Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, July 7, 2008

LANGKAH TUA SEMBAH BERADAT

Oleh : Wak Semar
Ketika saya menonton TV malam tadi, saya rasa hendak pecah dada kerana kegembiraan sangat. Rasa seronok itu terpancar secara tiba-tiba apabila dengan terang dan jelas UMNO Bahagian Pulau Pinang telah mengistiharkan pencalonan mereka itu.Tidak syak lagi, mereka memilih Pak Lah bagi jawatan presiden parti, manakala Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk calon Timbalan Presidennya. Pengumuman begini, memang sudah lama dinanti-nantikan. Sudah lama saya tunggu-tunggu berita baik mahupunpun rencana yang menyuarakan begitu. Tapi tak ada muncul-muncul juga.

Yang banyak saya lihat orang-orang tertentu meminta PM berundur, atau mendesak PM serahkan kuasa kepada TPM. Lain benar pula bunyinya. Nah, tiba-tiba pada malam tadi barulah berita UMNO Pulau Pinang dengan berani mengwar-warkan nama kedua-dua pemimpin itu untuk mencabar sesiapa sahaja yang teringin menandinginya.

Berita begini, bukan main lega hati dan juga fikiran semua pihak dalam UMNO khususnya dan di dalam Barisan Nasional amnya. Taat setia yang ditunjukkan oleh UMNO Bahagian Pulau Pinang ini, ibarat sudah terang lagi bersuluh. Kata sepakat mereka untuk mencalonkan Pak Lah sebagai No.1 dan Najib sebagai No. 2 kini termaktub sudah!

Syabas orang Tanjung, hangpa semua memang berani no? Pandai hangpa berfikir dan teguh pendirian hangpa, serta berani depa semua bertindak! Jikalau dahulu, baik UMNO cawangan mahu pun Bahagian di Pulau Pinang nampak benar tidak sepakat, tidak sekata dan sependapat. Perkara itu telah membuatkan Pak Lah haru-biru lalu kelihatan moyok, lesu dan tak bermaya sahaja.

Sebenarnya, hangpa semua bukan tak tau, akar umbi Pak Lah ialah di negeri Pulau Pinang. Walaupun Pulau Pinang ditawan Pakatan Alternatif, namun UMNO Pulau Pinang tetap segar bugar lagi. Apa nak takut, apa nak gaduh? Tetapi, jikalau Pulau Pinang asyik berkecamuk sesama sendiri, dan pakatan pun nampak berselerak sekali, bagaimana Pak Lah berani hendak bersuara. Beliau tak ada dasar, tak ada platform untuk berdiri, apa lagi untuk berjuang dan mengangkat senjata? Hanya depa semua yang sanggup bersama-sama beliau sahaja barulah beliau berani mencabar lawan untuk mengajak berperang?

Sekarang, apabila UMNO Bahagian Pulau Pinang dengan lantangnya telah bersuara, barulah Pak Lah boleh lelap tidur dan dapat mimpi indah serta istiqarah tentang pentadbiran negara seterusnya. Barulah Pak Lah berani hendak bersuara. Barulah Pak Lah berani mengangkat senjata dan mengistiharkan ‘peperangan!’ Selagi hangpa di cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian di Tanjung tak beri kata putus, macam sekarang ini, selagi itulah beliau menyepi dan tunduk mengalah sahaja.

Sesungguhnya, keberanian UMNO Pulau Pinang isya’Allah akan menjadi batu geliga penawar kepada UMNO bahagian dan cawangan-cawangan lain di seluruh negara bagi menunjukkan ketaatan dan kesetiaannya kepada pucuk pimpinan parti! Yakinilah!

Oleh yang demikian, maka orang-orang Pahang khasnya, dan orang-orang lain yang menyokong Datuk Seri Najib dari Pahang amnya, kenalah ikut sama berasa lega dengan pengumuman ini. Bukan setakat lega fikiran, tetapi, sepatutnya UMNO Pahang sudah lebih berani tampil mengumumkan sokongan padunya terhadap pencalonan Pulau Pinang itu.

Kalau boleh, terus membuat pencalonan seumpama itu juga, biar Datuk Seri Najib berasa yakin dan tawakal kepada sokongannya! Namun begitu, walaupun UMNO Pahang belum mengistiharkan sokongan padunya, Datuk Seri secara optimis dan pro-aktifnya, sudah nampak dengan jelas dan nyata apabila beliau begitu lantang bersuara dan berucap di Pekan, Pahang semalam.

Dengan lagak yang begitu berani di samping perasaan tulus ikhlas beliau telah mencabar lawannya yang kini dianggapnya sengaja cuba menggugat kedudukannya serta mengeruhkan kedaulatan negara ini sekali. Beliau begitu yakin kepada Allah bahawa beliau sentiasa berada di pihak yang benar. Justeru itu, patutlah beliau berani kerana benar! Hebat! Sunggguh hebat sekali ucapannya.

Tak rugi saya orang Pahang pertaruhkan nasib pada kuda yang seekor ini. Beliau berani sekali dan tindakannya tegas, sasarannya tepat mengena! Inilah langkah anak orang tua-tua. “Langkah tua, sembah beradat”.

Kalau dulu, beliau kelihatan macam tertunggu-tunggu! Beliau menantikan suara dari pemimpin ulung berbunyi terlebih dahulu. Oleh kerana beliau diajar beradab sopan, sebab itulah kali ini sembahnya sembah beradat! Beliau tidak lagi gentar dan takut kepada bayang-bayang dirinya sendiri. Beliau tidak mahu onak duri membeliti kakinya ketika melangkah maju.

Kalau tidak, dulu beliau sama seperti mana PM juga asyik terpeleot macam ayam makan berak kapur sahaja. Langsung tidak berani mengangkat muka. Langsung takut hendak berkokok kerana taji belum diikat kemas-kemas ke kakinya lagi.

Dan sekarang, baru nampak jelas sejelas-jelasnya ke mana condong, ke mana arahnya, ke mana hala sokongan padu Datuk Seri itu. Jikalau dulu masih ramai yang samar-samar lalu membuat telahan, andaian dan tekaan konon Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak masih menunggu masa hendak jadi ‘katak lompat’ sahaja! Sebenarnya tindakan Datuk Seri Najib, Orang Besar Berempat Pahang itu memang bijak. Memang layak beliau digelar anak orang besar-besar. Segala tindakannya harus dikawal selia dan dikaji rapi agar tidak bakal memusnahkan diri sendiri kalau sudah sampai terlajak perbuatan dan tindakan.

Justeru itu, beliau lebih banyak bersikap amati dan teliti terlebih dahulu. Tunggu sehingga sampai waktu dan saat ketikanya yang benar-benar mengizinkannya bertindak! Sekaranglah masa yang dinanti-nantikan itu! Perahu sudah di air dan pengayuh sudah di tangan, apa lagi kayuhlah semahu-mahunya! Justeru itu, apa lagi orang Pahang? Ayuhlah, rapatkan saf mari kita berdiri teguh di belakang TPM ini, moga-moga tak tumbang kalau pun beliau disondol dari mana-mana penjuru.

Tapi, ingat! Jangan pula ada di antara kita yang musang berbulu ayam, lalu menyondol dari belakang.