Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, July 5, 2008

Fitnah bermaharajalela – PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, terlalu banyak fitnah ditaburkan ketika ini sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat malah ia merupakan yang terburuk sepanjang 30 tahun beliau terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya jangan panik dan kelam-kabut ekoran pelbagai perkembangan politik kebelakangan ini kerana negara masih berada dalam keadaan yang terkawal.
‘‘Saya dalam politik sudah 30 tahun, tidak pernah tengok benda (fitnah) macam ini. Hari-hari ada cerita mahu orang berasa susah, cerita nak bagi orang takut, bimbang dan kurang yakin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di pejabatnya di bangunan Parlimen kelmarin.

Menurut Perdana Menteri, fitnah kini seolah-olah bermaharajalela dan pelbagai cerita disebarkan sehingga ada rakyat yang mempercayai fitnah tersebut.
“Orang pandai buat cerita macam-macam hingga orang jadi kelam-kabut, tabur fitnah itu, tabur fitnah ini,” katanya ketika diminta mengulas keadaan semasa negara selepas pelbagai peristiwa berlaku terutama membabitkan politik semasa.
Katanya, cerita-cerita tersebut tersebar dalam masyarakat dan akhirnya bertukar menjadi cerita lain selepas ditokok tambah.

Malah Abdullah memberitahu, pemuda yang membuat laporan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dikaitkan dengan beliau apabila didakwa anak angkat keluarga menantu perempuannya.

Perdana Menteri berkata, penutupan Bursa Malaysia akibat masalah teknikal pagi ini, perkembangan politik Anwar dan akuan bersumpah penyiasat persendirian terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan keresahan orang ramai.
“Kalau kita nak ambil kira daripada segi keselamatan negara, kita masih selamat dan kalau nak kata kestabilan politik saya tak mahu dianggap sebagai dikatakan bersikap seolah menafikan tidak ada apa yang berlaku,” ujarnya.
Jelasnya, memang ada pergolakan dalam politik seperti pemilihan UMNO tetapi dulu pun perkara itu berlaku juga dan ia tidak menjadi masalah besar.
‘‘Sekarang ini isu-isu di Parlimen juga begitu aktif dan riuh tetapi itu tidak boleh dianggap sebagai satu yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik,” ujarnya.
Katanya, akuan bersumpah penyiasat persendirian itu akan menambahkan lagi kekalutan dalam suasana politik hari ini, bagaimanapun ia bukan sesuatu yang sepatutnya dikhuatiri terutama daripada aspek keselamatan.
‘‘Kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang orang katakan mengawal semua dan kita tahu apa yang sedang berlaku dan insya-Allah negara kita akan selamat,” tegasnya.
Malah katanya, beliau masih boleh berbincang dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang mengenai projek pembangunan Koridor Utara.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas jika perkembangan seperti sekarang terus berlarutan, Abdullah berkata, perkara itu tidak berlaku dan beliau tidak mahu membuat andaian kerana orang ramai mungkin membuat tanggapan yang salah.
‘‘Kerajaan sedang berjalan, pentadbiran berjalan malah pelaksanaan pojek akan dan sedang berjalan,” katanya.

Akuan berkanun tidak boleh ditarik balik

Malaysiakini - Akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak boleh ditarik balik, kata Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Katanya, akuan bersumpah itu dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

[..] Semalam, Balasubramaniam, yang pernah memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, mengedarkan akuan bersumpah setebal 16 muka surat pada 1 Julai dengan mendakwa wanita Mongolia yang dibunuh itu mempunyai hubungan dengan Najib.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.30 pagi ini, Balasubramaniam , menarik balik beberapa perenggan dalam akuan bersumpahnya dengan mengatakan kandungan akuan itu mengenai Najib adalah tidak benar. -->>lanjut

Anwar dan pasangan dicabar bersumpah

Mufti Perlis menyarankan agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang kedua-duanya dikaitkan dalam kes liwat supaya bersumpah di Masjid Negara.Saranan ini juga disokong oleh Nik Aziz . Adalah baik jika Anwar bersumpah di masjid negara dengan emnjunjung Al Quran untuk mencucui nama beliau daripada beliau menyusun strategi yang mengaibkan untuk mengelirukan rakyat dengan akuan bersumpah.Semalam, Mufti Perlis itu meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat tersebut melakukan ‘mubahalah’ atau bersumpah.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau sanggup menjadi orang tengah untuk membawa kedua-dua individu itu bersumpah dengan menjunjung kitab suci al-Quran.Beliau yang juga Sekretariat Pembelaan Masyarakat berkata, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, ahli-ahli PKR, Pas dan Barisan Nasional (BN) turut dijemput mengikuti sesi sumpah itu bagi mengetahui kebenaran.

"Saya sanggup menjadi orang tengah untuk mengiringi dan membawa mereka berdua ke sana.

“Kenapa mereka hendak menggunakan media dan mengalihkan pandangan serta mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Azeez menambah, tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terus mengeluarkan pelbagai kenyataan adalah satu perkara yang akan mengelirukan dan menimbulkan kebimbangan rakyat di negara ini.”Kalau betul beliau tidak melakukan perkara itu, maka beliau tidak perlu takut dan menukar segala fakta yang telah dikeluarkan,” katanya.

Dunia Glamour Punya Cerita

erin dari kumpulan res-2(penari)
ingat lagi tak... erin dari kumpulan res-2.. aku rasa dia ni penari kot... seksi siot...!!!