Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 28, 2008

Hasil 3 hari jual kuih raya RM2,000 dicuri

Pelakon Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot tidak menyangka ditimpa nasib malang menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Ini kerana wang hasil jualan kuih raya miliknya yang berjumlah hampir RM2,000 dicuri seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Damansara kelmarin.

Menurut Enot, kejadian pukul 10 malam itu berlaku ketika seorang pekerja wanitanya, Noor Suriani Abdul Aziz, 19, menjaga gerai tersebut sedang bersiap-siap mengemas untuk tutup kedai.

"Semasa kejadian saya berada di sebuah lagi gerai di Downtown, Cheras dan hanya Suriani seorang yang menjaga gerai tersebut," katanya di sini semalam.

Menurut Enot yang berusia 29 tahun itu, sebelum kejadian, pekerjanya didakwa didatangi seorang lelaki warga asing yang bertanya harga kuih dan jenis-jenisnya.

Suriani, yang ketika itu sedang sibuk berkemas telah meninggalkan begnya yang berisi wang di bawah meja untuk melayan pelanggan 'istimewanya' yang tiba-tiba muncul itu.

Jelas Enot yang juga ibu kepada dua orang anak, bagaimanapun tidak sampai lima saat, apabila Suriani menoleh kebelakang beg tersebut telah hilang.

Setelah menyedarinya, Suriani kemudiannya mengejar dan mencari lelaki terbabit hingga ke pintu tetapi gagal mengesan pergerakan lelaki tersebut.

"Seorang pekerja kedai makan berdekatan memberitahu, beg itu dibawa lari oleh seorang lelaki asing dan lebih pelik pelanggan yang datang ke gerai saya itu turut 'ghaib'," katanya lagi.

Ekoran kejadian itu, wang hasil jualan kuih raya selama tiga hari itu termasuk beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan 'lebur.'

'Lelaki roket'

DOVER - Seorang warga Switzerland, Yves Rossy mencipta sejarah apabila menyeberangi Selat Inggeris dengan terbang menggunakan sayap berenjin jet yang dipakai pada bahunya kelmarin.

Rossy yang diberi jolokan 'lelaki roket' mendarat di sebuah padang dekat tebing curam di Dover, Britain selepas terbang secara solo selama 10 minit.

Dia terjun dari sebuah kapal terbang ringan pada ketinggian 2,500 meter dan menghidupkan sayap berenjin jet sekali gus terbang sejauh 35 kilometer dari Calais di Perancis ke Dover.

"Cukup sempurna. Awan biru, cuaca cerah, tidak ada awan, suasana adalah sangat baik.

"Kami sudah melakukan persediaan dan ia adalah sesuatu yang hebat," kata juruterbang yang berumur 49 tahun itu.

Perjalanan merentasi selat itu bertujuan untuk mengikut laluan seorang juruterbang Perancis, Louis Bleriot.

Bleriot merupakan individu pertama yang menyeberangi selat itu dengan menggunakan sebuah pesawat, 99 tahun lalu.

Beratus-ratus penonton bergegas untuk menyambut ketibaan Rossy di mana sebahagian mereka cuba merakamkan gambar menerusi telefon bimbit berkamera dan kamera.

"Ia merupakan pencapaian yang menakjubkan, kami melihat kemuncak percubaan ketika dia mendarat menggunakan payung terjun," kata seorang penonton, Geoff Clark.

Sayap yang diperbuat daripada komposit karbon itu akan mencapai berat 55 kilogram ketika diisi dengan bahan bakar.

Ia tidak mempunyai stereng menyebabkan Rossy terpaksa menggerakkan tubuhnya untuk mengawal pergerakan.

Dia memakai sut penahan haba yang dipakai oleh anggota bomba dan pelumba kereta bagi menlindungi diri daripada haba enjin.

Angin dan altitud tinggi juga membantu mengelak dia daripada merasai suhu panas ketika terbang.

Seorang pegawai teknikal kanan sebuah persatuan lundur udara, Mark Dale menganggap penerbangan yang dilakukan oleh Rossy sebagai satu lagak negari yang hebat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu saya.

"Saya merupakan satu-satunya individu yang terbang menyeberangi selat ini dengan menggunakan cara ini," katanya kepada pemberita.

Aksi Rossy turut dirakamkan secara langsung dari sebuah pesawat dan helikopter yang turut mengikuti penerbangan bersejarah itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Rossy membetulkan rekaan sayap itu dan melakukan beberapa ujian terbang dalam terowong angin dan pergunungan Alps.

Rossy akan kembali semula bertugas Isnin ini apabila dia mengendalikan penerbangan pesawat Swiss International Air Lines ke Mesir.