Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 21, 2009

Apakah hukum tidak bertudung bagi wanita? - Malaysiakini

Soalan :
Apakah hukum tidak bertudung bagi wanita?


Jawapan :
Wanita Islam wajib menutup aurat sebagaimana maksud Firman Allah SWT:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram), dan memelihara pandangan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya".

Sumber dari - http://muslim178.blogspot.com/

Najib arah PBT keluarkan lebih banyak lesen penjaja - Malaysiakini

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (dua kanan) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sama-sama mencuba menyediakan apam balik ketika melawat tapak gerai ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Gabungan Persatuan-Persatuan penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di Padang Astaka, Tanjung Karang, malam tadi. Turut hadir, Presiden GPPPKMM, Datuk Ramli Norani (kanan).
TANJONG KARANG - Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lebih banyak lesen menjaja dan perniagaan kecil-kecilan tanpa terlalu banyak mengenakan tekanan dan halangan.
Ketika mengeluarkan arahan itu di sini malam tadi, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, "saya minta semua pihak berkuasa tempatan, tolong bantu peniaga dan penjaja dengan lebih banyak lesen dikeluarkan."

"Jangan ada sekatan atau tekanan yang tidak sepatutnya, tak mahu keluarkan lesen," kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia di Padang Astaka di sini.
Dalam pertemuan pertama dengan ahli gabungan itu sejak dilantik Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, setiap PBT harus memastikan peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil terus mendapat pembelaan antaranya diberikan lesen niaga.
"Kalau nak berikan lesen, tolong bantu dengan memberikan lesen secepat yang mungkin.

"Kalau jalankan penguatkuasaan, lakukan dengan adil dan kalau ada lesen jangan ganggu (mereka)... kalau yang tiada lesen, tolong berikan lesen, jangan aniaya mereka.

"Bantulah mereka... kita sebagai kakitangan kerajaan, jalankan amanah yang diberikan kepada kita," tambah beliau.
Najib memberikan jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar properniagaan dan berusaha menyokong golongan peniaga dan penjaja.
"Di atas pertimbangan inilah, kerajaan pada 27 Jun 2008 telah bersetuju supaya lebih banyak permit penjaja dan perniagaan kecil dikeluarkan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Hasilnya sehingga April 2009, sebanyak 69,250 lesen baru telah dikeluarkan iaitu bersamaan dengan 227 lesen baru setiap hari," katanya.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan peruntukan RM500,000 kepada gabungan tersebut untuk tahun ini bagi memastikan pentadbiran peniaga dan penjaja dapat dikendalikan dengan lancar. - mStar

Noh : Menu ikan air tawar wajib di asrama kerajaan - Malaysiakini

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, berkata menu makanan di asrama di institusi latihan, pengajian dan sekolah serta organisasi milik kerajaan akan diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu menu hidangan ikan air tawar sekali dalam masa seminggu.
"Perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dan syarat ini akan dikuatkuasakan dalam tender pembekalan baru bekalan makanan basah selepas tender yang sedia ada tamat tempoh," katanya.
Belia berkata demikian selepas melancarkan Promosi Ikan Air Tawar di Pasar Tani Peringkat Kebangsaan anjuran Lembaga Pemsaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, langkah ini telah diluluskan Kabinet dalam mesyuarat Rabu lalu dan diharap ia akan meningkatkan keberkesanan kempen menggalakkan pemakanan dan memperluas pasaran ikan air tawar di dalam negara.

Katanya, langkah itu juga diharap dapat memberi peluang kepada generasi muda untuk menikmati ikan air tawar supaya mereka tidak merasa janggal untuk menjamah ikan yang menjadi sumber protein nenek moyang mereka.
"Langkah ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan laut yang diimport.

"Malaysia mengimport 350,000 tan ikan dan produk ikan setahun terutamanya dari negara jiran yang kurang kesegarannya berbanding dengan ikan air tawar yang dihasilkan negara," katanya.
Noh berkata, kerajaan telah mengambil langkah menggalakkan industri akuakultur dengan memperuntuk RM358 juta bagi penyediaan infrastruktur dan sokongan teknikal bagi menarik minat pihak swasta menyertai sektor ini.

Bagaimanapun, Noh berkata beliau kecewa apabila pasaran ikan air tawar seperti keli dan patin di dalam negara meningkat dengan pulangan yang baik dan menarik minat rakyat untuk menyertai industri ini, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai telah mensabotaj perkembangan ini.
"Ini mengakibatkan harga pasaran keli dan patin di negara ini merudum selepas media melaporkan ada di antara pengusaha yang tidak bertanggungjawab memberi makan benda yang terlarang dan menjijikkan kepada ikan-ikan itu mengakibatkan sesetengah pihak kini tidak berselera untuk membeli apatah lagi memakan ikan keli dan patin," katanya.
Noh berharap perkara itu dapat diatasi apabila Akta Bekalan Makanan Haiwan yang sedang dibentangkan oleh Kementeriannya di Parlimen pada sidang kali ini diluluskan.
"Apabila akta ini diluluskan kementerian akan membuat peraturan supaya bekalan makanan ikan ini mestilah daripada bahan yang suci dan halal supaya pengguna tidak merasa was-was untuk memakannya," katanya.