Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 22, 2008

Harga saham dijangka turun

Harga saham dijangka terus mengalami penurunan minggu depan kerana para pelabur bimbang dengan ketidakstabilan senario politik semasa, kata para penganalisis.

Selain kemelut politik dalam negara, keadaan diburuk lagi dengan kejatuhan beberapa pasaran saham serantau berikutan harga minyak mentah dunia yang kekal tinggi dan kebimbangan terhadap kenaikan kadar inflasi dalam ekonomi negara utama dunia.

IKKL menjunam lagi sebanyak 16.2 mata atau 1.34 peratus kepada 1,196.39, kejatuhan untuk hari kedua berturut-turut selepas Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan mengemukakan usul berkenaan ke Parlimen Isnin ini.

Penganalisis MIMB Invesment Bank, Pong Teng Siew berkata, selain kesan daripada kejatuhan pasaran saham Asia yang lain, keadaan politik semasa negara yang tidak stabil kini telah memburukkan lagi keadaan.
''Walaupun keadaan ini bersifat sementara tetapi persoalannya di sini, berapa lamakah tempoh tersebut kerana sedikit sebanyak ia akan menjejaskan keyakinan pelabur tempatan dan asing,'' katanya kelmarin.
Beliau berkata, bursa saham di Amerika Syarikat (AS) juga mengalami kejatuhan dua hari berturut-turut adalah disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh kumpulan perbankan di rantau berkenaan.
''Kenaikan harga minyak yang melampau juga telah meninggalkan kesan negatif bagi pasaran AS,'' jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazarry Rosli berkata, pasaran saham dijangka terus menurun pada minggu hadapan kerana pasaran masih dihantui oleh pelbagai berita buruk.
''Indeks kini tiada paras sokongan baru dan kami menjangkakan ia mungkin akan mencecah ke paras 1,180 tidak lama lagi,'' kata beliau.
Bagaimanapun, penurunan harga saham dijangkakan pada esok kerana kegiatan pengambilan untung biasanya berlaku pada hari terakhir urus niaga pada hujung minggu.

Penganalisis lain, Shahril Anas pula berkeyakinan bahawa ketidakstabilan pasaran mungkin akan kembali reda sekiranya ada berita baru yang baik untuk memulihkan semula pasaran saham tempatan.

Katanya, senario pelaburan minggu depan dijangka ditumpukan kepada sektor perladangan dan komoditi.

No comments: