Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 20, 2013

MOHON BANTUAN... MENGESAN ORANG HILANG

Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk mencari dan mengesan orang hilang bernama MOHAMAD NOH BIN SELAMAT, No. KP: 730123105385 berasal dari Kg. Parit 3 Sungai Burong, Tanjong Karang, dilaporkan hilang sejak 16.09.2013.

Penama kali terakhir dilihat di persimpangan Bukit Cherakah & Ijok, Selangor. Orang ramai yang terjumpa dan mengenali penama diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran. (Sumber - FB PolisSelangor)

Tuesday, September 10, 2013

GEMPAR.!!! Pemancing Temui Mayat Terikat di Sungai Tengi, Tanjong Karang, petang tadi.

TANJONG KARANG – “Mulanya saya sangka objek terapung yang dilihat itu tilam buruk namun sangkaan meleset apabila mendapati ia mayat seorang lelaki,”kata pemancing, Samsudin Mat,59 yang menemui mayat terbabit berhampiran jeti Lorong Budiman Sungai Tengi, petang tadi.

Samsudin berkata, dia yang menaiki sampan berseorangan untuk mencari udang kira-kira jam 2 petang sebelum itu terhidu bau busuk seperti bangkai.

Sebaik menoleh pandangan ke sebelah kiri sungai, katanya, dia ternampak satu objek menyerupai tilam yang berikat.

Curiga dengan penemuan itu, Samsudin berkata, dia mendekati objek berkenaan dan mendapati ia mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki serta tangan diikat menggunakan benang nylon.

“Di sebelah mayat ada seekor biawak sedang makan cebisan daging mangsa, seluar yang dipakai terlondeh sedikit sehingga menampakkan bahagian punggungnya.

“Disebabkan terkejut saya terus menghubungi rakan memaklumkan penemuan terbabit dan tidak berani mendekatinya,”katanya.

Menurutnya, penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) Blok AGH, Arbani Katimin.

Arbani berkata, dia yang dimaklumkan berhubung kes itu bergegas ke jeti sungai.

Mangsa dipercayai berusia lingkungan 40-an itu ditemui memakai seluar jeans berwarna biru dan kemeja T warna hijau.

“Tangannya berikat di bahagian belakang manakala kakinya diikat dengan batu. Mayat sudah beberapa hari dipercayai mati itu sudah mulai kembung berkemungkinan kerana berada terlalu lama di dalam air,”katanya.

Sinar Harian difahamkan, terdapat kesan dipercayai jerutan di bahagian leher mangsa.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui namun sejumlah duit mata wang asing dikatakan berada dalam poket seluar mangsa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang yang dihubungi turut ke lokasi kejadian menaikkan mayat mangsa ke tebing.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - (Sumber : NUR FARHANA ABDUL MANAN@SinarHarian)

Friday, December 28, 2012

PENGUMUMAN.!!! Permohonan rebet telefon pintar mulai Selasa ini

Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula memohon rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada pengedar berdaftar mulai Selasa depan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang layak yang boleh mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sharil berkata belia yang layak menikmati rebet RM200 itu boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan.

"Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia daripada kalangan berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G yang asas.

"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 sebenarnya bukanlah kategori yang dihasratkan atau pasaran sasaran," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebet RM200 sekali sahaja bagi pembelian telefon pintar 3G kepada 1.5 juta belia yang layak menerusi Pakej Komunikasi Belia ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada September lepas dalam usaha memberi belia akses kepada gerbang maklumat.

Dengan rebet itu, mereka dijangka membayar tidak lebih daripada RM300 untuk memiliki sebuah telefon pintar 3G baharu, katanya sambil menolak dakwaan bahawa had harga RM500 adalah rendah memandangkan terdapat lebih 20 model telefon berjenama yang dilengkapi kemudahan 3G.
"Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dan operator rangkaian maya mudah alih akan menawarkan tidak lebih daripada lima dan mungkin sehingga 10 atau 12 model di bawah inisiatif itu menerusi kedai pengedar mereka.

"Oleh itu, belia seharusnya mencari logo 'Pakej Komunikasi Belia' yang akan dipaparkan pada kain rentang dan bunting di kedai itu atau mereka juga boleh menyemak laman web penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan senarai telefon pintar dan kedai pengedar yang mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SKMM, lebih 90 peratus pengguna berada dalam segmen prabayar tetapi syarikat telekomunikasi hanya menyediakan insentif telefon bimbit bagi kontrak pascabayar.

Sementara itu, Mohamed Sharil berkata pemilik perniagaan kecil berumur antara 18 dan 65 tahun boleh mula memohon geran RM1,000 menerusi 'Get Malaysian Business Online' mulai Selasa depan (1 Januari), juga dengan mendaftar dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Beliau berkata usahawan kecil yang mendaftar di laman web dan memenuhi semua terma serta syarat akan menerima geran RM1,000 daripada SKMM yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank tempatan pemohon yang berjaya.

Thursday, November 29, 2012

AL-FATIHAH - Allahyarham Tuan Haji Wagiman Bin Idris

Ucapan takziah buat seluruh keluarga allahyarham Tuan Haji Wagiman Bin Idris, mantan Pengerusi JKKK Seri Tiram Jaya yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.00 pagi tadi di rumah beliau di Jalan Kemudi, Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang.

Allahyarham Tuan Haji Wagiman ketika menjadi Pengerusi JKKK Kampung Seri Tiram Jaya telah banyak berjasa dan sentiasa mengambil berat setiap permasalahan penduduk kampung, serta dikenali sebagai seorang yang peramah dan sentiasa mesra dengan setiap lapisan masyarakat di situ.

Y.Bhg. Dato’ Haji Mohamad Shafie Bin Haji Asnawi, Setiausaha Politik dan wakil kepada YB Datuk Seri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, turut hadir menziarah ahli keluarga allahyarham dan bersama-sama penduduk kampung untuk sembahyang jenazah.

Jenazah allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Seri Tiram Jaya pada tengahari tadi.

Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin. AL FATIHAH

Thursday, November 1, 2012

Elak lubang punca dua motosikal bertembung, pelajar dan penjual sayur parah di kaki dalam kemalangan di Bloq Q Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

SAWAH SEMPADAN – Seorang pembonceng dan penunggang motosikal parah di kaki, dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di jalan ban lintang di Blok Q, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggangi dua beradik perempuan merupakan pelajar sekolah menengah dan sebuah lagi motosikal penjual sayur.

Menurut orang ramai di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi dua beradik terbabit, yang dalam perjalanan dari Sawah Sempadan untuk ke sekolah yang terletak di Seri Tiram Jaya, cuba mengelak lubang yang terdapat di jalan tempat kejadian sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal penjual sayur dari arah yang bertentangan.

Kejadian menyebabkan pembonceng motosikal yang ditunggangi pelajar terbabit mengalami patah sebelah kaki hingga terkulai, walaubagaimanapun penunggangnya yang merupakan kakak kepada mangsa hanya mengalami cedera ringan.

Manakala penunggang motosikal penjual sayur terbabit yang dalam perjalanan untuk menjual sayur di sekitar kawasan itu turut parah di kaki akibat dirempuh oleh motosikal pelajar terbabit.

Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital Tanjong Karang oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian bagi menerima rawatan selanjutnya.

Berdasarkan penduduk sekitar yang ditemui, mereka berharap pihak-pihak berkaitan dapat segera menyeleggara jalan tersebut bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. Ini kerana, jalan tersebut telah menjadi laluan utama untuk mereka yang tinggal di sekitar Sawah Sempadan pergi ke kedai dan menghantar anak-anak ke sekolah rendah dan menengah yang terletak di Seri Tiram Jaya.