Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, January 6, 2009

10 tentera rejim Zionis mati , 30 cedera di tangan Brigade Qassam. - Malaysiakini

10 tentera rejim Zionis mati manakala 30 yang lain cedera parah akibat asakan serangan dari pihak Brigade Qassam , sayap ketenteraan Hamas malam tadi.

Sumber dari Qassam menyebut, para pejuangnya berjaya menarik perhatian tentera rejim Zionis mengepung sebuah rumah yang telah di pasang bom peledak. Setelah pasukan rejim mengepung kawasan rumah , pihak pejuang Qassam meledakkan bom.

Pasukan tentera rejim yang lengkap bersenjata yang berada di dalam rumah terperangkap dalam ledakan tersebut. 10 orang dipercayai terbunuh

Pihak Qassam berjanji, tentera rejim Zionis yang telah memasuki Gaza tidak akan pulang dengan selamat. - Palestinkini

Tangani pengaruh Yahudi menerusi sains dan teknologi - Malaysiakini

Negara-negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel perlu bertindak memutuskan segera hubungan sebagai tindak balas membantah kekejaman rejim Yahudi itu terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Bekas Duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Syed Hussein Al-Habshee ketika menyarankan demikian juga berkata, umat Islam hanya dapat mempertahankan nasib mereka dengan berkesan daripada sebarang kekejaman dan penganiayaan menerusi pendidikan, sebagaimana dilakukan Yahudi.

Beliau memberi contoh bagaimana pendidikan cemerlang berjaya meletakkan Yahudi sebagai bangsa yang terkedepan.

Katanya, 14 juta Yahudi di seluruh dunia berjaya melahirkan 150 orang pemenang anugerah Nobel berbanding hanya tiga yang beragama Islam daripada sejumlah 1.4 bilion umatnya.
“Langkah strategik dan jangka panjang untuk menangani pengaruh Yahudi adalah menerusi pendidikan serta penguasaan sains dan teknologi,” katanya.
Sementara itu, antara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Tel Aviv ialah Mesir, Jordan dan Turki.
“Negara-negara terbabit perlu dengan segera memanggil balik duta-duta mereka di Israel dan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu,” katanya.
Beliau yang kesal dengan reaksi lemah negara-negara Arab terhadap kekejaman Israel berkata, negara di rantau Timur Tengah yang kaya dengan minyak itu seolah-olah tidak mempedulikan nasib yang sedang menimpa penduduk Palestin.

Serangan udara, laut dan darat Israel terhadap Semenanjung Gaza yang bermula sejak 27 Dis lepas mengorbankan lebih daripada 500 penduduknya setakat ini, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Syed Hussein juga berkata, Liga Arab yang dianggotai oleh 22 buah negara rantau Timur Tengah itu gagal memperjuangkan nasib penduduk Palestin dan membebaskan mereka daripada penjajahan Yahudi.

BN akan jelas isu ekonomi, harga barang naik - Malaysiakini

Barisan Nasional (BN) akan memberikan penjelasan sewajarnya kepada penduduk kawasan Parlimen Kuala Terengganu berhubung isu kelembapan ekonomi dunia dan faktor kenaikan harga barang agar ia tidak dimanipulasi oleh pihak pembangkang untuk meraih undi, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jentera parti telah bersedia untuk mematahkan hujah pembangkang berhubung isu yang akan berbangkit dengan memberikan perspektif yang betul mengenai isu ekonomi yang melanda dunia dan faktor yang menyebabkan harga barang melambung.

Selain itu, katanya, BN bersedia untuk mendengar keluhan serta kebimbangan yang ingin disuarakan oleh masyarakat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu berhubung isu ekonomi terutama di kalangan masyarakat Cina.
“Mungkin pilihan raya yang lalu (Pilihan Raya Umum ke-12) telah menyedarkan bahawa mereka memerlukan kerajaan yang kuat yang boleh menjamin masa depan mereka.

“Kita bersedia untuk mendengar keluhan mereka. Saya juga akan berjumpa dengan dewan perniagaan, persatuan dan masyarakat Cina untuk mendengar dan memberikan penjelasan apa yang mereka mahukan,” katanya yang ditemui pekarangan Stadium Negeri di sini selepas proses penamaan calon hari ini.
Muhyiddin berkata harapan BN untuk mempertahan kerusi Parlimen itu cerah berikutan kekecewaan rakyat terhadap janji Pakatan Rakyat terutama dalam isu pembentukan kerajaan pusat.
“Saya yakin mereka akan tetap yakin dengan kerajaan BN. Pilihan raya ini, rakyat bakal menunjukkan dengan lebih jelas keyakinan mereka kepada BN. Banyak fakta yang memihak kepada kita,” katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas.

BN meletakkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon yang akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Enam terbunuh dalam serangan terbaru Israel - Malaysiakini

Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaru tentera Israel di Deir Al-Balah, tengah Genting Gaza awal pagi ini.

Menurut saksi, empat pejuang Hamas dan dua pejuang Jihad Islam terbunuh setelah tentera Israel yang menggunakan kereta kebal membedil rumah mereka.

Bagaimanapun kedua-dua kumpulan pejuang pemisah berkenaan masih belum mengesahkan kematian itu.

Laporan sebelum ini menyatakan lima orang terbunuh dan mereka terdiri dari orang awam.

Dalam kejadian berasingan, empat rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat serangan udara tentera Zionis di Jabaliya, utara Genting Gaza.

Rumah ahli kumpulan Hamas berhampiran perkampungan Khan Yunis di selatan genting Gaza turut dibedil dengan peluru berpandu pesawat pejuang tentera Israel.

Lagi Gambar Penamaan Calon PRK P.36 - Malaysiakini

CALON Barisan Nasional, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah) bersama calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat ketika pengumuman calon bertanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Tertutup Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

MESRA...Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (kanan) ketawa mendengar celoteh Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (kiri) disaksikan muslimat Pas ketika menunggu pengumuman penamaan calon di Stadium Negeri.

CALON pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Alias Ab Rahman menarik diri di saat akhir semasa penyerahan borang pencalonan di Stadium Tertutup Negeri.

AHLI Puteri Umno Bahagian Kuala Terengganu dibantu rakannya selepas pengsan ketika bersesak ke Pusat Penamaan Calon, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Tertutup Negeri Terengganu.

Calon Bebas niat tolong golongan miskin - Malaysiakini

Azharudin Mamat @ Adam, yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Januari ini atas tiket Bebas, berniat untuk menolong golongan miskin tanpa mengira bangsa di kawasan itu.

Azharudin, seorang tabib dari Kampung Ladang Pasar di sini, berkata beliau sudah tergerak hati untuk bertanding beberapa hari selepas penyandang kawasan Parlimen itu Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia November lalu.
“Matlamat kita untuk tolong orang miskin kerana saya lihat ramai pemimpin yang hanya bercakap untuk tolong tapi tak berbuat apa selepas menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri hari ini.
Ditanya mengapa beliau tidak menghebahkan hasratnya untuk bertanding sebelum ini, Azharudin, 46, berkata beliau kesuntukan masa kerana hanya membuat keputusan nekad untuk bertanding beberapa hari lalu.

Mengenai peluangnya untuk menang, bapa kepada sembilan anak itu menyerahkannya kepada Allah.
“Terpulang kepada Allah, kalau Allah nak buka hati penduduk sini, Insya-Allah,” katanya yang juga anak bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad iaitu Datuk Adam Taib.
Azharudin berkata beliau akan mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM15,000 untuk berkempen melalui penggunaan risalah dan banner.
“Lebih 5,000 risalah akan saya edarkan kepada penduduk dari rumah ke rumah dan pasang banner di kawasan strategik di bandar dan kampung,” kata bekas penuntut kursus Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Azharudin yang menjalankan perniagaan perubatan alternatif di Kampung Ladang Pasar itu akan menggunakan “buku” sebagai lambangnya pada pilihan raya kecil itu.

Beliau melakukan kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Kehadiran Azharudin di pusat penamaan itu pada pukul 9.27 pagi tidak disedari sehingga beliau menyerahkan borang pencalonan itu dan telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah.

Semangat Jentera Pemuda Di Kuala Terengganu Luar Biasa - Malaysiakini

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri HIshammuddin menyifatkan jentera pergerakan itu khususnya jentera tempatan berada dalam momentum yang cukup baik menjelangnya pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Bercakap kepada pemberita sejurus perjumpaan dengan kesemua Ketua-Ketua Pemuda cawangan bahagian Kuala Terengganu malam tadi, beliau berkata semangat dan gerak kerja yang ditunjukkan sungguh luar biasa.
"Bersandarkan kepada apa yang saya lihat hari ini dan tinjauan yang dilakukan, semangat jentera kita nampaknya berkobar-kobar untuk mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari nanti.

"Insyaallah jika inilah semangat dan gerak kerja yang ditunjukkan dan ianya kekal sehingga hari pembuangan undi kelak, Barisan Nasional (BN) akan berjaya mempertahankan kemenangan.

"Namun perlu diingat, gerak kerja kita itu mestilah bersandarkan kepada strategi yang betul terutama memikat pengundi muda agar menyebelahi kita pada hari pembuangan undi nanti”, katanya.
Kata beliau lagi kaedah dan pendekatan yang bersandarkan kehendak akar umbi menjadi pertimbangan utama pergerakan itu untuk berkempen kelak.

"Sebab itulah kita adakan perjumpaan hari ini untuk melihat dan mengetahui apa kehendak di bawah dan sebagainya.
"Bayangkan jika kesemua Ketua-Ketua Pemuda cawangan yang ada pada hari ini dan seluruh jentera mereka dapat memikat hati pengundi muda untuk berpihak kepada kita, sudah pasti kawasan ini terus kekal milik BN”, ujarnya.
Sementara itu, HIshammuddin yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya memberikan jaminan pergerakan itu tidak akan mencetuskan kekecohan sepanjang tempoh berkempen kelak.

Katanya jentera Pemuda sejak daripada dahulu lagi telah dididik dengan disiplin yang cukup tinggi dan tidak diasuh dengan gejala sedemikian.

Akim timbang tindakan terhadap Harun kerana tarik diri - Malaysiakini

Wakil parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad, yang menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bakal berdepan tindakan disiplin.

Presiden Akim, Hanafi Hamat, berkata Harun juga sudah mengkhianati parti kerana menyatakan sokongan terbuka kepada calon PAS pada pilihan raya kecil itu.
“Harun sudah menghampakan harapan Akim apabila menarik diri tetapi lebih mengecewakan apabila menyokong pula PAS,” katanya.
Di pusat penamaan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu pagi tadi, Harun yang juga dikenali sebagai Abdul Rahman, membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu tanpa memberi alasan yang spesifik.

Beliau kemudiannya menyatakan sokongan kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, membabitkan Mohd Abdul Wahid dan calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat. Pengundian ialah pada 17 Januari ini.

Hanafi berkata, walaupun Harun bukan calon yang direstui pihaknya kerana ia diumumkan oleh kumpulan lain dalam Akim, itu tidak bermakna dia boleh bertindak sedemikian.
“Kerana kita tidak mahu perpecahan berlaku dalam parti, kita membuat keputusan supaya Harun diberi peluang bertanding tetapi tindakannya (menyokong calon PAS) tidak diterima oleh parti,” katanya.
Hanafi berkata majlis tertinggi Akim akan mengadakan mesyuarat tergempar tidak lama lagi bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap Harun.

Lagi Gambar Penamaan Calon PRK P.36 - Malaysiakini

BERSEMANGAT: Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.

Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut diiringi perarakan kira-kira 5,000 penyokong parti Pas, serta Pakatan Rakyat ke pusat penamaan calon di stadium negeri kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Saingan tiga penjuru BN, Pas dan Bebas - Malaysiakini

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52,; dan calon Bebas, Azharudin Mamat, 46.

Penerimaan pencalonan mereka iumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mat Razak Kassim, pada jam 11.30 tengahari tadi.

Empat bantahan diterima sepanjang tempoh bantahan dibuka.

Terdahulu, Wan Ahmad Farid yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN, tiba di pusat penamaan calon di Stadium Negeri pada jam 9.05 pagi sejurus ia dibuka.

Mohd Abdul yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat

Isa, pula tiba sepuluh minit kemudian dengan kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.

Azharudin yang juga seorang peniaga, tiba di pusat penamaan itu pada jam 9.27 pagi.

Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad, pula membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri sejurus tiba dengan beberapa penyokongnya kira-kira jam 9.40 pagi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail, pada 28 November lalu.

Sebanyak 80,229 pemilih berdaftar termasuk 1,035 pemilih pos layak mengundi pada pilihan raya kecil kali ini.

Kira-kira 8,000 pemilih di kawasan itu adalah pengundi Cina.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu, hanya Bandar yang dimenangi BN, manakala Wakaf Mempelam, Ladang dan Batuk Burok dimiliki Pas.

BN, bagaimanapun, yakin meraih majoriti lebih besar antara 3,000 hingga 3,500 undi pada pilihan raya kecil kali ini berbanding 628 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008.

Gambar Perarakan Penamaan Calon PRK P.36 - Malaysiakini

Keadaan dilaporkan agak tenang, berbeza dengan suasana hari penamaan calon di PRK Permatang Pauh. Bilangan penyokong Barisan Nasional kelihatan ramai.

Hanya calon BN, Pas dan Bebas kemuka borang pencalonan - Malaysiakini

Hanya tiga calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup 10 pagi tadi.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut; dan calon Bebas, Asarudin Mamat.

Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad, mengumumkan penarikan diri sejurus tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.20 pagi tadi.

Penamaan calon tutup 10 pagi - Malaysiakini

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup tepat pukul 10 pagi, demikian diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi parlimen tersebut.

Tempoh untuk mengemukakan bantahan bermula pukul 10 pagi hingga 11 pagi.

Khairy yakin BN menang di Kuala Terengganu - Malaysiakini

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Kata Khairy, jika dilihat dari segi kehadiran jentera pemuda hari ini, jelas menunjukkan persiapan jentera Pemuda Barisan Nasional kali ini begitu mantap dan BN tidak mempunyai sebarang masaalah berbanding dengan parti Pas yang mempunyai sedikit masaalah dalaman dan sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral dalaman parti tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh wartawan di majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil pergerakan sayap BN di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.

Khairy juga bersependapat dengan pandangan Datuk seri Najib bahawa, Pemimpin UMNO dan BN yang berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu haruslah bersikap rendah diri dan mesra bersama rakyat.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan, dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Didalam Majlis yang gilang gemilang tersebut,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu perlu bersikap rendah diri.

Dengan pendekatan tersebut ia mampu menarik sokongan rakyat ketika berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil tersebut.
“Jangan berlagak… naik kereta mewah dan jangan berlebihan (ketika bertemu pengundi). Pegang kepada satu prinsip bahawa kita hamba kepada rakyat, itulah anak kunci kepada kejayaan BN.

“Saya minta pemimpin yang turun padang supaya mesra rakyat,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya kecil pergerakan sayap BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini malam tadi.
Mengenai pilihan raya kali ini, Najib berkata, ia bakal menguji keupayaan BN dan parti komponen selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Menurutnya, selepas kalah di Permatang Pauh, BN berazam mencatatkan kemenangan sekali gus menandakan kebangkitan semula parti ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh dan kita tak akan benarkan sama sekali sejarah itu akan berulang lagi di sini,” katanya.

Sumber - KPMU

Calon Akim tarik diri - Malaysiakini

Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri bertanding pada Pilihan raya kecil Kuala Terengganu pagi ini, Beliau yang tiba dengan beberapa penyokongnya di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.40 pagi bagaimanapun memberitahu pemberita menarik diri di saat akhir.

Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.

Calon Pas kemuka borang pencalonan 9.20 pagi - Malaysiakini

Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut mengemukakan borang pencalonan di pusat penamaan calon di stadium negeri kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Beliau sebelum itu diiringi perarakan kira-kira 5,000 penyokong parti Pas, serta Pakatan Rakyat dengan diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penyokong Puteri Umno disorak penyokong pembangkang - Malaysiakini

Sekumpulan Puteri Umno yang melalui Bulatan Ladang di sini, disorak penyokong Pas yang berkumpul di bulatan itu untuk berarak ke pusat pencalonan di stadium negeri kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Kumpulan Puteri berkenaan yang sepatutnya berkumpul di kediaman Menteri Besar di Jalan Sultan Mahmud Shah tidak dapat ke sana di sebabkan kesesakan trafik dengan mengambil laluan dari Bulatan Ladang.

Sokongan padu untuk Shahrizat di Kedah, Johor - Malaysiakini

Malaysiakini | Setelah hampir dua bulan berakhirnya mesyuarat bahagian, Wanita Johor dan Kedah masih tetap memberi sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding Ketua Wanita Umno Mac ini.

Tinjauan di Johor dan Kedah, sokongan terhadap penasihat khas perdana menteri itu tidak berubah.

Timbalan Ketua Wanita Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain menjelaskan 80 peratus daripada 26 bahagian di Johor masih tetap menyokong Shahrizat dalam pemilihan parti itu nanti.

Katanya, sokongan padu terhadap Shahrizat tidak berkurangan, malah menggesa Tan Sri Rafidah Aziz memberi laluan kepada bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu.
"Jika ada pertandingan, akan berlaku perpecahan," katanya.
Bagaimanapun, kata Sharifah Azizah, perwakilan Wanita Johor matang untuk memilih calon ketua Wanita yang boleh membawa perubahan kepada pergerakan tersebut.

Calon BN antara terawal kemuka borang pencalonan - Malaysiakini

Calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya kecil Kuala Terengganu antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi tadi.

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.

Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut pula tiba sepuluh minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.