Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, June 10, 2015

Pemandu lori maut kemalangan berhampiran Kedai Cendol Borhan

Lori yang dipandu mangsa rosak teruk di KM 52 Jalan Klang-Teluk Intan
TANJONG KARANG | 8 JUN – Seorang pemandu lori maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan di KM 52 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Kedai Cendol Borhan, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa bersama kelindannya dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Tanjong Karang menaiki sebuah lori jenis satu tan yang membawa muatan barangan rumah.

Bagaimanapun mangsa, Mohd Faiz Ihsan Ishak, 30, dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Manakala kelindan, Harun Daud, 47, dan pemandu kenderaan jenis pacuan empat roda, Nor Ikhwan Mohamad Mor, 32, dilaporkan mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama.

Lori mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan beberapa bahagian lain manakala kenderaan jenis pacuan empat roda itu mengalami rosak teruk di bahagian kanan hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan terbabit dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk bertemu Pegawai Polis Trafik, Inspektor Mohd Nor Azman Hussin bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang diketuai Komander Operasi, Asmuri Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 4.04 petang.

“Seramai enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa kemalangan sebaik saja menerima panggilan, tiada masalah memindahkan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-lori-maut-kemalangan-1.398980

Monday, May 25, 2015

Penunggang motosikal maut tercampak atas jalan

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
JERAM, 25 MEI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas masuk ke laluan bertentangan di Jalan Dato Miskun, Kampung Bukit Kerayong, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.17 petang itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Meru menghala ke Jeram.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri itu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Mangsa, Muhammad Solehin Bahari, 22, kemudiannya tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan sebuah kenderaan di hadapannya sebelum tercampak di tengah jalan.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah Polytrauma Secondary to MVA manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

Mereka boleh tampil bertemu Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elme Othman untuk tindakan lanjut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/mangsa-maut-tercampak-atas-jalan-1.394059

Saturday, May 23, 2015

Elak anak kecil terpengaruh viral media sosial

Sulaiman bersalaman dengan peserta Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang.
TANJONG KARANG, 22 MEI – Pendidikan modal insan wajar diserapkan dari peringkat awal bagi membentuk sahsiah dan akhlak mulia anak penduduk di daerah ini.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak berkata, pendidikan modal insan amat penting selain proses pembelajaran biasa yang diterapkan dari peringkat tabika.

“Pembentukan sahsiah dan akhlak mulia bermula dari pra sekolah mahupun tabika penting bagi membolehkan anak kecil ini berdepan cabaran yang semakin membimbangkan.

“Ini kerana corak pemikiran anak muda sekarang cukup berbeza dan mudah terpengaruh dengan unsur fitnah serta sensasi yang menjadi viral media sosial sehingga tidak dapat membezakan baik dan buruk.

“Malah dunia mereka yang taksub dengan gajet terkini cukup membimbangkan sehingga lalai dan lupa dengan tanggungjawab sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Tanjong Karang 2015 di Gelanggang Futsal Batu 6 Tanjong Karang.

Tambah Sulaiman, ibu bapa cukup yakin dengan konsep pembelajaran yang diterapkan di peringkat tabika bagi memberi pendidikan awal sebelum memasuki alam persekolahan.

“Walaupun berdepan pesaing swasta yang semakin meningkat, namun saya yakin tabika akan tetap menjadi pilihan ibu bapa kerana lebih dekat dengan mereka.

“Malah sokongan kerajaan turut membantu meningkatkan prasarana, bantuan persekolahan dan menambah cawangan tabika di setiap daerah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/elak-anak-kecil-terpengaruh-viral-media-sosial-1.393000

Saturday, May 16, 2015

Ini bukan Filem #LIBAS - 2 cedera ditetak parang

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Air Manis, Sabak Bernam. Gambar kecil: Khairul Fikry
SABAK BERNAM, 15 MEI – “Parang di tangan lelaki itu diacu tepat ke muka saya, mujur dia (suspek) tak libas,” cerita salah seorang daripada dua mangsa tetak di Taman Air Manis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Khairul Fikry Sunarno, 23, cedera di bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi mangsa iaitu isteri suspek cedera di kepala selepas ditetak lelaki berkenaan menggunakan parang.

Khairul Fikry berkata, dia bertindak mempertahankan dirinya selepas suspek mengacu parang ke arah mukanya, dan hanya sempat melaungkan takbir beberapa kali.

“Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk, dia macam dirasuk. Dia (suspek) kemudian alihkan parang dan melibas tangan kiri hingga saya meraung kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul yang menerima sembilan jahitan di tangannya berkata, isteri suspek turut alami mimpi ngeri apabila suspek bertindak kejam menetak bahagian kepala mangsa menggunakan parang hingga mendatangkan kecederaan.

“Mulanya berlaku perselisihan faham antara dia dan isterinya, saya yang berada di rumah itu cuma ingin leraikan pergaduhan. Tak sangka, saya juga diheret dalam kemelut ini,” katanya.

GAMBAR - FB I Love Sungai Besar
Khairul Fikry bertandang ke rumah mangsa selepas mengetuai rombongan pihak lelaki merisik anak perempuan mangsa kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

“Rakan saya merancang berkahwin dengan anak mangsa. Kami berbincang seperti biasa, sebelum mangsa mengadu hubungan dia dan suami bermasalah.

“Kata mangsa (sebelum kedatangan rombongan meminang), dia beberapa kali diugut,” katanya.

Katanya, setelah perbincangan dengan pihak lelaki, mereka ambil keputusan buat laporan polis, dan rombongan itu pulang ke rumah di Kampung Banting.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama anak perempuannya serta teman lelaki pulang ke rumah mereka di Taman Air Manis, Sabak Bernam.

“Dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suami. Suami mangsa kemudiannya menetak kepala isterinya itu di bahagian kepala dan menetak lelaki terbabit di bahagian tangan kiri dengan parangg,” katanya.

Akibat tetakan itu, mangsa dan lelaki itu mengalami luka dua sentimeter masing-masing di bahagian kepala dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden, Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang mengerakkan usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebagai pesakit luar dan memaklumkan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 324.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/cedera-ditetak-parang-1.390329

Wednesday, May 13, 2015

Alamakkk.!!! babi masuk parit.!

Babi jatuh bergelimpangan ke dalam parit selepas lori terbabit terbalik.
SABAK BERNAM, 13 MEI – Sebanyak 70 babi terperangkap di dalam parit kirakira lima jam selepas lori yang membawa haiwan itu terbabas ke bahu jalan di Kilometer 62 berdekatan Parit 13, Sungai Nibong, di sini, pagi semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kesemua babi yang diletakkan di atas gerabak sebuah lori muatan enam tan itu dipercayai terhumban ke dalam parit selepas lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Segari, Manjung Perak terbabas di jalan berkenaan.

Sumber memberitahu, lori yang mengangkut babi dari sebuah ladang ternakan babi itu dipercayai dalam perjalanan membawa babi tersebut ke Lembah Klang, tetapi tidak mengetahui lanjut lokasi sebenar ke mana babi itu ingin dibawa.

“Kejadian berlaku apabila lori yang membawa muatan haiwan terbabit gagal mengawal kenderaannya ketika melalui jalan sedikit curam hingga menyebabkan lori itu terbalik pada bahagian kiri kenderaan berkenaan.

“Akibatnya, babi yang berada di atas gerabak terhumban ke dalam parit di sebelah kiri jalan terbabit hingga haiwan itu terpaksa menunggu berjam- jam untuk dinaikkan semula ke darat,” katanya yang memaklumkan tiada babi yang mati lemas dalam kemalangan terbabit.

Menurutnya, babi ternakan itu berbeza dengan babi hutan kerana tidak pandai mengharungi air hingga terpaksa diangkat menggunakan sebuah jentera jengkaut yang mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dipindahkan ke dalam sebuah lori lain.

“Proses menaikkan haiwan itu ke darat mengambil masa kerana babi terbabit terpaksa diikat sebelum dinaikkan dengan menggunakan jengkaut, bagaimanapun tiada laporan berhubung babi itu terlepas atau berkeliaran ke kawasan lain,” ujarnya.

Katanya, pemandu kenderaan berusia lingkungan 40-an dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan teruk.

Sinar Harian difahamkan, sehingga jam 4 petang, semalam, pemandu kenderaan terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, kemalangan kenderaan yang membawa muatan haiwan tersebut menarik minat masyarakat apabila menjadi viral dalam media sosial terutama Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Beberapa pengendali utama Facebook di daerah ini seperti I Love Sungai Besar; Sabak Bernam Di Hatiku dan Sungai Besar Di Hatiku’ dikatakan telah memuat naik status berhubung kejadian berkenaan.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/babi-terhumban-dalam-parit-1.389613