Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, November 3, 2008

Raja Petra boleh dibenar jadi saksi kes Altantuya - Malaysiakini

Oleh : ARIFUDDIN ISHAK
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tidak ada sebarang sekatan bagi mana-mana tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Raja Petra Raja Kamaruddin untuk menghadiri sebarang prosedur mahkamah.
"Sememangnya tidak ada sekatan untuk mereka yang ditahan ISA untuk hadir di mahkamah," katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan yang dikemukakan Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan wanita Moggolia, Altantuya Shaariibuu yang ingin mendapatkan Raja Petra sebagai saksi pihak pembelaan.

Raja Petra yang kini ditahan di bawah ISA pernah mengeluarkan Akuan Bersumpah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Syed Hamid berkata jika ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi, pihak kementerian boleh memberikan kebenaran.
"Kalau ada (permohonan), boleh dapat kebenaran... boleh," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, sehingga semalam beliau masih belum menerima sebarang permohonan berhubung perkara tersebut.
"Belum ada lagi, saya belum dapat apa-apa maklumat. Mungkin sebab hujung minggu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Raja Petra akan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Namun beliau menafikan mengenai perkara tersebut.
"Tak ada... saya tak tahu pula khabar angin beliau akan dibebaskan," katanya.

Sunday, November 2, 2008

Kisah Si Pengemis Yahudi Buta - Malaysiakini

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abu Bakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu, Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?

Aisyah RA menjawab, Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja.

Apakah Itu?, tanya Abubakar RA.

Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada disana, kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abubakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abubakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik,

Siapakah kamu?

Abu Bakar RA menjawab, Aku orang yang biasa (mendatangi engkau).

Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, bantah si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah.

Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku, pengemis itu melanjutkan perkataannya. AbuBakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu,

Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW. Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abubakar RA, dan kemudian berkata, Benarkah demikian?

Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia....

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abubakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.
**Nah, wahai saudaraku, bisakah kita meneladani kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW? Atau adakah setidaknya niatan untuk meneladani beliau? Beliau adalah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlaq. Kalaupun tidak bisa kita meneladani beliau seratus persen, alangkah baiknya kita berusaha meneladani sedikit demi sedikit, kita mulai dari apa yang kita sanggup melakukannya.

Saturday, November 1, 2008

Ayah Razak Baginda: "Kehidupan bermula semula" - Malaysiakini

Abdul Razak Abdullah Baginda (kiri) turun dari kenderaan selepas keluar bersama anak dan isterinya petang tadi.
mStar | Selepas sehari dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda terus 'diburu' media bagi mendapatkan kenyataan penuh beliau.

Wartawan mula menunggu di hadapan rumahnya hari ini di Bukit Damansara sejak pukul 9.30 pagi.

Sekali lagi Razak terus mengambil pendirian 'membisu'.

Semalam wartawan turut sehingga petang tetapi beliau hanya memberikan beberapa kenyataan ringkas, antara bersyukur dan "berpuasa di penjara selama 22 bulan."

Razak dilihat keluar bersama isterinya Mazlinda Makhzan kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan beberapa minit kemudian anaknya, Rowena juga keluar dengan menaiki kereta berasingan.

Rowena pulang kira-kira pukul 3.05 petang dan dilihat membawa barangan keperluan harian.

Melihat kumpulan wartawan yang menunggu di hadapan rumah mereka sejak pagi, bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda keluar menegur kumpulan wartawan yang menunggu kira-kira pukul 4 petang.
"Tahu tak Razak tak ada (di rumah)? Razak tak mahu bagi kenyataan lagi... nanti bila dia nak bagi kenyataan, dia akan beritahu media," katanya.
Abdullah juga memberitahu bahawa Razak keluar kerana mempunyai urusan.

Beliau kemudiannya memberikan minuman kepada kumpulan wartawan yang menunggu.

Ditanya tentang perasaannya apabila anaknya itu kini telah pulang kerumah kerana ditahan sejak 22 bulan yang lalu, beliau enggan mengulas lanjut.
"Biasalah, jangan tanya saya apa-apa... tanya Razak nanti," katanya.
Diajukan lagi sama ada beliau berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kepulangan Razak, beliau menjawab dengan ringkas sambil masuk semula ke dalam rumah: "Kehidupan bermula semula."

Lima minit kemudian, Razak pulang bersama isterinya.

Wartawan cuba menegur Razak bagi mendapatkan komennya, namun beliau sekadar menjawab ucapan salam yang diberikan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Razak daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Azilah dan Sirul membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Friday, October 31, 2008

Petrol, diesel turun 15 sen seliter mulai esok - Malaysiakini

Kerajaan petang ini mengumumkan penurunan kali keempat bagi harga runcit petrol dan diesel, masing-masing sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa esok.

Harga petrol RON97 dikurangkan daripada 2.30 seliter kepada 2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter.

Manakala diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Penurunan harga minyak itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan media di Putrajaya.

Pelarasan terakhir pada 14 Oktober lalu apabila harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.

Pelarasan pertama pada 23 Ogos lalu, harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40, manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

Pada 25 September lalu pula membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40).

Harga minyak turun antara 15-20 sen hari ini? - Malaysiakini

Keputusan sama ada harga minyak akan diturunkan buat kali keempat - dijangka di antara 15 dan 20 sen akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Difahamkan jika penurunan diputuskan ia akan berkuat kuasa tengah malam ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya mendapat persetujuan daripada kalangan Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini.
"Perkara ini perlu dibincang terlebih dahulu dan keputusan ini perlu melibatkan empat menteri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Kewangan II (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) dan saya.

"Jadi saya tidak tahu apa keputusannya.

"Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya pada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang oleh pasar raya Tesco di Kuala Lumpur semalam.
Kali terakhir kerajaan menurunkan harga minyak adalah pada 15 Oktober lepas dengan harga petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter sementara harga petrol RON92 diturunkan 10 sen menjadi RM2.20 manakala diesel turun 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kirakira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Mengenai andaian bahawa harga minyak akan turun mulai esok (Jumaat), Shahrir berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

Terdahulu, Shahrir yang dipetik Bernama mengucapkan tahniah kepada pasar raya Tesco kerana turut menjayakan Kempen Penurunan Harga Barang anjuran kementerian. Kempen itu turut disokong oleh pasar raya Mydin dan Carrefour yang masingmasing akan mengadakan potongan harga barangan mulai esok.

Menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga barangan sejajar dengan penurunan harga minyak, Tesco hari ini memberikan potongan harga selama tiga bulan mulai hari ini bagi 50 produk makanan segar tempatan selain mengadakan promosi barangan keperluan lain dengan potongan harga selama dua minggu.

Ketua Pegawai Operasi Tesco Malaysia, David Hobbs berkata, potongan harga barangan Tesco merupakan komitmen pasar raya itu kepada pengguna untuk jimat berbelanja.
"Pengguna kini menghadapi beban perbelanjaan bahan api dan tenaga elektrik yang tinggi. Mereka kini mengurangkan perbelanjaan makan di luar, membeli barangan bukan makanan dan berhemah dalam perbelanjaan bukan barangan keperluan.

"Meskipun demikian mereka tidak bersedia untuk berkompromi dalam barangan segar.

"Mereka mahukan penurunan harga bagi barangan perlu dan bukan pada barangan yang kurang digunakan. Potongan harga sehingga 47 peratus barangan segar hari ini merupakan satu contoh bagaimana kami mendengar pengguna dan membantu mereka menambah kuasa beli mereka," katanya.