Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 6, 2008

ANCAMAN FAHAMAN ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA

Oleh : Maarof Salleh

SEMINAR menangani pemikiran Islam liberal anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) baru-baru ini, jelas memaparkan kebimbangan terhadap gejala yang boleh memesongkan elit negara itu.

Di rantau ini, fenomena Islam liberal telah agak lama muncul terutamanya di Indonesia. Namun di Malaysia dan Singapura, pembahasannya masih baru.

Sebelum ini, isu agama yang lebih ketara ialah tengkarah antara fahaman kaum tua dan kaum muda (fahaman Wahhabi dan Ahlus Sunah Waljamaah; meskipun pengamal Wahhabi menegaskan mereka termasuk dalam golongan Ahlus Sunah).

Dari sudut peribadi, pemikiran Islam liberal dikatakan boleh menimbulkan keraguan terhadap Islam di kalangan umat Islam sendiri. Dari sudut syariah pula, pemikiran Islam liberal dianggap boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran dalam masyarakat yang akhirnya akan membawa perpecahan.

Pemikiran Islam liberal juga menafikan kewenangan agama. Iaitu agama tidak lagi merupakan penentuan ulama tetapi bersifat terbuka terhadap sesiapa juga.

Kaedah dipakai pemaju Islam liberal juga dianggap menyalahi persepakatan dalam keilmuan Islam berdasarkan sunah dan ijmak.

Debat Islam liberal ini mungkin mengelirukan beberapa pihak disebabkan terdapat kepelbagaian takrifnya. Mereka yang membaca tulisan Charles Kurzman (Liberal Islam: A Sourcebook, Oxford University Press, 1998), misalnya, akan terkeliru melihat tokoh antisekularisme Indonesia, Encik M. Natsir, diletakkan bersama dengan Encik Nurcholish Madjid, pemuka sekularisasi dalam Islam, sebagai pendukung Islam liberal.

Encik Kurzman mempermudah definisi Islam liberal kepada sesiapa jua Muslim yang mengkritik kedua-dua 'Islam adat' (tradisional) dan 'Islam revivalisme' iaitu bersikap terbuka dan positif terhadap kemodenan dan sedia menerima hasil kemodenan seperti demokrasi, hak-hak asasi manusia, pluralisme dan sebagainya.

Walhal, bukan semua orang yang menghargai nilai-nilai demokrasi itu termasuk dalam golongan penganut Islam liberal. Harus ada ciri-ciri tertentu lain, termasuk dari sudut intelektual dan moral untuk menjelaskan siapa yang masuk atau tidak dalam kelompok Islam liberal.

Pada seminar PUM, kritikan hebat telah dibuat terhadap beberapa idea utama pemikiran Islam liberal.

Raja Petra boleh dikenakan tindakan di bawah ISA

PUTRAJAYA - Penulis blog "Malaysia Today" Raja Petra Kamaruddin (gambar) boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran ulasannya yang terdapat di laman web itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata jika siasatan yang akan dijalankan berikutan laporan polis yang dibuat empat agensi agama mendapati beliau bersalah, tindakan itu boleh dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat hari ini terhadap Raja Petra oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam ulasan artikel bertajuk `I Promise to be a good, nonhypocritical Muslim', Raja Petra menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam selain membenarkan komentar yang menghina Islam dan Nabi Muhamamd untuk artikel `Not all Arabs are descendants of the Prophet' disiarkan dalam laman web berkenaan.
"Tindakan yang dibuat oleh agensi agama itu adalah sejajar dengan undang-undang kerana tindakan dia (Raja Petra) mengeluarkan kata-kata lucah, buruk terhadap Nabi Muhammad adalah bertentangan dengan undang-undang.

"Siasatan dan tindakan yang cepat perlu dibuat supaya dapat menyedarkan dia (Raja Petra) dengan segera dan dia perlu belajar menghormati agama Islam...kerana tidak ada sebarang lesen percuma dalam kebebasan untuk melakukan apa-apa sahaja," katanya.
Syed Hamid berkata orang bukan Islam pun tidak akan menulis seburuk apa yang Raja Petra tulis.

Walaupun Raja Petra menafikan beliau bukan pemilik laman web itu, Syed Hamid berkata siapa pemiliknya tidak penting tetapi memandangkan Raja Petra sering menjadikan dirinya wakil kepada laman web berkenaan jadi beliau perlu bertanggungjawab untuk apa jua kandungan yang disiarkan.

Syed Hamid juga berkata penubuhan Majlis Media perlu dikaji semula memandangkan tindakan laman web kebelakangan ini seolah-olah meletakkan undangundang di tangan mereka sendiri.

Cadangan penubuhan Majlis Media pernah dikemukakan sebelum ini tetapi dikatakan menerima bantahan daripada para pengamal media.
"Penubuhan majlis itu bukan untuk menguasai media tetapi bagaimana untuk mengurus media sekiranya mereka melanggar kebebasan yang diberikan dan saya akan cuba berbincang semula dengan pengamal media bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu," katanya.
Berita Berkaitan :
Zahid: Umat Islam tidak akan diam bila agama dihina
4 agensi dakwa Raja Petra hina agama Islam
Click here!

MENGENANG PAK SAMAD - Tokoh Wartawan Negara.

Abdul Samad Ismail, atau Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan “Malaysia Merdeka” yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.
Click here!