.378608

Saturday, April 4, 2015

Helikopter awam terhempas di Semenyih, 6 maut

KUALA LUMPUR - Sebuah helikopter awam dilaporkan terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih pada petang tadi.

Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata jumlah penumpang belum dapat dipastikan, lapor The Star.

Pasukan bomba Kajang dilapor telah dihantar ke lokasi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam Twitternya menyebut bahawa ada enam penumpang di dalam helikopter tersebut.

Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.
"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan juga kejadian ini melibatkan orang kenamaan.

Kesemua enam mayat mangsa nahas helikopter telah ditemui namun identiti mereka belum dapat dipastikan, kata Pengarah Bomba Selangor sambil menambah bahawa proses mengeluarkan mayat mungkin selesai 9.30 malam ini.

Dalam pada itu, seorang saksi mendakwa melihat helikopter malang itu meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang tadi.

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan yang ketika itu berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.

"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang tadi.
Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/helikopter-awam-terhempas-di-semenyih-6-maut-57088