Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, May 27, 2014

Mayat Penyelia Kilang Terjatuh Dari Sampan Dijumpai

TANJONG KARANG, 27 Mei - Mayat penyelia kilang yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sampannya ketika memancing di pesisir pantai Sungai Kajang di sini kelmarin, ditemui pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata mayat Hasan Ashari Mat Da'ae, 39, ditemui terapung oleh nelayan pada pukul 9.20 pagi, kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh.

"Mangsa dijumpai oleh nelayan tempatan yang turun ke laut seawal pukul 6.30 pagi ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.

"Mayatnya berjaya dinaikkan pada pukul 10 pagi dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Hasan dikhuatiri lemas selepas sampannya ditemui tanpa dikemudi sesiapa, kira-kira lima kilometer dari pesisir pantai Sungai Kajang petang kelmarin.

Mangsa dipercayai keluar sendirian untuk memancing di laut sebelum sampannya bersama peralatan memancing dan barangan peribadi seperti telefon bimbit, ditemui pemancing lain.

Bomba yang menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 2.15 petang kelmarin melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan mangsa dipercayai terjatuh dengan bantuan pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bomba sukarela dan nelayan tempatan.