Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, December 28, 2012

PENGUMUMAN.!!! Permohonan rebet telefon pintar mulai Selasa ini

Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula memohon rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada pengedar berdaftar mulai Selasa depan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang layak yang boleh mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sharil berkata belia yang layak menikmati rebet RM200 itu boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan.

"Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia daripada kalangan berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G yang asas.

"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 sebenarnya bukanlah kategori yang dihasratkan atau pasaran sasaran," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebet RM200 sekali sahaja bagi pembelian telefon pintar 3G kepada 1.5 juta belia yang layak menerusi Pakej Komunikasi Belia ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada September lepas dalam usaha memberi belia akses kepada gerbang maklumat.

Dengan rebet itu, mereka dijangka membayar tidak lebih daripada RM300 untuk memiliki sebuah telefon pintar 3G baharu, katanya sambil menolak dakwaan bahawa had harga RM500 adalah rendah memandangkan terdapat lebih 20 model telefon berjenama yang dilengkapi kemudahan 3G.
"Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dan operator rangkaian maya mudah alih akan menawarkan tidak lebih daripada lima dan mungkin sehingga 10 atau 12 model di bawah inisiatif itu menerusi kedai pengedar mereka.

"Oleh itu, belia seharusnya mencari logo 'Pakej Komunikasi Belia' yang akan dipaparkan pada kain rentang dan bunting di kedai itu atau mereka juga boleh menyemak laman web penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan senarai telefon pintar dan kedai pengedar yang mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SKMM, lebih 90 peratus pengguna berada dalam segmen prabayar tetapi syarikat telekomunikasi hanya menyediakan insentif telefon bimbit bagi kontrak pascabayar.

Sementara itu, Mohamed Sharil berkata pemilik perniagaan kecil berumur antara 18 dan 65 tahun boleh mula memohon geran RM1,000 menerusi 'Get Malaysian Business Online' mulai Selasa depan (1 Januari), juga dengan mendaftar dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Beliau berkata usahawan kecil yang mendaftar di laman web dan memenuhi semua terma serta syarat akan menerima geran RM1,000 daripada SKMM yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank tempatan pemohon yang berjaya.

Thursday, November 29, 2012

AL-FATIHAH - Allahyarham Tuan Haji Wagiman Bin Idris

Ucapan takziah buat seluruh keluarga allahyarham Tuan Haji Wagiman Bin Idris, mantan Pengerusi JKKK Seri Tiram Jaya yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.00 pagi tadi di rumah beliau di Jalan Kemudi, Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang.

Allahyarham Tuan Haji Wagiman ketika menjadi Pengerusi JKKK Kampung Seri Tiram Jaya telah banyak berjasa dan sentiasa mengambil berat setiap permasalahan penduduk kampung, serta dikenali sebagai seorang yang peramah dan sentiasa mesra dengan setiap lapisan masyarakat di situ.

Y.Bhg. Dato’ Haji Mohamad Shafie Bin Haji Asnawi, Setiausaha Politik dan wakil kepada YB Datuk Seri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, turut hadir menziarah ahli keluarga allahyarham dan bersama-sama penduduk kampung untuk sembahyang jenazah.

Jenazah allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Seri Tiram Jaya pada tengahari tadi.

Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin. AL FATIHAH

Thursday, November 1, 2012

Elak lubang punca dua motosikal bertembung, pelajar dan penjual sayur parah di kaki dalam kemalangan di Bloq Q Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

SAWAH SEMPADAN – Seorang pembonceng dan penunggang motosikal parah di kaki, dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di jalan ban lintang di Blok Q, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggangi dua beradik perempuan merupakan pelajar sekolah menengah dan sebuah lagi motosikal penjual sayur.

Menurut orang ramai di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi dua beradik terbabit, yang dalam perjalanan dari Sawah Sempadan untuk ke sekolah yang terletak di Seri Tiram Jaya, cuba mengelak lubang yang terdapat di jalan tempat kejadian sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal penjual sayur dari arah yang bertentangan.

Kejadian menyebabkan pembonceng motosikal yang ditunggangi pelajar terbabit mengalami patah sebelah kaki hingga terkulai, walaubagaimanapun penunggangnya yang merupakan kakak kepada mangsa hanya mengalami cedera ringan.

Manakala penunggang motosikal penjual sayur terbabit yang dalam perjalanan untuk menjual sayur di sekitar kawasan itu turut parah di kaki akibat dirempuh oleh motosikal pelajar terbabit.

Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital Tanjong Karang oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian bagi menerima rawatan selanjutnya.

Berdasarkan penduduk sekitar yang ditemui, mereka berharap pihak-pihak berkaitan dapat segera menyeleggara jalan tersebut bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. Ini kerana, jalan tersebut telah menjadi laluan utama untuk mereka yang tinggal di sekitar Sawah Sempadan pergi ke kedai dan menghantar anak-anak ke sekolah rendah dan menengah yang terletak di Seri Tiram Jaya.

Tuesday, October 30, 2012

Dua parah dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Batu Lima Sungai Tunggul, Tanjong Karang.

TANJONG KARANG, 30 Okt - Dua cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan, kereta Produa Kancil, sebuah lori kecil dan Toyota Hilux. Kemalangan berlaku ketika hujan lebat di Batu Lima Sungai Tunggul, Tanjong Karang, jalan  Teluk Intan - Klang, pada jam 4 petang tadi.

Mangsa yang parah adalah pemandu kereta Produa Kancil yang tersepit dan seorang lagi mangsa adalah kelendan lori.

Mangsa yang tersepit iaitu pemandu Produa Kancil yang berasal dari Kampung Tengah Sungai Tengi Kiri, Tanjong Karang, telah berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Tanjong Karang yang tiba di tempat kejadian. Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang bagi menerima rawatan lanjut. Manakala pemandu lori dan Toyota Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca kejadian tidak diketahui.

Kemalangan yang berlaku menyebabkan kesesakan trafik hampir satu kilometer dari kedua-dua arah. Walaubagaimanapun trafik bergerak lancar semula, apabila berjaya dikawal oleh Poils Trafik yang tiba di tempat kejadian bagi mengawal lalu lintas.

Monday, October 1, 2012

BENARKAH DI KEBANYAKAN HOSPITAL TIADA DOS PENAWAR BISA ULAR.?

Baru-baru ini seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun terpaksa dibuang sebahagian daging yang rosak di bahagian betis kaki kanannya di Hospital Sungai Buloh akibat dipatuk ular dipercayai ular tedung.

Sebelum itu, kanak-kanak ini telah dibawa oleh ibu bapanya bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang setelah dipatuk ular ketika bermain di sekitar rumahnya di Parit 4 Sungai Burong.

Menurut cerita dari penduduk di situ, setelah bertarung nyawa hampir 4 jam kanak-kanak tersebut terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima suntikan anti venom untuk menawar bisa ular tersebut, berikutan ketiadaan bekalan dos penawar itu di Hospital Tanjong Karang.

Apa yang difahamkan ubat anti venom adalah sejenis vaksin antidote (penawar racun) kepada toksin ular dan ianya perlu diberikan segera kepada mangsa yang dipatuk ular berbisa seperti ular tedung, ular kapak, ular ketam tebu, ular orok-orok dan ular tedung selar. Dan jika terlewat member ubat tersebut kemungkinan mangsa akan mati, mengalami gangren (kerosakan tisu) dan pembekuan darah.

Jika benar penawar bisa ular tersebut dalam kawalan dan hanya diletakkan di hospital tertentu sahaja. Namun, kepentingan ia ditempatkan di hospital-hospital daerah juga seharusnya diberi perhatian dan keutamaan, terutama di kawasan luar bandar yang kawasan sekitar penduduknya adalah petani dan peladang. Walaupun tidak berlaku setiap hari, tetapi risiko untuk berlaku kejadian seperti ini adalah amat tinggi.

Jesteru diharapkan agar pihak Kementerian Kesihatan serta pihak-pihak yang berkaitan dapat memberikan perhatian dan pertimbangan cadangan ini bagi mengelakkan kesulitan pada masa akan datang.