Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, May 7, 2015

Ceroboh punca nelayan diserang

Omar Abd Rahman
KUALA SELANGOR, 6 MEI – Semua nelayan terutamanya Zon A dinasihatkan tidak membuat undang-undang sendiri dan perlu melaporkan kepada jabatan berkaitan jika berlaku pencerobohan zon.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor, Omar Abd Rahman menegaskan, nelayan tidak sepatutnya membuat tindakan sendiri sehingga boleh mengundang bahaya kepada nelayan lain.

“Saya faham mungkin mereka marah dengan nelayan Zon B yang menceroboh perairan Zon A lebih-lebih lagi zon penangkapan ikan sudah berubah.

“Kalau dulu, lima batu nautika dari pantai tapi sekarang menjadi lapan batu nautika untuk nelayan Zon B dan timbul isu pencerobohan kawasan sehingga menyebabkan nelayan pantai terjejas.

“Bagaimanapun, mereka tak boleh buat tindakan sendiri seperti baling botol untuk menghalau nelayan keluar dari zon,” katanya ketika diminta mengulas isu serangan botol kaca di perairan Jeram.

Omar menjelaskan, sepatutnya nelayan pantai melaporkan kepada pihak berkenaan seperti rakan fish dan Jabatan Perikanan kerana hanya jabatan yang mempunyai kuasa.

“Tak kira siang atau malam, mereka boleh ambil gambar bot yang menceroboh sebagai bukti untuk membantu pihak jabatan melaksanakan penguatkuasaan.

“Baling botol bukanlah satu tindakan yang betul dan saya nasihatkan semua nelayan patuhi undang-undang dan jangan sesekali menceroboh zon yang ditetapkan,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/ceroboh-punca-nelayan-diserang-1.387188

Nelayan diserang botol kaca

Serpihan kaca yang bertaburan di dalam bot Lim.
SUNGAI BULOH, 6 MEI – Tindakan individu yang membaling botol kaca ke arah bot yang melalui perairan Jeram, di sini pada waktu malam menimbulkan tanda tanya nelayan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam bot Zon B sebelum dikejutkan kehadiran botol kaca yang dibaling dari pelbagai arah.

Nelayan yang ingin dikenali sebagai Lim, 55, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari jeti Bagan Sungai Buloh mahu mencari ikan seperti rutin biasa di perairan Jeram.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di satu tempat untuk memeriksa jaring yang dipasang, dia dikejutkan dengan balingan botol oleh tujuh individu yang tidak dikenali.

“Masa tu saya dalam bot dan pekerja sedang periksa jaring... tiba-tiba ada lebih kurang tujuh lelaki naik sampan menyerang dengan membaling botol sehingga serpihan kaca bersepah di dalam bot.

“Kawasan situ gelap dan kami hanya nampak samar-samar saja. Nasib baik kami tak cedera kena botol. Saya tak tahu apa motif mereka berbuat demikian seolah-olah mahu halau kami pergi dari situ.

“Tidak mahu kejadian buruk terjadi kepada kami sekeluarga, saya buat laporan polis,” katanya sambil memberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jeram.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perairan itu mendapati, tindakan segelintir individu yang membaling botol ke arah bot sebagai tanda amaran selepas mereka menceroboh perairan pesisiran pantai.

Seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, mungkin tindakan itu sebagai tanda protes nelayan pantai terhadap nelayan bot Zon B yang menceroboh kawasan pantai.

“Sebab banyak kali bot Zon B menceroboh kawasan pantai, kaut semua hasil termasuk anak ikan sehingga menjejaskan nelayan Zon A. Mungkin sebab tak tahan dihimpit kesusahan sebab hasil ikan tiada dan tindakan penguatkuasaan kurang pada waktu malam, mereka ambil tindakan sendiri,” katanya.

Seorang lagi nelayan dikenali sebagai Ibrahim berkata, tindakan baling botol bagaimanapun bahaya kerana boleh mengundang kecederaan.

“Janganlah ambil tindakan sendiri sedangkan kita ada saluran betul seperti lapor kepada Rakan Fish dan pihak berkaitan... Tapi memang patut nelayan Zon B diberi pengajaran supaya tak besar kepala dan pihak berwajib perlu lihat perkara ini dengan lebih teliti supaya isu sama tak berulang,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nelayan-diserang-botol-kaca-1.387185