Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 30, 2008

SEMUA KURSUS DI NEGERI DIKUASAI PEMBANGKANG DITANGGUH

TANJUNG KARANG - Semua jadual kursus untuk peningkatan kefahaman dan teknikal yang dianjurkan bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) di negeri-negeri yang di kuasai oleh BA ditangguhkan.

Menurut sumber-sumber Ibupejabat PKK Putera Jaya, penanguhan ini adalah atas arahan KSU Kemeterian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu menurut sumber PKKM Negeri Selangor penangguhan jadual kursus tersebut bagi membolehkan kajian semula dibuat dan Menterinya YB Dato' Noh Omar dijangkakan memberikan cadangan baru sebaik sahaja mendapat taklimat dari pihak PKK.

Terdapat banyak jadual kursus yang telah dirancang dan diiklankan dalam laman web PKK Pusat.

Sebelum ini PKK telah menjadikan kursus salah satu syarat untuk pembaharuan lesan kelas F di semua negeri. Dianggarkan lebih 80 peratus kontraktor telah mengikuti kursus yang diadakan sejak 2 tahun lepas.

Kementerian Penerangan Perlu Direkayasa, Kata Shabery

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu memerlukan perekayasaan bersesuaian dengan perkembangan media terbaru supaya ia terus relevan selain menjadi ejen perubahan kepada masyarakat.

Katanya arah pemberitaan perlu berubah dengan memberikan hala tuju berorientasikan rakyat selain memberi keutamaan kepada sesuatu yang mempunyai nilai berita, dan bukan hanya tertumpu kepada kenyataan menteri-menteri yang dianggap semakin lama semakin tidak menarik.

"Doktrin media sekiranya menganggap ia masih sebagai propaganda ia ada adalah fungsi yang lapuk. Orang memerlukan media dari segi maklumatnya, dari segi pendidikan dan fungsi kritiknya untuk rakyat mengkritik sebab kita mesti akui setinggi manapun, kita (masih) tidak sempurna. Jika kita tidak mendengar kritikan rakyat, akhirnya kita dijatuhkan," katanya dalam wawancara rancangan Helo Malaysia yang disiarkan Bernama TV Sabtu malam.

Beliau ditemuramah oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Berikut adalah petikan penuh wawancara berkenaan:

SOAL (S) : Adakala kita dari luar rumah melihat sesuatu dari jendela, ada satu gambaran dan persepsi. Sebelum Datuk menjadi menteri di Kementerian Penerangan 10 hari ini, apakah persepsi terhadap kementerian dan misalnya dalam impian dan persepsi satu hari dalam kementerian ini, tentulah ada perkara yang Datuk rasa boleh bawa idea, program dan sebagainya .

JAWAB (J): Ada waktu dulu saya lihat Kementerian Penerangan sebagai satu kementerian penting dalam kementerian-kementerian yang ada.

Tanggungjawabnya besar dan banyak perkara yang dikaitkan. Soal penerimaan rakyat kepada dasar-dasar kerajaan sering dipertanggungjawabkan kepada kementerian ini.

Sudah tentulah kadangkala persepsi orang, Menteri Penerangan ini dianggap Menteri RTM. Itu persepsi. Kemudian RTM itu sendiri menghadapi masalah kurang ditontoni dan sebagainya. Ini dikaitkan dengan cabaran yang kita terpaksa hadapi.

S: Saya mengikut dua kenyataan yang Yang Berhormat lakukan. Yang pertama Datuk memberi pengiktirafan mengenai relevannya kumpulan penulis blog dan peranan mereka.

Dan yang kedua, dalam satu jamuan makan tengah hari dengan ketua-ketua pengarang dan pegawai kanan akhbar, Datuk mengatakan mahu memberi satu dimensi baru pemberitaan tidak lagi semestinya Menteri Penerangan itu orang ketiga pencetus berita setiap hari. Kalau boleh dihuraikan lebih lanjut?


J: Yang pertama saya beritahu diri saya dan juga rakan-rakan selalunya saya sebagai orang politik semakin lama semakin kurang untuk menunggu Berita jam 8 untuk mendapat maklumat dari televisyen. Saya percaya ramai yang begitu.

Selalunya apabila saya mencari berita dengan membaca akhbar di waktu pagi. Yang lainnya bila balik rumah, selalunya tengah malam, saya mula melayari Internet untuk mengambil mana yang saya tertinggal dari segi pemberitaan.

Dalam Internet sekarang bukan sahaja akhbar tetapi TV pun ada. Kadang-kadang wawancara yang tertinggal, yang dikatakan bagus, saya pergi ke Internet.

Oleh sebab itulah saya katakan bahawa menemui 'bloggers' itu bukanlah kerana semata-mata kerana ada isu, lepas pilihan raya dikatakan bloggers itu penting dan sebagainya tetapi ini adalah` mode of media' atau sebagai kaedah orang mendapat maklumat yang baru dari Internet ataupun blog.

Ia tidak ada masalah airtime, ruang terbatas yang ada dalam tv sebagainya. Kalau orang nak tengok 'YouTube' itu berapa banyak dan berapa lama dan pada bila-bila masa dan bila nak baca pendapat, tidak ada sekatan dari segi keterhadan muka surat berbeza dengan surat khabar.

Saya banyak mengikuti pendapat umum. Misalnya dulu sebagai Setiausaha Parlimen sebelum nak pergi menjawab soalan itu saya kena bayangkan apakah bentuk soalan yang bakal dikemukakan. Saya kena tengok apa pandangan penulis blog. Sebab itu saya katakan dunia siber menjadi semakin penting. Misalnya di Amerika sendiri walaupun mereka jauh lebih maju dari kita, televisyen masih nombor satu. Yang kedua radio, yang ketiga akhbar dan keempat, barulah Internet.

Tetapi Internet semakin penting yang mesti kita akui bahawa mereka perlu didekati, selami perasaan mereka dan apa pandangan mereka dan sebagainya. Yang kedua tadi mengenai pembentangan berita. Saya percaya kaedah orang melihat tengok RTM mula dengan kenyataan dari satu menteri ke satu menteri.

Satu pendekatan yang saya rasa semakin lama semakin tidak menarik. Kalau kerajaan nak sampaikan apapun mestilah melalui medium yang menarik. Walaupun saya percaya bukanlah satu peraturan yang dibuat oleh menteri sebelum ini mesti nombor tiga, tetapi ini persepsi orang ramai bahawa Menteri Penerangan mendapat publisiti lebih dari menteri-menteri lain.

Tadi saya ke bilik berita saya beritahu banyak perkara bukannya Menteri Penerangan yang jawab.

Kementerian Penerangan menjadi fasilitator untuk mempermudahkan semua kementerian lain untuk menjawab ataupun untuk menerangkan. Ini peranan kami untuk menyampaikan maklumat kepada kementerian untuk menjawab. Sebab itu saya katakan nilai berita itu mestilah diberi keutamaan. Kalau berita itu dari luar negara, penting itu yang menjadi minat orang ramai, dan isu besar, itulah yang didahulukan tidak semestinya menteri kita didahulukan.

Itu yang saya rasakan satu pendekatan yang perlu diingatkan kepada kaedah pemberitaan kita.

S: Berdasarkan kaitan dan latar belakang dengan Kementerian Luar, saya ingat semasa mula merdeka dan Malaysia ditubuhkan kita sebuah negara baru dan mengambil daya usaha untuk membuat satu penetrasi kepada negara luar supaya negara ini diketahui dunia. Dan atase penerangan adalah salah satu institusi yang cukup penting memenuhi peranan tersebut. Berdasarkan pengalaman di Kementerian Luar dan dibawa mengetuai Kementerian Penerangan, apa program yang dirasakan yang perlu dijawab pada masa ini dari segi imej politik kita di peringkat antarabangsa?

J: Saya rasa sekarang ini kita tidak boleh lari dari persepsi negara lain terhadap negara kita kerana kita semakin terdedah. Kalau orang nak berdagang, berniaga dengan kita, pelabur nak datang, melancong mereka ingin tahu mengenai negara kita. Dari itulah dari semasa ke semasa peranan yang dimainkan oleh duta-duta kita cukup penting. Dan ada kalanya penerangan perlu dibuat sekiranya ada isu. Misalnya ada berlaku demonstrasi yang dibuat beberapa kumpulan dalam negara kita. Bila demonstrasi ini dipaparkan melalui media antarabangsa ia menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa untuk terus berhubung dengan kita, jadi penerangan perlu dibuat.

Satu, kebijaksanaan yang perlu dimainkan oleh duta-duta kita, kadangkala terpaksa mereka menulis dalam akhbar bagi menjawab komen dan pandangan orang ramai. Tetapi ada perkara secara langsung kita memberi penerangan kepada mereka sama ada melalui duta-duta kita di sana, di mana kita boleh menyampaikan maklumat melalui Internet, surat-surat kita kepada mereka yang berkenaan. Sebab itulah penerangan ini akan terus memainkan peranan dan fungsinya dalam memaparkan imej negara.

S: Adakah pendekatan mereka itu memenuhi hasrat yang mahu dicapai? Kalau saya tinjau bentuk pemberitaan dan laporan akhbar luar negara, ruang simpati lebih kepada kumpulan yang menentang kerajaan dan parti-parti yang berlawan dengan kerajaan.

J: Selalunya banyak orang menganggap lebih nilai beritanya sekiranya ada pertentangan. Kalau aman sahaja tak ada nilai berita. Sebab itulah ada kencederungan pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa misalnya menonjolkan sesuatu yang berkaitan pertentangan, ada konflik dan sebagainya. Itu nilai berita yang mereka menganggap lebih laku dijual. Tapi ini tanggungjawab kita. Kita tidak boleh menganggap apabila pemberitaan dibuat begitu rupa ini adalah pandangan negara berkenaan.

Sebab kita tahu media sekarang ini semakin lama semakin bebas dan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk melariskan pemberitaan mereka, akhbar mereka untuk memaparkan perkara yang dianggap menarik.

S: Saya kembali kepada institusi untuk memainkan peranan yang berkesan itu. Adakah dalam perancangan dua kementerian yang bergabung iaitu Kementerian Penerangan dan Kementerian Luar perlu dizahirkan semula, untuk diaktifkan semula peranan atase penerangan di luar negara terutamanya negara-negara yang sangat bermakna kepada kita yang kita telah dilukis dengan keadaan yang tidak begitu baik?

J: Saya rasa dalam konteks penerangan, atase yang sudah ada yang bergerak bersama kedutaan kita di negara-negara yang kita rasa penting hubungannya, misalnya soal perdagangan, kita sudah ada atase pendidikan, pelancongan dan sebagainya. Setakat ini saya fikirkan kita tidak perlu ada seorang yang sedia menjawab sahaja kerjanya, sedangkan jika menyalurkan jawapan mengenai isu-isu yang ditimbulkan melalui duta kita di sana sehingga sekarang saya rasakan sudah mencukupi. Mengadakan atase tersendiri akan melibatkan kos yang lain.

S: Tetapi dalam zaman ini maklumat itu satu komponen yang penting pada masa ini. Saya melihat waktu kita sebuah negara muda yang sumber kewangan tidak sebesar sekarang tetapi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama itu adalah prioritinya.

J: Ya, pada waktu itu nak salurkan berita (susah). Masa itu Internet belum ada, banyak bahan guna teleks, telegram, telefon. Nak bercakap telefon pun perlu 'booking' (tempah) masa dan sebagainya. Jadi perlu kita letakkan seorang untuk menjawab bagi pihak kerajaan bahawa Malaysia ini indah untuk pelancong datang dan sebagainya.

Waktu itu Kementerian Pelancongan pun tak ada lagi. Kewajaran pada waktu itu adalah seorang yang terangkan pasal Malaysia. Bukan sahaja dari segi isu tetapi kebaikan lain soal pelaburan pendidikan pelancongan dan sebagainya. Tetapi penerangan kita dari aspek lain sudah banyak. Atase perdagangan kita ada untuk salurkan berita sekarang cukup mudah dan tak perlu ada seorang berada di sana. Itu pandangan saya.

S: Bagaimana dengan kaedah yang digunakan oleh saluran media negara? Banyak tanggapan mengatakan salah satu punca kekalahan besar parti pemerintah ialah kegagalan memenangi minda pengundi dalam pilihan raya umum sebab mereka masih menggunakan pendekatan media secara yang lama.

J: Saya tidak fikir sangat bahawa menggunakan kaedah yang lama itu menjadi punca tetapi isi atau cara kita menjawab tentang beberapa isu yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan misalnya itu yang perlu dipertingkatkan.

Pandangan dan kritikan orang semakin sofistikated sekarang ini. Ada yang benar, kurang benar dan separuh benar dan sebagainya. Saya memberi contoh seorang anak muda yang balik mengundi dan kemudian saya jumpa di sini.

Menurutnya, kebanyakan anak muda tak mengundi BN, bukan kerana anti BN, Umno tetapi BN tak berapa nak dengar pandangan mereka. Nak minta benda yang kecil sahaja bukan benda besar iaitu supaya turunkan harga minyak, itu sahaja. Ini apa dikongsi ramai anak muda yang tinggal di Lembah Klang. Dia kata inilah kebanyakan kami.

Bila pembangkang menawarkan kalau dia naik (menang), harga minyak diturunkan sudah tentu kita akan sokong pembangkang. Buat tak buat, soal lain, nanti kita undilah balik BN pada pilihan raya akan datang.

Jadi saya tanya, saudara tahu tak kalau diturunkan harga minyak membabitkan kos yang besar, subsidi sekarang pun dah besar. Kalau nak, kurangkan lagi kos besar. Kalau orang kampung dengar kecil hati mereka.

Di sini jalan dah baik, klinik dah baik, hospital dah ada pembangunan dah cukup. Tapi bagi orang Felda, mereka hendak sekolah, nak jalan raya, nak hospital, kemudahan lain yang perlu dibangunkan sudah tentu dinafikan hak mereka jika ambil duit itu untuk subsidi. Jadi dia terfikir benar kata saya itu kerana selama ini dia menganggap bahawa dia marah kerana harga minyak mengakibatkan gaya hidup mereka terjejas.

Nak beli (pakaian jenama) Armani, jenama-jenama baru dah tak boleh dibeli kerana wang mereka semakin kecil akibat kenaikan harga minyak. Jadi mereka nak hukum soal harga minyak dihukum di kampung dengan mengundi pembangkang.

S: Tapi kita tengok dia jadi marah kerana harga minyak naik. Kita harus akui hakikat cara kerajaan naikkan harga minyak pun tanpa apa-apa penerangan. Saya pun tak tahu. Tidak ada perancangan media yang tersusun dalam meletakkan dasar yang begitu penting.

J: Isu itu sebenarnya boleh diterangkan. Tetapi kalau penerangan itu tidak dibuat dengan cara yang baik menyebabkan orang tak faham. Tak ramai orang yang tahu bahawa harga minyak kita naik kerana harga minyak dunia naik. Ada kaitan perang di Iraq, permintaan dari China dan India yang semakin banyak.

Ramai yang tak tahu pun minyak kita antara termurah di dunia dan ada yang tak faham pun kita dah ada keluar minyak Petronas kenapa tak digunakan duit itu untuk menampung harga minyak. Inilah penjelasan yang perlu diberikan untuk dimainkan oleh kita semua.

S: Dalam menghadapi cabaran begini yang menarik kepada saya ialah kekayaan pengalaman YB kerana pernah mewakili Parti Semangat 46 dalam pembangkang dan merasai tekanan dan kekecewaan sebagai pembangkang dan kemudiannya masuk Umno dan 46 dibubarkan. Dengan pengalaman itu tentu perlu kita membuat satu media doktrin yang baru. Saya katakan demikian bahawa kalau kita masih dengan cara lama kita makin hari akhbar utama dan akhbar perdana dan stesen media elektronik termasuk RTM dan Bernama orang sudah ada media alternatif.

Apakah cabaran utama untuk menggariskan satu doktrin media yang baru untuk menjadi garis panduan daripada sekarang dalam era siber ini?

J: Saya berterima kasih kerana mengingatkan sejarah saya yang saya anggap bukan sejarah hitam tetapi memberi pengalaman kepada saya kerana pada waktu itu dikaitkan kepada apa yang berlaku pada Umno dan rakan-rakan yang bersama dalam Semangat 46 yang cintakan pada Umno.

Semangat 46 dibubarkan kerana kami percaya dalam apa keadaan sekalipun kami merasakan jawapan kepada masalah rakyat masih kita rasakan Umno yang mampu melaksanakannya. Keterbukaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan pada waktu itu dan sekarang ini memberi ruang untuk kita terus memainkan peranan.

Mengenai media tadi, saya setuju doktrin tentang media kalau dianggap sebagai satu alat propaganda sudah tentu dianggap fungsi yang lapuk. Orang memerlukan media dari segi maklumatnya, dari segi pendidikan dan fungsi kritiknya untuk rakyat mengkritik sebab kita mesti akui setinggi manapun kita tidak sempurna.

Jika kita tidak mendengar kritikan rakyat akhirnya kita dijatuhkan. Dan kenyataan yang terpaksa kita terima apabila Bapa Kemerdekaan kita dahulu menggunakan konsep kerajaan demokrasi berparlimen yang memerlukan pilihan raya setiap lima tahun akhirnya kita kena jumpa rakyat.

Kita kena dengar pandangan rakyat yang kini lebih sofistikated dan canggih. Dulu kita buat ceramah di kampung tetapi sekarang kalau kita buat ceramah di kampung belum tentu orang datang. Bukan sahaja kita katakan ini untuk parti kerajaan tetapi juga parti pembangkang semakin lama susah untuk mendapat audiens kecuali waktu pilihan raya. Kerana mereka mempunyai pelbagai media alternatif dan boleh berkomunikasi secara mudah menggunakan telefon, sms, internet, blog dan sebagainya. Sebab itulah media arus perdana yang kita anggap selama ini itu sahaja yang memonopolikan berita mempunyai peranan semakin kecil walaupun masih besar tetapi semakin kecil.

Kemudian rakyat semakin pandai, mempunyai keupayaan berfikir semakin tinggi dan tak mahu saluran media yang bersifat berat sebelah dan apabila melihat berat sebelah mereka kata ini tidak benar dan tidak bebas. Jadi sebab itu mereka beralih kepada media alternatif. Sebab itulah konsep pemberitaan yang dimainkan sekarang perlu dilihat kembali dan televisyen pula apabila teknologi meningkat saya percaya televisyen juga boleh dilihat dalam internet. Orang boleh tengok televisyen tanpa parabola.

S: Satu pengakuan Datuk satu penyampaian yang berbeza daripada yang konvensyenal. Dalam tempoh dua minggu ini ada dinamik dalam gaya dan keterbukaan pemberitaan termasuk dalam New Straits Times yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah. Mereka adalah yang terawal yang membuat wawancara dengan Menteri Besar Selangor.

The Sun pula membuat wawancara dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim dan The Star dua muka dengan Menteri Besar Selangor dari parti PKR. Itu sudah ada anjakan dalam media cetak. Dan ini adalah cabaran sebenarnya kepada stesen televisyen dan elektronik dan lebih mencabar adalah agensi berita di bawah kerajaan, kementerian termasuk Bernama.

Bagaimanakah imbangan yang seharusnya dibawa ke Jemaah Menteri satu fahaman dengan dinamik baru yang berlaku ini.


J: Kita tidak boleh mengatakan tiada langsung, tiada ruang yang diberikan kepada pihak yang menentang kerajaan dalam tv nasional termasuk TV1 dan sebagainya. Ada diberikan misalnya ruang debat, debat dalam parlimen, bukan sahaja pembangkang tetapi rakan-rakan dalam pmerintah yang mengkritik kerajaan diberikan ruang yang besar dan ini sebahagian keterbukaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kita pada hari ini. Kita juga perlu menerangkan bahawa tidak mendapat liputan bukan bermakna negatif kepada mereka atau positif kepada mereka.

Ada orang yang terlalu banyak ruang yang diberikan, mereka semakin tidak popular. Kerana ia akan mendedahkan seseorang itu dari segi kemampuannya, dari segi kebijaksanaannya, kebolehannya dan sebagainya. Ada banyak perkara saya rasakan dalam memberi ruang kepada pembangkang misalnya, kalau dilihat contohnya janji dalam pilihan raya. Saya rasa pembangkang akan berhadapan dengan masalah lebih besar kalau diberi ruang dan ada orang berdebat dengan mereka. Misalnya dalam satu masa nak turunkan harga barang, gaji minimum. Orang macam ini patut turun dan berdebat di tv terangkan macam mana tukang kebun, amah (dibayar gaji minimum) RM1,500. Bagaimana dengan orang lain pula.

S: Saya minta tiga, empat orang wartawan Bernama di bawah 30 tahun berbual dengan generasi muda di Lembah Klang yang 200 jawapan yang terdiri dari profesional, mahasiswa, pensyarah guru peguam doktor. Pandangan mereka mengapa tidak ada keberanian dalam media. Mereka membandingkan pilihan raya yang sedang berlaku di Amerika di mana parti Demokrat mendapat liputan sama. Mereka kata mereka cukup mempunyai latar belakang untuk membuat penilaian tetapi apa yang kami marah apabila seolah-olah diblackout langsung berita yang kami nak dengar dari belah pihak lain. Jadi kami tak perlu tengok langsung. Itu satu maklum balas yang saya rasa cukup berharga.

J: Kita menyedari perkara ini. Kalau tidak saya rasakan RTM misalnya akan menghadapi masalah dari tontonan orang ramai. Sebab itu kita rasakan kepentingan yang perlu ditumpukan ialah `viewer orientation' atau orang nak tengok kita. Orang nak tengok kita berdasarkan kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa RTM dan TV lain yang dianggap lebih berkredibiliti, integriti tinggi dan perseimbangan dalam apa yang dipaparkan untuk orang ramai. Saya setuju dalam hal ini.

S: Satu dari agensi Kementerian ialah Jabatan Penerangan. Dulu semasa menghadapi ancaman komunis, Jabatan Penerangan cukup berkesan dalam kerja gerak saraf dan perang saraf . Tetapi dalam dunia siber sekarang adakah kaedah mereka itu masih sesuai untuk dunia siber atau memerlukan satu rombakan cukup besar untuk disesuaikan peranan dan fungsinya? J: Saya setuju banyak orang mengatakan terutama sekali bila keputusan pilihan raya banyak dasar kerajaan tak difahami kerana kegagalan Jabatan Penerangan. Tapi kalau menang kerana wakil rakyat bagus. Tahun 2004 kita (BN) menang besar tak ada pun orang puji Jabatan Penerangan main peranan. Calon kata mereka pandai jaga rakyat dan sebagainya. Itu adalah satu kebiasaan. Tetapi bagaimanapun saya dalam peringkat dalam meneliti kembali semua jabatan-jabatan yang kita ada dan sebenarnya saya dah mengeluarkan arahan supaya diadakan branding auditing, bukan sahaja RTM tetapi jabatan kita. RTM perlu dibuat kembali sebelum ada perekayasaan yang perlu dibuat untuk menyusun kembali dalam jabatan- jabatan ini.

S:Apakah 100 hari pertama YB Datuk ingin melihat satu peralihan, perubahan ataupun pencapaian dalam Kementerian Penerangan?

J: Kalau perlu diubahkan pertama sekali ialah RTM misalnya. Jangan salah erti saya nak jadi Menteri RTM. Pertamanya mesti berorientasi rakyat. Orientasi kepada rakyat ini tidak semestinya kita memenuhi apa kehendak rakyat. Suatu ketika dahulu ketika wayang pacak Jabatan Penerangan adalah ejen perubahan kepada masyarakat. Dan masyarakat berubah kerana agensi ini adalah ejen perubahan. Sekarang ada pandangan bahawa rakyat hendak berubah lebih besar lagi dari segi kehidupan, kebebasan berfikir dalam melihat kerajaan yang lebih baik. Good governance (tadbir urus) bukan sahaja dari segi undang-undang tetapi juga dalam unsur check and balance, perdebatan lebih telus dan terbuka. Tetapi ada orang menganggap bahawa yang menjadi resistance sekarang ialah RTM, yang tak mahu kepada perubahan. Saya rasa ini juga perlu ditukar, kembali berperanan sebagai ejen perubahan dan sebenarnya ini sudah disebut oleh Perdana Menteri. Tetapi ada di peringkat transisi orang tak faham kerana mana bangunan baru.

Sudah lama dianggap bahawa pemerintahan baik disebutkan ada bangunan baru, airport baru dan sebagainya dilihat secara kasar. Tetapi aspek yang lembut seperti ini tidak dianggap lagi perubahan yang hendak dibuat. Saya bimbang satu masa nanti kesan pada keputusan pilihan raya ada tekanan yang mengatakan kita kalah pilihan raya kerana terlalu terbuka maka kita kena tutup balik. Ini yang saya bimbang sekali. Saya harap rakyat faham supaya tidak menganggap keterbukaan yang cuba dibuat Perdana Menteri itu merupakan kelemahan beliau. Dan keterbukaan itu diambil kesempatan oleh orang untuk hanya menonjolkan perkara yang tidak baik. Keterbukaan itu sendiri mesti disokong dan kerajaan yang menuju ke arah keterbukaan sepatutnya digalakkan dan bukan dijatuhkan.

Mengenai perekayasaan, ini perlu kita buat dengan pendekatan-pendekatan baru. Misalnya ada negara yang mempunyai jabatan rasmi blog di mana orang boleh mengeluarkan pendapat boleh mengeluarkan pandangan termasuk perkara-perkara yang dianggap sensitif dulu seperti kenapa Naib Canselor Universiti mesti Melayu, kenapa Menteri Besar Perak itu tak boleh bukan Melayu. Dulu kita tidak bincangkan perkara ini dalam akhbar. Tetapi ia perlu dijawab mungkin perkara ini timbul dalam blog kerajaan rasmi kita mesti menjawab dan mempertahankannya. Kalau ada perkara tak boleh dipertahankan, perkara-perkara tertentu misalnya, ia perlu dikaji semula. Tetapi saya percaya banyak dasar-dasar itu dipertahankan. Bukan tak boleh dipertahankan tetapi tak ada ruang untuk ada timbal balas dengan mereka maka menyebabkan orang berfikir kita tidak ada jawapan kepada perkara- perkara demikian. Misalnya orang cakap jangan layan cakap kedai kopi tetapi wakil rakyat boleh dijatuhkan daripada cakap-cakap kedai kopi. Sekarang ini dalam siber kafe. Jadi kita perlu pergi dengan lebih meluas berjumpa mereka bercakap dengan mereka dan ada orang boleh pertahankan kita di peringkat kedai kopi. Ia boleh membentuk pendapat orang iaitu public opinion baik atau tidaknya kita.

S: Dua perkara ingin dicapai dalam 100 hari ini ialah untuk meyakinkan kerajaan supaya amalan keterbukaan ini kita pertahankan malah lebih berani.

J: Bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga rakyat. Kita kena ingatkan rakyat kalau rakyat tidak menghargai keterbukaan dibuat kerajaan sekarang dengan mengambil kesempatan itu mungkin keterbukaan itu akan ditutup balik. Saya bukan memberi amaran tetapi bimbang di bawah kepimpinan Pak Lah banyak generasi yang mahukan keterbukaan tetapi tidak semestinya ia akan disokong sekiranya orang melihat keterbukaan itu tidak mendatangkan faedah kepada negara dan sebagainya. Orang rasa baik cara zaman dulu.

Keputusan tanpa pandangan orang lain dan lebih senang maka kita akan kembali kepada cara lama. Sebab itulah kita hendak rakyat menyokong dan menilai perkara ini.

S: Akhir sekali, YB tentu tak dapat bergerak lebih jauh dari Lembah Klang. Ada 13 negeri, jabatan, warga kementerian yang akan melihat arah tuju kepimpinan Yang Berhormat. Ada seruan melalui program ini kepada warga kementerian Apa amanat awal yang ingin disampaikan?

J: Saya merasakan apabila melihat rakan-rakan di kalangan penulis blog, kekuatan mereka ialah menulis dengan hati mereka. Sebab itu mereka ada komitmen yang tinggi dan menulis, sanggup berjaga tanpa bayaran, elaun, bayaran lebih masa dan sebagainya. Mungkin dia tak setuju, marah, dendam dan perkara-perkara yang bersifat rasional. Sebab itu saya beritahu, jentera penerangan kerajaan juga perlu bekerja dengan hati mereka, faham dan menghayati bahawa sehingga sekarang tidak ada kerajaan yang lebih baik, tidak ada kumpulan yang lebih baik, banyak jasanya.

Ada kelemahan, itu kita tidak nafikan kepimpinan tidak kita katakan sempurna tetapi yang membina negara ini, menukar corak negara ini dan maju sehingga hari ini, inilah dia.

Jangan kita musnahkan parti yang ada, kerajaan yang ada kerana marah tadi. Dan mesti kita bekerja memujuk rakyat untuk memahami dan menilai segala kebaikan yang ada dan memperbaiki kelemahan yang ada secara ikhlas dengan hati kita.

Kalau kita tak dapat terangkan hati kita macam mana kita nak terangkan hati orang ramai. Kalau kita hanya berada di dalam kementerian, jabatan, radio dan tv semata-mata kerana gaji overtime (lebih masa) dan sebagainya kita tak dapat menandingi media-media yang menulis dengan hati mereka. Tetapi kekuatan kita saya rasakan bukan sahaja kita bekerja dengan hati tetapi perlu bekerja dengan akal fikiran dan turun ke bawah dengan berhujah dengan serasional mungkin. Rasionaliti yang susah, hendak mendidik orang kita berfikir dengan rasional berhujah fakta dan analisis yang lebih sofistikated yang perlu ada dalam jentera penerangan kita.

Dan ini susah tetapi saya percaya boleh dibangunkan. Dan kalau kita buat begitu saya berkata bukan soal menjadi ejen propaganda tetapi ejen perubahan dalam masyarakat kita dan rakan-rakan warga penerangan akan mampu melaksanakan dengan baik dan berkesan.

Tarik balik deposit tidak turun poster

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima sebarang maklum balas pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berhubung tindakan menarik balik deposit terhadap mana-mana parti atau calon yang tidak menurunkan poster ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihak terbabit bertanggungjawab dalam mengenal pasti kawasan masing-masing sudah dibersihkan bagi membolehkan calon atau parti yang bertanding membuat tuntutan di pejabat SPR negeri.

Pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu dan masih menyimpan wang deposit berkenaan yang berjumlah RM3,000 ($1,290) bagi calon parti yang bertanding peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM5,000 bagi Parlimen. -- BHM

Pemilihan di kampung ahli majlis

PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor akan mengadakan pemilihan pada peringkat kampung dan ahli majlis di pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan penduduk memilih sendiri ketua yang akan mewakili mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata bagaimanapun proses pemilihan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana mahu memastikan sistem pentadbiran bergerak lancar terlebih dulu.

Sebelum ini, ketua kampung dipilih daripada kalangan pemimpin setempat berdasarkan lantikan. -- BHM.

Ahmad Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU, (Bernama) - Tiga hari selepas mendapat sokongan Majlis Tertinggi Umno terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Datuk Ahmad Said hari Ahad mengangkat sumpah bagi jawatan itu.

Istiadat yang diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini.

Selesai melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal yang berusia 51 tahun itu kemudian menandatangani surat pelantikannya.

Ahmad, yang berpakaian baju Melayu serba hitam, kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Adun Jertih serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Adun Rhu Rendang serta semua Adun Terengganu menghadiri istiadat hari ini.

Mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya memimpin bacaan doa bagi memohon keberkatan pada majlis itu.

Sebelum beredar meninggalkan majlis, Ahmad bersalaman dengan Idris dan memeluk bekas Menteri Besar itu dalam keadaan penuh emosi.

Beliau turut bersalaman dengan Adun yang menghadiri majlis itu.

Istiadat hari ini mengakhiri isu berhubung pelantikan Menteri Besar Terengganu yang tertangguh sejak 10 Mac, iaitu tarikh asal bagi pelantikan itu selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat kembali mandat dua pertiga daripada rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac.

Satu lagi majlis angkat sumpah akan diadakan selepas ini untuk anggota Exco kerajaan negeri selepas Ahmad selesai menyediakan senarai pelantikan dalam masa kira-kira 10 hari lagi.

BN menang 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala lapan lagi kerusi dimenangi oleh PAS. -- LAGI

Pemuda BN Kutuk Penayangan Filem Fitna

KLUANG, (Bernama) - Pemuda Barisan Nasional (BN) mengutuk sekaras-kerasnya tindakan anggota Parlimen Belanda Geert Wilders yang memulakan penayangan filem "Fitna" kerana jelas menghina sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

Pengerusi Pemuda BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penerbitan filem berkenaan sesuatu yang menyedihkan dan boleh mencetuskan kemarahan umat Islam sehingga menimbulkan keadaan yang berbahaya.

"Saya betul-betul sedih dalam hal ini.

Dalam hal ini bukan sahaja Pemuda Umno tetapi Pemuda komponen BN juga tidak akan berkompromi dalam hal-hal agama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat kawasan Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini malam tadi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran dan anggota Parlimen Sembrong mengulas tindakan Wilders dan penyebaran filem itu menerusi internet yang menunjukkan penghinaan terhadap Islam dengan memetik beberapa ayat Al-Quran dengan imej latar serangan pengganas.

Beliau berkata penerbitan filem itu sukar diterima umat Islam atas dasar kebebasan bersuara dan semua pihak harus sedar kebebasan bersuara mahupun hak-hak tertentu seharusnya disertai dengan rasa tanggungjawab untuk memastikan seluruh masyarakat tidak tersinggung.

Noh Pernah Bawa Teksi Dan Faham Nasib Pemandunya

PUTRAJAYA, (Bernama) - Mungkin ramai tidak tahu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baru Datuk Noh Omar pernah menjadi pemandu teksi malah pernah juga membawa "teksi sapu" dan beliau akan menggunakan pengalamannya itu untuk membela nasib mereka.

"Ya, saya pernah jadi pemandu teksi dan membawa prebet sapu. Bapa saya pun pemandu teksi, jadi saya akan kaji keperluan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis menerima tugas daripada bekas menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kementerian itu pada 24 Mac lepas. Khaled kini menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

Noh, yang sebelum pilihan raya 8 Mac lepas adalah Timbalan Menteri Pelajaran, berkata antara keutamaan beliau adalah mengkaji pengeluaran permit teksi kepada individu yang layak.

"Saya amat faham dengan nasib pemandu teksi ," katanya.

Noh berkata langkah itu adalah sebahagian daripada keutamaan beliau untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam, satu tugas yang diakuinya sebagai bukan mudah.

"Namun saya akan berusaha agar ianya menjadi sesuatu realiti dan akan menggalakkan orang ramai menggunakannya. Itulah azam saya," katanya.

Noh berkata bahawa di luar negara orang ramai lebih berminat untuk menggunakan pengangkutan awam, "dan jika mereka boleh, kenapa tidak kita."

MARA Akan Hantar Lebih Ramai Lulusan Diploma Lanjut Pelajaran Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR, (Bernama) - MARA akan menaja lebih ramai lulusan diploma untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah lanjutan di institusi pengajian tinggi terkemuka luar negara pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata Mara telah mengenal pasti beberapa universiti terkemuka di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand untuk tujuan itu.

"Tahun ini jumlah pelajar yang akan (dipilih) mengikuti program itu akan ditambah kepada 350 orang daripada 57 orang pada tahun lepas untuk mengikut program-program yang telah ditetapkan iaitu Ijazah Sarjana Muda (200 orang), Sarjana (100 orang) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (50 orang)," katanya.

Kriteria pemilihan ialah perlu mencapai keputusan CGPA 3.0 bagi pelajar aliran teknikal dan CGPA 3.5 bagi pelajar aliran sastera, katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat MARA di sini hari Khamis.

Noh berkata pada tahun ini MARA merancang untuk menghantar 1,200 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 untuk mengikuti projek khas yang telah dirangka.

"Selaras dengan kehendak Dasar Ekonomi Baru (DEB), MARA akan terus memainkan peranan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar bumiputera mendapat pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"MARA percaya melalui peluang pendidikan, penyusunan masyarakat bumiputera akan dapat dilakukan dengan lebih teratur," katanya.

Noh juga menyarankan MARA memperkenalkan sistem ganjaran' kepada peminjam perniagaan untuk menggalakkan usahawan segera menjelaskan hutang.

"Dalam perjanjian boleh ditetapkan, peminjam yang membuat bayaran dalam tempoh waktu lebih singkat, faedah-faedah menarik menanti mereka. Misalnya jika bayaran dilunaskan segera, mereka boleh mendapat kelulusan automatik untuk pinjaman semula,' katanya.

Noh juga meminta MARA mengkaji semula perjanjian tempoh sewa bangunan kerana beliau berpendapat syarat perjanjian sedia ada perlu diperbaiki untuk kebaikan bersama bagi mengelakkan penyewa dibebani tunggakan jika perniagaan mereka gagal.

Mengulas kesukaran usahawan bumiputera untuk menyewa premis perniagaan di kompleks beli-belah terkemuka, Noh berkata sebenarnya MARA mempunyai peruntukan untuk membantu peniaga bumiputera memulakan perniagaan di premis terbabit.

Sistem Tender Terbuka Belum Tentu Jamin Keadilan, Kata PM

BUTTERWORTH, (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Sabtu menegur tindakan kerajaan Pulau Pinang mengadakan sistem tender terbuka sepenuhnya kerana ia tidak semestinya menjamin keadilan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk bersaing.

Beliau berkata pada dasarnya cadangan kerajaan negeri campuran DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengutamakan kesamarataan nampak baik dan elok tetapi sebenarnya hanya golongan yang mampu sahaja boleh memperoleh manfaat daripada sistem itu.

"Pendekatan yang telus, tender terbuka, pembidaan secara terbuka memang cukup baik dan elok dan membuatkan semua orang rasa senang hati tetapi kita kena ingatkan mereka bahawa tidak semestinya apa yang dikata sama rata itu adil, sebenarnya hanya yang kuat dan berkemampuan sahaja yang boleh memperoleh sesuatu.

"Ini teguran yang kita berikan kepada mereka kerana menjadi tanggungjawab kita (Barisan Nasional) sebagai parti pembangkang untuk bagi pandangan dan kita akan menjadi pembangkang yang aktif, prihatin dan ambil tahu apa yang berlaku di Pulau Pinang. Kita bukan setakat hendak memanaskan kerusi sahaja," katanya pada Majlis Kesyukuran Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di sini, Sabtu malam.

Beliau menjelaskan pendekatan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan untuk golongan Bumiputera semata-mata sebaliknya ia turut membantu golongan minoriti lain dalam masyarakat Cina dan India kerana ia tidak bersifat perkauman. Katanya DEB merupakan pendekatan nasional yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, pengagihan yang saksama kepada rakyat termasuk membesarkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC) serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang besar dan boleh dinikmati semua kaum.

Abdullah, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, mengingatkan 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno, yang mewakili Barisan Nasional (BN) supaya memperjuangkan nasib semua kaum di negeri ini. "Mereka mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja sebagai ADUN kawasan tetapi sebagai parti pembangkang di DUN. Saya yakin dengan semangat yang ada, mereka bukan sahaja memperjuangkan Umno tetapi juga BN. Peranan mereka sekarang bukan sahaja untuk bela orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memuji strategi Badan Perhubungan Umno Negeri untuk memberikan setiap ADUN berkenaan tanggungjawab atau portfolio untuk memantau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.

"Tanggungjawab ini cukup besar kepada 11 orang ADUN itu yang mana sebelum ini tugas itu dipikul oleh lebih ramai ADUN tapi saya percaya 11 pahlawan ini boleh melakukannya dan saya harap parti komponen BN turut membantu mereka," katanya. Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno Negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, memutuskan pelantikan "exco bayangan" dan memberi portfolio yang sama dengan exco kerajaan negeri kepada setiap ADUN Umno yang menang pada pilihan raya baru-baru ini.

Tindakan itu bertujuan membolehkan exco bayangan memantau pelaksanaan dasar bagi setiap portfolio dan memastikan janji-janji kerajaan negeri dilaksanakan.

Abdullah turut memberi jaminan kepada penduduk Pulau Pinang bahawa kerajaan Persekutuan yang diterajui BN akan terus memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat dan melaksanakan janji-janji seperti yang terkandung dalam manifesto perikatan itu.

Beliau menyeru rakyat supaya mengukuhkan perpaduan bagi memastikan BN menawan semula Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Abdul Rashid dalam ucapannya menyatakan sokongan Umno Pulau Pinang kepada kepimpinan Abdullah.

"Kita akan bersama Pak Lah dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menghadapi perjuangan ini," katanya.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 penyokong Umno itu turut disertai Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pastikan Kepentingan Kontraktor Kelas F Terjamin - PERKOBF-KL

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) - Persatuan Kontraktor Bumiputra Kelas F Kuala Lumpur (PERKOBF-KL) bimbang pelaksanaan sistem tender terbuka bagi projek bernilai RM50,000 ke atas oleh Kerajaan Pulau Pinang akan turut dibuka kepada kontraktor kelas lain.

Yang Dipertua PERKOBF-KL, Ahmad Awang berkata menerusi peruntukan sedia ada, setiap kontrak bernilai RM200,000 ribu dan ke bawah akan diberi kepada kontraktor kelas F dan dibuat melalui dua kaedah iaitu secara undi kepada kontrak RM100,000 ribu ke bawah manakala sebut harga bagi kontrak RM100,000 ribu ke atas.

"Saya berharap jika sistem itu (tender terbuka) dilaksanakan, kepentingan kontraktor Kelas F akan tetap terjamin," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahmad berkata peruntukan sedia ada oleh Kementerian Kewangan yang menetapkan kontrak bernilai RM200,000 ke bawah diberi kepada Kontraktor Kelas F, terus digunapakai.

Pada 19 Mac lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan sistem tender terbuka terhadap semua kontrak bernilai RM50,000 ke atas deangan cara cabutan undi bergilir-gilir.

14 Pusat Giat Mara mula beroperasi Julai ini

TANJUNG KARANG: Sejumlah 14 Pusat Giat Mara yang baru akan mula beroperasi Julai depan untuk memberikan latihan kemahiran kepada lebih ramai golongan belia supaya mereka mampu berdikari bagi membina kehidupan yang lebih baik, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Antara Pusat-Pusat Giat Mara yang baru itu adalah di Pandan dan Kota Raja di Selangor, Bandar Tun Razak, Setiawangsa dan Putrajaya (Wilayah Persekutuan), Simpang Renggam, Sikijang dan Air Hitam (Johor), Batu Sapi dan Sepanggar (Sabah) serta Kanowit dan Mambong (Sarawak), katanya pada jamuan kesyukuran sempena pelantikannya sebagai menteri kabinet di sini hari ini, Sabtu.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tanjung Karang berkata dengan penambahan 14 Pusat Giat Mara yang baru itu bermakna terdapat 204 pusat sedemikian di seluruh Malaysia bagi melatih beliabeliawanis dengan kemahiran-kemahiran vokasional.

Pusat Giat Mara yang kini mempunyai seramai 10,000 orang pelatih di seluruh negara mempunyai peranan penting bagi memberikan peluang kedua kepada golongan belia kerana pada masa ini hanya 20 peratus daripada golongan ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, katanya.

Selain daripada itu pusat-pusat ini yang didirikan hampir di setiap daerah di seluruh negara merupakan satu platform yang sesuai kerana ia adalah institusi latihan yang terhampir di peringkat akar umbi, katanya.

Melalui Pusat Giat Mara para pelatih yang telah menamatkan latihan dan layak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, iaitu di Universiti Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran tetapi lebih minat bekerja, Noh berkata mereka akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan di 11 buah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kementeriannya seperti Petronas dan Proton.

Jika mereka berminat untuk menjadi usahawan, Pusat Giat Mara akan membekalkan mereka dengan kelengkapan yang diperlukan oleh mereka untuk memulakan perniagaan seperti alatan mengimpal dan mesin jahit, katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata elaun pelatih-pelatih Pusat Giat Mara yang ketika ini RM100 sebulan akan dikaji semula supaya ia dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Noh juga berkata pegawai-pegawai Mara Daerah akan dikenali sebagai Pegawai Pembangunan Usahawan Daerah kerana di bawah pendekatan baru yang diperkenalkan mereka bukan hanya bertanggungjawab menyelia kegiatan Mara di peringkat daerah tetapi juga pengagihan pinjaman di bawah Tekun, kegiatan Pusat Giat Mara dan Jabatan Pembangunan Koperasi di daerah masing-masing.

Sebelum ini pegawai-pegawai Tekun, Pusat Giat Mara dan Jabatan Pembangunan Koperasi beroperasi secara bersendirian di setiap daerah tetapi memandangkan kesemua mereka di bawah kementerian yang sama, eloklah operasi mereka diselaraskan dan diselia oleh Pegawai Pembangunan Usahawan Daerah bagi memudahkan kementerian membantu golongan belia ini terutamanya yang ingin memulakan perniagaan sendiri, kata beliau lagi.

Noh berkata bagi tempat-tempat yang jauh daripada Pusat Giat Mara yang terdekat seperti di Sabah dan Sarawak, pihak kementerian akan membenarkan Pusat Giat Mara di kawasan berkenaan menubuhkan cawangan di kampung-kampung bagi memberikan latihan kemahiran kepada golongan belia. BERNAMA