KUALA LUMPUR 21 Sept. - Selepas kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bocor, kini Lembaga Peperiksaan (LPM) mengesan dua lagi mata pelajaran yang turut mengalami perkara sama iaitu Matematik dan Bahasa Tamil.
Perkara itu didedahkan oleh pegawai kanan lembaga terbabit yang hadir membuat laporan polis berhubung kebocoran itu di sebuah balai polis di Putrajaya, hari ini.
Difahamkan, pihak Lembaga Peperiksaan khuatir kedua-dua kertas peperiksaan tersebut turut bocor dan meminta pihak polis membuat siasatan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md, Isa ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu dan memberitahu, pihaknya akan membuat siasatan rapi berdasarkan laporan polis yang diterima.
"Kami terima laporan yang dibuat di Putrajaya itu dan setakat ini, perkara itu adalah maklumat terbaharu yang diberikan untuk melengkapkan siasatan.
"Siasatan berhubung perkara ini turut dilaksanakan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972," katanya, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Dihantar dari tablet Samsung
No comments:
Post a Comment