Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 
Showing posts with label Altantuya. Show all posts
Showing posts with label Altantuya. Show all posts

Monday, November 3, 2008

Raja Petra boleh dibenar jadi saksi kes Altantuya - Malaysiakini

Oleh : ARIFUDDIN ISHAK
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tidak ada sebarang sekatan bagi mana-mana tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk Raja Petra Raja Kamaruddin untuk menghadiri sebarang prosedur mahkamah.
"Sememangnya tidak ada sekatan untuk mereka yang ditahan ISA untuk hadir di mahkamah," katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan yang dikemukakan Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan wanita Moggolia, Altantuya Shaariibuu yang ingin mendapatkan Raja Petra sebagai saksi pihak pembelaan.

Raja Petra yang kini ditahan di bawah ISA pernah mengeluarkan Akuan Bersumpah berhubung kes berprofil tinggi itu.

Syed Hamid berkata jika ada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi, pihak kementerian boleh memberikan kebenaran.
"Kalau ada (permohonan), boleh dapat kebenaran... boleh," katanya.
Bagaimanapun menurutnya, sehingga semalam beliau masih belum menerima sebarang permohonan berhubung perkara tersebut.
"Belum ada lagi, saya belum dapat apa-apa maklumat. Mungkin sebab hujung minggu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Raja Petra akan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Namun beliau menafikan mengenai perkara tersebut.
"Tak ada... saya tak tahu pula khabar angin beliau akan dibebaskan," katanya.

Saturday, November 1, 2008

Ayah Razak Baginda: "Kehidupan bermula semula" - Malaysiakini

Abdul Razak Abdullah Baginda (kiri) turun dari kenderaan selepas keluar bersama anak dan isterinya petang tadi.
mStar | Selepas sehari dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda terus 'diburu' media bagi mendapatkan kenyataan penuh beliau.

Wartawan mula menunggu di hadapan rumahnya hari ini di Bukit Damansara sejak pukul 9.30 pagi.

Sekali lagi Razak terus mengambil pendirian 'membisu'.

Semalam wartawan turut sehingga petang tetapi beliau hanya memberikan beberapa kenyataan ringkas, antara bersyukur dan "berpuasa di penjara selama 22 bulan."

Razak dilihat keluar bersama isterinya Mazlinda Makhzan kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan beberapa minit kemudian anaknya, Rowena juga keluar dengan menaiki kereta berasingan.

Rowena pulang kira-kira pukul 3.05 petang dan dilihat membawa barangan keperluan harian.

Melihat kumpulan wartawan yang menunggu di hadapan rumah mereka sejak pagi, bapa Razak, Datuk Abdullah Malim Baginda keluar menegur kumpulan wartawan yang menunggu kira-kira pukul 4 petang.
"Tahu tak Razak tak ada (di rumah)? Razak tak mahu bagi kenyataan lagi... nanti bila dia nak bagi kenyataan, dia akan beritahu media," katanya.
Abdullah juga memberitahu bahawa Razak keluar kerana mempunyai urusan.

Beliau kemudiannya memberikan minuman kepada kumpulan wartawan yang menunggu.

Ditanya tentang perasaannya apabila anaknya itu kini telah pulang kerumah kerana ditahan sejak 22 bulan yang lalu, beliau enggan mengulas lanjut.
"Biasalah, jangan tanya saya apa-apa... tanya Razak nanti," katanya.
Diajukan lagi sama ada beliau berasa sangat gembira dan bersyukur dengan kepulangan Razak, beliau menjawab dengan ringkas sambil masuk semula ke dalam rumah: "Kehidupan bermula semula."

Lima minit kemudian, Razak pulang bersama isterinya.

Wartawan cuba menegur Razak bagi mendapatkan komennya, namun beliau sekadar menjawab ucapan salam yang diberikan dan terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Razak daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Azilah dan Sirul membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Friday, October 31, 2008

Razak Baginda dibebaskan - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia itu diperintah membela diri.

Monday, July 21, 2008

RAJA PETRA AKAN DIDAKWA ATAS TUDUHAN JENAYAH FITNAH

Raja blog yang tersohor dengan segala perlakuan penyebaran fitnah dan cerita palsu melalui laman maya (website), Raja Petra Kamaruddin akan didakwa dibawah jenayah fitnah dan telah diberikan arahan untuk menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), esok pada jam 10 pagi.

Menurut isteri beliau, Marina Lee Abdullah, Raja Petra telah menerima waran tangkap melalui peguam mereka pagi ini dan pengesahan berkenaan waran tersebut telah dibuat dan ianya benar sepertimana yang ternyata dalam waran tersebut.

Raja Petra akan didakwa di bawah jenayah fitnah yang mana dalam akuan sumpahnya sebelum ini, Raja Petra menuduh Rosmah Mansor, isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara individu yang berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Raja Petra yang juga berkata, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat tiga orang lagi di tempat kejadian.

Beliau menamakan dua individu lagi itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya seorang pakar bom ‘C4′ dan isterinya yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.

Beliau juga mendakwa dalam akuannya itu bahawa beliau turut mendapat maklumat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyedari mengenai dakwaan pembabitan isteri Najib.

Raja Petra mendakwa lagi, Abdullah menerima satu laporan bertulis daripada pihak perisikan tentera, yang mengesahkan pendedahan beliau itu.

Laporan tersebut, dakwa Raja Petra, kemudiannya diserahkan kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin untuk disimpan dengan selamat.

Selain Abdullah dan Khairy, dakwa Raja Petra, “seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan.”

Friday, June 27, 2008

KES BUNUH WANITA MONGOLIA

PAK LAH: NAJIB DAN ISTERI TIDAK TERLIBAT
Tindakan akan diambil terhadap blogger Raja Petra
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata semalam timbalan beliau, Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur, tidak terlibat dalam pembunuhan seorang wanita Mongolia di negara itu pada 2006.

Beliau berkata tindakan akan dikenakan ke atas blogger dan pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, yang membuat dakwaan itu melalui satu akuan berkanun.
"Saya tidak percaya bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam kes ini," kata Datuk Seri Abdullah kepada pemberita.

"Peguam Negara telah memberitahu saya bahawa satu siasatan akan dijalankan dan tindakan akan diambil terhadap dia," kata Datuk Abdullah, merujuk kepada Raja Petra.
Raja Petra telah menandatangani satu akuan berkanun awal bulan ini, mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti bahawa Datin Rosmah turut memainkan peranan dalam pembunuhan mendiang Altantuya Shaariibuu, 28 tahun.

Sebelum ini, beliau menghadapi tuduhan menghasut kerana mengaitkan Datuk Seri Najib dalam pembunuhan itu.

Seorang pengamat politik, Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan Datuk Seri Najib, sedang dibicarakan atas dakwaan bersubahat dalam pembunuhan mendiang Altantuya. Dua pegawai polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Abdullah dan Datuk Seri Najib, menghadapi tuduhan membunuh mendiang.

Datuk Seri Najib telah berulang kali menafikan sebarang pelibatan dalam pembunuhan mendiang, yang mayatnya telah diletupkan dengan alat letupan.

Datuk Seri Abdullah berkata tindakan Raja Petra 'tidak dapat diterima', dan menafikan dakwaan Raja Petra bahawa beliau pernah melihat satu laporan risikan tentera berhubung pembunuhan itu.
"Tidak, saya tidak ingat ada menerima apa-apa. Dia boleh kata apa saja tapi saya tidak melihatnya," kata Datuk Seri Abdullah.
Datuk Seri Najib menyifatkan dakwaan beliau terlibat sebagai satu 'penipuan' yang bertujuan mencemari namanya.