Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, July 18, 2014

TERKINI!!! dilaporkan pesawat Boeing 777 MAS MH17 bersama 295 penumpang terhempas di Ukraine, dipercayai telah ditembak jatuh !..?

#PRAYFORMH17 Satu lagi tragedi mengejutkan negara apabila Malaysia Airlines (MAS) mengalami satu lagi kemalangan pesawat selepas MH17 dilaporkan terhempas di Ukraine.

Berita terkini oleh media asing melaporkan MH17 "ditembak jatuh" ketika ia berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat MH17 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Empat bulan sebelum ini pesawatnya MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac.

Usaha mencari pesawat itu masih berjalan, bagaimanapun hingga sekarang, serpihan pesawat itu gagal ditemui.

Dalam reaksi segera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi tweetnya "terkejut mendengar laporan pesawat MAS terhempas, dan mengarahkan siasatan segera dijalankan."

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi Bernama berkata Wisma Putra sedang bekerjasama dengan kerajaan Rusia dan Ukraine susulan tragedi itu.

MAS dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah menerima pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan dengan MH17 pada 1415 (GMT) 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.

Syarikat pengeluar pesawat, Boeing berkata ia bersedia memberi apa jua bantuan yang diminta oleh pihak berkuasa berhubung MH17.

"Doa kami adalah bersama mereka yang berada dalam pesawat Malaysia Airlines yang hilang di ruang udara Ukraine serta keluarga mereka dan orang tersayang," kata Boeing dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Seattle Khamis.

Portal kerajaan Ukraine http://www.kmu.gov.ua/ menyatakan pada Rabu situasi di sempadan Ukraine-Rusia masih tegang.

"Pengawal sempadan meneruskan tugas berdasarkan pelan am ATO. Tentera upahan Rusia dan pengganas saling berbalas tembakan," menurut laman web itu.

Friday, June 20, 2014

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN - Tarikh melihat anak bulan Ramadan 27 Jun

Tarikh dan masa melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa ialah pada petang Jumaat, 27 Jun bersamaan 29 Syaaban.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.

Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.

Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

TERKINI.!!! Letupan Di The Store Klang

Kejadian letupan di the store klang, dikatakan berpunca dari gas sylinder. Walaubagaimanapun tiada laporan ada mangsa yang tercedera setakat ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, May 27, 2014

Mayat Penyelia Kilang Terjatuh Dari Sampan Dijumpai

TANJONG KARANG, 27 Mei - Mayat penyelia kilang yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sampannya ketika memancing di pesisir pantai Sungai Kajang di sini kelmarin, ditemui pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata mayat Hasan Ashari Mat Da'ae, 39, ditemui terapung oleh nelayan pada pukul 9.20 pagi, kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh.

"Mangsa dijumpai oleh nelayan tempatan yang turun ke laut seawal pukul 6.30 pagi ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.

"Mayatnya berjaya dinaikkan pada pukul 10 pagi dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Hasan dikhuatiri lemas selepas sampannya ditemui tanpa dikemudi sesiapa, kira-kira lima kilometer dari pesisir pantai Sungai Kajang petang kelmarin.

Mangsa dipercayai keluar sendirian untuk memancing di laut sebelum sampannya bersama peralatan memancing dan barangan peribadi seperti telefon bimbit, ditemui pemancing lain.

Bomba yang menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 2.15 petang kelmarin melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan mangsa dipercayai terjatuh dengan bantuan pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bomba sukarela dan nelayan tempatan.

Monday, May 26, 2014

PEMUDA HILANG KETIKA MEMANCING DI TANJONG KARANG

Mangsa lelaki Melayu berumur 39 tahun, dipercayai terjatuh dan lemas ketika memancing di laut 5KM dari Jeti Sungai Kajang, Tanjong Karang.

Operasi mencari dan menyelamat oleh anggota Bomba diketuai Ketua Balai PPgB Azmi Abbas, dari Balai Bomba Dan Penyelamat Tanjong Karang sebaik menerima panggilan sekitar jam 2:51 petang semalam.

Operasi yang masuk hari kedua setakat petang tadi, mangsa masih belum dijumpai dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.