Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 14, 2008

Ajar Sains, Matematik dalam BM

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta meletak jawatan jika gagal melaksanakan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Cadangan itu merupakan keputusan yang dicapai pada Persidangan Meja Bulat Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu dengan alasan bahasa Inggeris gagal membantu murid-murid menguasai sains dan matematik.

Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, daripada analisis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, hampir 30 peratus pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) gagal Bahasa Inggeris.
''Jumlah ini melibatkan 140,000 pelajar dan mereka ini akan tergolong dalam pelajar yang kurang pintar jika Sains dan Matematik terus diajar dalam bahasa Inggeris,'' katanya.
Zainal berkata demikian pada sidang akhbar selepas perbincangan meja bulat berkenaan di Rumah Gapena semalam yang melibatkan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, peserta juga menuntut supaya Kementerian Pelajaran melaksanakan Dasar Pendidikan Negara yang termaktub sejak Penyata Razak 1956 hinggalah Akta Pendidikan 1999 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
''Bahasa Melayu sudah menunjukkan keupayaannya sebagai bahasa penghantar dan bahasa ilmu di semua sekolah dan institusi pendidikan selama lebih 30 tahun.

''Menghapuskan bahasa Melayu daripada isi dan kandungan ilmu Sains dan Matematik yang tinggi akan menjadikan bahasa kebangsaan itu satu bahasa rendah, pasaran dan hanya untuk kegunaan golongan rendah,'' kata Zainal.

No comments: