Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, July 24, 2008

Kerajaan campuran di Selangor, PAS – UMNO

Khir Toyo menawarkan jawatan kepada PAS sekiranya UMNO-PAS boleh membentuk kerajaan campuran di Selangor. Dalam isu ini Khalid Ibrahim mengulas bahawa tidak ada masalah antara PAS dan PKR dan kali ini menurut www.malaysiakini.com Dr Hassan Ali, Pesuruh Jaya PAS Selangor hadir pada sidang akhbar tanpa mengulas apa-apa.

Desas – desus perpecahan dalam kerajaan Pakatan Rakyat sudah mula terdengar dan ura-ura tersebut seakan satu realiti. Diperkatakan bahawa hari ini PAS lebih mahu mempertahankan Islam dan Melayu dari berpakat dengan DAP sungguhpun sebelum ini mereka membentuk kerjasama dengan DAP untuk PRU 12.

Hakikat mungkin semakin jelas bahawa PAS sepatutnya tidak membentuk sebarang usaha sama dengan DAP kerana DAP tidak pernah memikirkan tentang bangsa lain selain dari bangsa Cina. Pulau Pinang juga akan berubah kepada negeri elit Cina – sungguhpun kita lihat ada ketelusan dalam kerajaan memerintah tetapi ketelusan ini tidak memikirkan nasib Melayu Pulau Pinang yang semakin mengecil dari segi kedudukan dalam ekonomi dan politik. Ketelusan dan pembahagian yang sama rata tidak menjamin keadilan sosial di Negeri Pulau Pinang.

Selangor pula – kedudukan PAS Selangor turut dimaklumkan semakin mengecil. Peranan yang diperkecil menyebabkan PAS semakin tidak selesa dengan Pakatan Rakyat yang ada. Menurut sumber – ahli PAS Selangor bersedia menerima keputusan Presiden sekiranya Presiden mengumumkan bahawa PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat. Namun begitu pertelagahan turut berlaku – usahkan untuk PAS menyertai UMNO untuk kerajaan campuran tetapi untuk bermuzakarah juga sudah ada yang memberi reaksi berlainan. Semua ini adalah kerana batasan politik yang wuud sungguhpun muzakarah itu adalah mengenai Islam dan Melayu. Adakah salah kalau kita sesama Melayu bermuzakarah atau sebenarnya UMNO terlampau jijik di ajak berunding oleh mereka seperti Nik Aziz.

Apa pun untuk berunding dengan Khir Toyo berkenaan isu Islam dan Melayu ini kita perlu juga berhati-hati. Khir banyak menunjukkan sikap yang tidak memihak kepada Melayu dan langsung tidak memberi sedikit ihsan dalam menyelesaikan masalah Melayu khususnya peneroka kota Selangor. Program sombong beliau sewaktu memerintah Selangor perlu juga diambil kira sekiranya ada sebarang perhubungan atau diskusi dalam membentuk kerajaan campuran atau kolaborasi antara UMNO Selangor dan PAS Selangor. Kita seharusnya mengambil iktibar dalam usaha mengadakan kolaborasi – menilai dan akhirnya menetapkan sama ada orang seperti Khir ini patut diberi peluang kedua dalam memimpin negeri.

Sedangkan sepatutnya dalam UMNO juga Khir ini seharusnya didedahkan sebagai pemerintah negeri yang gagal membezakan keperluan dan definisi kemajuan yang mahu dicapai. Adakah dengan menggadai hak Melayu untuk melihat pembangunan fizikal itu sebenarnya kemajuan?

PAS Selangor mungkin mempunyai hak untuk keluar dari Pakatan Rakyat tetapi untuk melepaskan Khir Toyo kerana itu adalah sesesuatu yang perlu difikirkan masak-masak.

Negara Perlukan 250,000 Jurutera Menjelang 2020

SHAH ALAM - Negara memerlukan seramai 250,000 jurutera profesional menjelang 2020 bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan seperti yang dirancang, kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

"Sasaran ini akan menjadikan nisbah seorang jurutera bagi 100 orang dan ini merupakan nisbah untuk negara maju.

Ini merupakan satu usaha yang akan dijalankan oleh kerajaan melalui satu pelaburan yang besar kepada pembangunan modal insan," katanya pada sidang media selepas merasmikan "Alumni Engineering Talk Show" di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Katanya UiTM misalnya mengeluarkan kira-kira 500 jurutera setiap tahun dan kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 jurutera setiap tahun untuk mencapai sasaran 250,000 jurutera menjelang 2020.

Beliau berkata antara industri yang memerlukan pertambahan jumlah jurutera adalah dalam sektor pembuatan, bioteknologi, teknologi maklumat, kimia dan robotik.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata kementerian itu akan mengkaji permintaan UiTM untuk membina laluan bertingkat dari Lebuhraya Persekutuan terus ke UiTM.

"Kita nak kaji nak tengok dari segi teknikal parameter dan kalau ada keperluan segera saya akan "angkat" perkara ini untuk kelulusan Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan bila UPE dah luluskan baru ada peruntukan kewangan disediakan oleh Kementerian Kewangan.

"Seterusnya waran akan diberi kepada Kementerian Kerja Raya dan sebagai agensi pelaksana kepada infrastruktur ini saya tak ada halangan untuk bantu UiTM untuk dapat kemudahan jalan keluar masuk ini", katanya.
Click here!