Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 21, 2014

Empat premis judi lumpuh di Sekinchan

SEKINCHAN, 19 Sept : Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam melumpuhkan empat premis judi internet di Sekinchan dalam serbuan berasingan di sini, malam kelmarin.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan, Azman Abdul Rahman berkata, sebanyak 80 komputer termasuk peranti komputer judi internet bernilai kira-kira RM18,000 dirampas dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, operasi  disertai empat pegawai dan 20 anggota itu juga menahan empat lelaki dipercayai penjaga premis berasingan yang berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

"Mereka ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis semalam," katanya.

Azman memberitahu, serbuan itu dibuat berdasarkan hasil risikan polis dan maklumat orang awam yang memaklumkan terdapat kegiatan perjudian internet yang semakin berleluasa di kawasan tersebut sejak akhir-akhir ini.

"Ketika serbuan itu, terdapat beberapa pelanggan di empat premis terbabit sedang leka bermain judi internet dan bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis di premis terbabit," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 setiap mesin yang dirampas dan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun.

Dalam pada itu, katanya, beliau mengingatkan orang awam supaya tidak mengunjungi premis perjudian bagi mengelakkan mereka dicekup polis ketika serbuan dijalankan di premis perjudian yang disyaki beroperasi di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, polis akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan itu di daerah ini seperti beberapa serbuan yang dijalankan pasukan keselamatan itu.

"Kita tak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sama ada pengusaha atau mereka yang terlibat dengan judi internet dan akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan mengikut undang-undang," katanya. - SINAR

No comments: