Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, June 11, 2008

Minyak naik, tapi kita jangan naik minyak

Oleh : Dr. Kahartor Aron, Kuala Lumpur
DAKWAAN banyak pihak bahawa kenaikan harga barangan adalah disebabkan oleh kelemahan kepimpinan. Terbaru ialah mengenai kenaikan harga minyak kerana tidak pandai menguruskan ekonomi negara.

Benarkah kerana pemimpinlah punca kenaikan harga barang dan minyak? Jika benarlah dakwaan itu, tidak salah kalau kita sama-sama naik minyak menyalahkan pemimpin. Tetapi jika di sebaliknya, bolehkah kita memberikan minyak kepada mereka yang mendakwanya supaya membakar diri sendiri agar tidak membuat tuduhan melulu?

Siapa yang menentukan harga barangan atau minyak? Kalau kita mengetahui sedikit teori ekonomi, secara asasnya harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Secara umumnya mengetahui jika penawaran melebihi permintaan, harga akan menjadi rendah. Jika terlalu banyak penawaran akan mengakibatkan lambakan, harganya menjadi sesuatu yang boleh dijadikan sorong tarik.

Misalnya jika terlalu banyak ayam di pasaran, menyebabkan pengusaha atau penternak ayam mengalami kerugian. Suatu ketika dahulu penternak ayam sanggup membakar anak ayam hidup-hidup bagi menstabilkan harga. Begitu juga dengan musim durian, akibat buahnya terlalu menjadi (jenuh), penanam durian tidak sanggup mengutip buahnya yang gugur. Durian dibiarkan busuk.

Ketika itu banyak pihak meminta supaya Kerajaan campur tangan. FAMA dipersalahkan kerana tidak mengambil inisiatif membelinya. Maka pelbagai cadangan dibuat kononnya FAMA dapat menyelesaikan lambakan tersebut. Begitulah gambaran di sebalik kekurangan bekalan beras baru-baru ini. Bila beras Super Tempatan 15% (yang dikawal) kekurangan di pasaran, maka BERNAS dikambinghitamkan kerana gagal menyediakan stok yang mencukupi.Tidak ada pihak yang cuba menyalahkan pembekal dan pengilang swasta. Mereka mengawal hampir tiga perempat bekalan Negara, BERNAS hanya sekadar 30 peratus.

Sikap pengilang swasta yang tidak mahu mengeluarkan beras ST 15 kerana margin keuntungannya kecil berbanding ST 10 atau ST 5 yang tidak dikawal oleh Kerajaan. Malah ada di antara mereka mengambil kesempatan membeli ST 15 yang dipasarkan oleh BERNAS dan dibungkus kembali menggunakan gred ST 10 atau ST 5 bagi meraih keuntungan lebih. Maka jadinya ketika itu ST 10 dan ST 5 dijual dengan harga mahal sehingga mencapai RM 32 setiap pek 10 kg.

Apabila berlaku kenaikan harga minyak di pasaran global, PETRONAS pula dikambinghitamkan atas dakwaan tidak menggunakan keuntungannya bagi merendahkan harga minyak. Orang yang bercakap dan naik minyak itu sebenarnya belum sedar bahawa keuntungan Petronas bukan kesemuanya disumbangkan oleh keuntungan jualan minyak. Lebih 70 % keuntungan Petronas adalah dari pelaburannya di luar negara.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hasan Merican sejak penubuhannya pada tahun 1974, keuntungannya ialah RM 570 bilion dan sebanyak RM 335.7 bilion diberikan kepada kerajaan. Selebihnya digunakan untuk membuat pelaburan semua sebanyak RM 178.9 bilion.

Apabila Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salehudin Ayub membangkitkan bahawa keuntungan Petronas perlu digunakan sepenuhnya untuk mensubsidikan minyak, ia membawa tanggapan bahawa akan memberikan faedah kepada rakyat. Pendekatan popular itu ternyata kurang berkesan kerana rakyat juga bekalan makanan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan. Sumbangan Petronas membantu merendahkan harga makanan, memperkasakan pendidikan, meningkatkan tahap kesihatan dan sebagainya tidak diberikan ulasan oleh Ketua Pemuda PAS itu.

Apa yang menjadi persoalannya apabila beliau turut keliru antara pendapatan dan keuntungan yang diperoleh PETRONAS. Berdasarkan rujukan dan ulasannya beliau bersetuju bahawa setiap kenaikan bagi US$ 1 boleh memberikan sumbangan RM 200 hingga RM 300 juta setahun. Tetapi beliau lupa, bila harga minyak dunia naik, maka kerajaan turut meningkatkan subsidi bagi membolehkan rakyat membeli dengan harga yang ditetapkan.

Itulah sebabnya pada Februari 2007 bila harga minyak ditetapkan sebanyak RM 1.92 seliter, kerajaan berhasrat menggunakan pengurangan subsidi sebanyak RM 4 bilion untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam. Ketika itu harga minyak dunia ialah di bawah US$ 80 setong. Sejak bulan Januari 2008, harga minyak melonjak kepada US$ 96.74 hinggalah pada hari pengumuman struktur baru subsidi meningkat kepada US$135 setong.

Bagi mengstabilkan harga pada tahun 2007, kerajaan terpaksa meningkatkan lagi jumlah subsidi termasuk menggunakan RM 4 bilion yang dijanjikan itu. Inilah hakikat yang harus difahami dan bukanlah menambahkan minyak agar lebih ramai orang naik minyak.

Hatta penasihat Petronas sendiri pun membuat andaian bahawa hasil minyak 650,000 tong sehari, penggunaan domestik ialah 400,00 tong dan bakinya dieksport sebanyak 250,000 tong sehari. Angka itu memang mengasyikkan jika dikira bahawa setiap tong harganya ialah RM 400 maka ia akan menghasilkan pendapatan sebanyak RM100 juta sehari (berasaskan 250,000 tong). Maka setahun ialah RM 36.5 bilion.

Jika menjual semua 650,000 tong akan dapat RM 260 juta sehari. Setahun boleh mencecah hampir RM 95 bilion. Congak berdasarkan ilmu hisab yang dipelajari dalam tahun 1970-an, kita menjadi takjub. Bila dikirakan kos yang terpaksa ditanggung oleh PETRONAS bagi menggerudi, memproses, mengangkut dan sebagainya (tidak termasuk membayar cukai, royalti, operasi pengurusan dan penyetoran) untungnya tentulah lebih rendah.

Menurut sumber PETRONAS memperoleh keuntungan hasil pelaburannya di luar negara dalam sektor cari gali, industri hiliran dan sebagainya. Untung jualan minyak hanyak sekitar 30 peratus sahaja. Wajarkah keuntungan yang diraih kesemuanya digunakan untuk memimbangi kenaikan harga minyak?

Kalau yang mendakwa itu naik minyak, jawabnya wajar. Ini kerana PETRONAS mampu melakukannya. Naik minyak lagi apabila meminta PETRONAS membiayai projek-projek pembangunan yang lain termasuk meneruskan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan sebagainya.

Itulah kita dengar ada orang naik minyak dengan memberikan harapan bahawa jika mentadbir negara, harga minyak akan diturunkan serta merta. Jika gagal, ia akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Itulah retorik yang diuar-uarkan dan sesekali berdesing juga kita dengarnya, maka saya pun hampir naik minyak mencadangkan “jika gagal menurunkan harga minyak, meletakkan jawatan tidak akan menyelesaikan masalah. Perlu membuat harakiri sebagaimana diamalkan oleh orang Jepun.”

Ada juga pihak yang menyindir bila Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju memotong 10 peratus elaun bulanan untuk membutkikan komitmen terhadap keresahan rakyat, ia dianggap sebagai “mengabui mata”. Mata siapa yang kelabu. Saya yang hampir naik minyak mengandaikan orang itulah yang mengelabui matanya sendiri.

Memang tidak cukup kalau Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur (si penyindir) sendiri pun pergi ke rumah orang kenduri sekadar memberikan “sumbangan RM 200 masih tidak mampu untuk membayar semua kos yang ditanggung oleh tuan rumah mengadakan majlis tersebut. Begitulah juga dengan potongan 10 peratus, walaupun tak mampu mengatasinya ia membuktikan “sedikit pengorbanan” dan “tanda simpati” bagi membantu.

Kalau Datuk Ghafur ingat ketika negara menghadapi krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998, ramai pihak yang menyumbang untuk memulihkan keadaan. Kakitangan awam dipotong elaun bulanan (kalau tidak salah RM 1 seorang) hanya mampu memberikan sumbangan sebanyak lebih RM 1 juta. Nilai duit kita turun melebihi 34%, tidak mampu ditampong dengan kutipan bulanan tersebut. Tapi ia memberikan semangat dan sokongan bersama membantu, menguatkan iltizam mengatasi kesukaran.

Janganlah kerana itu kita akan naik minyak lagi. Kita harus menggunakan akal budi dan minda yang jernih mencari kaedah menyelesaikan masalah. Naik minyak dengan menghimpun dan “menghayunkan minda” orang ramai untuk berdemontrasi akan menambahkan lagi beban. Peniaga sekitar Pasar Pudu turut marah apabila DAP mengadakan demontrasi kenaikan harga minya pada 5 Jun lalu.

Kata peniaga tersebut, “ jangan jadi burung kakak tua. Melontarkan kembali apa yang didengarnya. Jadilah manusia yang waras. Fikirkan masa depan. Bagaimana kita boleh mengatasi masalah yang sedang kita hadapi.”

Sambung seorang lagi peniaga telefon bimbit “… dan bukannya mengeluh seperti P. Ramle . Mengikut hati dan perasaan sehingga menjadi buta menangis menyesal. Sanggup membutakan matanya kembali kerana mengetahui Sabariah telah berkahwin dengan Dr. Asmadi. Walhal melalui simpati Sabariahlah P. Ramle kembali dapat melihat. Sanggup menukarkan identiti dirinya sebagai Kassim Selamat.”