Padi sebelum ini berjaya dituai dengan hasil yang memuaskan. |
Lebih menjadi tanda tanya, tiada makluman awal dibuat syarikat pukal padi dan jabatan berkaitan berhubung tindakan pembatalan skim itu sedangkan usia benih sudah mencapai 45 hari.
Wakil pesawah, Rahim Saranek, 62, berkata, pesawah berdepan kerugian cukup tinggi kerana tindakan pembatalan benih daftar yang tidak dimaklumkan lebih awal seolah-olah mahu menghukum mereka yang mengusahakan padi luar jadual.
Kaedah penanaman transplanter lebih menggunakan kos tinggi. |
“Kalaulah pihak jabatan dan syarikat pukal padi maklum awal-awal, mungkin pesawah boleh ambil kaedah lebih murah untuk kurangkan kerugian yang ditanggung,” katanya.
Tindakan pembatalan skim pengesahan benih padi daftar dikatakan diputuskan dalam mesyuarat melibatkan Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan syarikat pukal padi pada 4 Mac lalu.
Alasan tak munasabah
Rahim menjelaskan, alasan yang diberikan cukup tidak munasabah hanya kerana pesawah menanam padi di luar jadual yang ditetapkan sedangkan lot yang diusahakan masih belum menunjukkan kesan serangan penyakit.
Pesawah berusaha memastikan benih padi subur dan bebas serangan penyakit. |
“Ramai pesawah persoalkan pembatalan itu tidak dimaklumkan terus kepada mereka…adakah nak tunggu sampai padi nak tuai baru nak maklum? Sedangkan pesawah masih mengharap benih padi mereka masih berdaftar," katanya.
Sebelum ini menurutnya, isu sama turut dibangkitkan kepada wakil rakyat kawasan dan perjumpaan dengan semua ketua jabatan sudah dibuat tapi malangnya sebelum sesi dialog bermula, pesawah dijanjikan masalah mereka akan diselesaikan.
“Tapi selepas seminggu sesi dialog itu, keluar pula notis pembatalan benih padi daftar sekali gus mengundang 1,001 perasaan berkecamuk…memang pesawah tak sangka jadi begini sebab terpaksa tanggung rugi,” katanya.
Tiada niat susahkan sesiapa
Katanya, dia bukan bercakap untuk diri sendiri tetapi mewakili 30 pesawah yang cukup merasakan diri mereka teraniaya malah niat untuk mendedahkan isu ini bukannya mahu menyusahkan sesiapa.
“Kami cuma nak hak sebagai pesawah sebab tak nak lepas menuai padi baru tindakan diambil. Sudah lewat dan kami terpaksa tanggung rugi.
“Kami petani di Sungai Burong bukan nak memburukkan sesiapa...cuma nak mengadu berkenaan masalah petani akibat kesannya tindakan yang diambil merugikan petani. Mereka marah petani tanam luar musim kononnya tak ikut jadual.
“Sebenarnya petani dah lama tunggu pelaksanaan tanaman lima kali dalam tempoh dua tahun sebab nak tunggu masa rehat yang cukup lama hampir tiga bulan tapi kami reda bila berdepan musim kering pada Januari dan Februari lalu.
“Selepas petani buat tanaman luar musim barulah ada kedengaran pihak jabatan mengenai projek kajian pelaksanaan tanaman lima kali dua tahun. Syukurlah jika perkara ini dipandang positif sebenarnya boleh membantu jabatan untuk mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.
Pesawah ‘direhatkan’ satu musim
Sementara itu, Pegawai Pertanian Pusat Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sungai Burong, Aini Waznati Lasuan menjelaskan, perbincangan sebelum ini membabitkan syarikat pukal padi memutuskan mana-mana pesawah yang mengusahakan luar jadual akan ‘direhatkan’ satu musim.
“Sepatutnya syarikat pukal padi yang bertanggungjawab memaklumkan perkara itu lebih awal kepada pesawah supaya tidak timbul masalah di kemudian hari tapi sekarang ini ramai pesawah tak tahu.
“Jadi yang buruknya pihak jabatan yang terkena tempiasnya…sebenarnya pesawah yang terlibat dengan penanaman luar jadual ‘direhatkan’ supaya lot dapat ‘dibersihkan’ sebaiknya daripada serangan penyakit dan serangga perosak," katanya.
Menurutnya, hasil pemantauan sebelum ini mendapati lot pesawah yang mengamalkan kaedah penanaman luar jadual menjadi tempat serangan penyakit dan menjejaskan tanaman kawasan jiran.
“Kita mahukan benih yang berkualiti tinggi dan pesawah itu mestilah mengamalkan amalan pertanian baik untuk memastikan benih padi yang diusahakan bermutu selain bebas serangan penyakit,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/kesal-tak-dapat-notis-awal-1.378608
No comments:
Post a Comment