Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, November 1, 2008

Ayah Razak Baginda: "Kehidupan bermula semula" - Malaysiakini

Abdul Razak Abdullah Baginda (kiri) turun dari kenderaan selepas keluar bersama anak dan isterinya petang tadi.
mStar | Selepas sehari dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda terus 'diburu' media bagi mendapatkan kenyataan penuh beliau.

Wartawan mula menunggu di hadapan rumahnya hari ini di Bukit Damansara sejak pukul 9.30 pagi.

Sekali lagi Razak terus mengambil pendirian 'membisu'.

Semalam wartawan turut sehingga petang tetapi beliau hanya memberikan beberapa kenyataan ringkas, antara bersyukur dan "berpuasa di penjara selama 22 bulan."

Razak dilihat keluar bersama isterinya Mazlinda Makhzan kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan beberapa minit kemudian anaknya, Rowena juga keluar dengan menaiki kereta berasingan.

Rowena pulang kira-kira pukul 3.05 petang dan dilihat membawa barangan keperluan harian.

Melihat kumpulan wartawan yang menunggu di hadapan rumah mereka sejak pagi, bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda keluar menegur kumpulan wartawan yang menunggu kira-kira pukul 4 petang.
"Tahu tak Razak tak ada (di rumah)? Razak tak mahu bagi kenyataan lagi... nanti bila dia nak bagi kenyataan, dia akan beritahu media," katanya.
Abdullah juga memberitahu bahawa Razak keluar kerana mempunyai urusan.

Beliau kemudiannya memberikan minuman kepada kumpulan wartawan yang menunggu.

Ditanya tentang perasaannya apabila anaknya itu kini telah pulang kerumah kerana ditahan sejak 22 bulan yang lalu, beliau enggan mengulas lanjut.
"Biasalah, jangan tanya saya apa-apa... tanya Razak nanti," katanya.
Diajukan lagi sama ada beliau berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kepulangan Razak, beliau menjawab dengan ringkas sambil masuk semula ke dalam rumah: "Kehidupan bermula semula."

Lima minit kemudian, Razak pulang bersama isterinya.

Wartawan cuba menegur Razak bagi mendapatkan komennya, namun beliau sekadar menjawab ucapan salam yang diberikan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Razak daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Azilah dan Sirul membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

No comments: