Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, February 4, 2009

Nelayan mahu projek kebun kerang dibatal - Malaysiakini

Nelayan di Sungai Besar memohon kepada pihak berkenaan untuk membatalkan projek kebun kerang yang didakwa memberikan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

Nelayan Melayu di sini mendakwa, mereka tertindas, berikutan penternak kerang membuat pancangan terlalu banyak dan di luar kawasan lot yang ditetapkan.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Abd Talib Lambak berkata, pendapatan nelayan tersekat disebabkan projek kerang yang diusahakan individu berkenaan tidak mematuhi Akta Perikanan.

Menurutnya, hasil tangkapan merosot sama sekali sejak projek dimulakan sekitar 2008 kerana kawasan ternakan kerang yang diusahakan adalah lokasi udang dan juga tapak semula jadi kerang.
“Jika sebelum projek dimulakan, pendapatan kami agak lumayan dan boleh menjamin keluarga dan perbelanjaan harian namun selepas projek ini dimulakan, pendapatan kami merosot.

“Dalam masa sama kami terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi untuk membeli peralatan yang rosak akibat daripada projek ini dan sudah tentunya kami tidak mampu,” katanya.
Beliau juga kesal kerana sepatutnya nelayan boleh mencari rezeki di kawasan yang selamat namun selepas ternakan kerang tersebut diusahakan, nelayan menanggung risiko apabila terpaksa ke tengah laut dengan bot yang kecil.

Abd Talib berkata, prosedur meluluskan projek di tapak semula jadi dipertikaikan dan nelayan bersepakat mahukan siasatan yang menyeluruh dilakukan segera.
“Mana tidaknya, kebanyakan pengusaha bukan orang tempatan dan kewujudannya seakan menolak ke tepi hak nelayan untuk mencari rezeki. Betapa terhimpit dan tersepitnya nelayan persisiran pantai. Kami tidak kisah dan tidak menjadi masalah jika projek hendak dibuat di sepanjang pantai asalkan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

“Tapi sekarang, apa yang kami pedulikan, pengusaha kebun kerang mendapat keuntungan tanpa perlu mengeluarkan modal untuk membeli benih kerang sedangkan nelayan menanggung kerugian,” katanya.
Beliau berharap, dengan adanya siasatan daripada Jabatan Perikanan pada kali ini dapat membantu menyelesaikan masalah itu selain mengharapkan kerjasama daripada semua pihak.

No comments: