Click for Kuala Lumpur, Malaysia Forecast Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman Hapuskan Kekejaman
Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, September 15, 2008

BUAT BEGINI SALAH, BEGITU SALAH. JADI SEMUA SERBA SALAH - Malaysiakini

Dulu kita sibuk pasal peralihan kuasa. Bila Pak Lah sudah tetapkan pada Jun 2010, ada orang kata terlalu lama pula. Begitulah juga dengan tindakan ISA. Heboh juga orang kata dulu kenapa tak simpan saja mereka yang sibuk mengusik sentiment perkauman. Bila tindakan ISA diambil, ramai pula mengatakan tidak patut sampai ke tahap ISA.

Begitulah seterusnya nanti bila kita buat ini, orang kata kenapa tak buat begitu. Bila kita buat begitu, ada pula orang yang mengatakan itu tak betul, baik buat yang ini. Ini semualah yang menjadikan suasana fikiran dan hati kita tak pernah damai.

Sama dengan tindakan Tun Mahathir yang sikit-sikit merajuk. Terakhir dia merajuk sampai keluar dari UMNO. Sekarang sibuk nak masuk balik. Kata dulu selagi Pak Lah ada, dia tak akan masuk balik UMNO. Anaknya pun sama. Dulu kata akan keluar dari UMNO kalau Pak Lah tak berhenti sampai bulan Julai. Sekarang dah bulan September. Dia masih dalam UMNO.

Datuk Adnan Yaakub pun satu hal. Awal-awal lagi dia kata memang tidak minat apa-apa jawatan di pusat. Dia akan tumpukan perhatian di peringkat negeri dan maintain jawatan menteri besar bagi memastikan Negeri Pahang sentiasa makmur. Hasrat beliau untuk jadi calon Naib Presdiden UMNO pun dibatalkan.

Tak lama selepas itu, dia umum pula mahu bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Pun tak jadi juga. Katanya, biarlah orang muda bertanding jawatan itu. Datuk Seri Hishamuddin bagus, dia umum sekali sahaja untuk bertanding naib presiden. Yang lain seperti Datuk Mukhriz sudah dua kali umum. Sekali ini dengan slogan ‘Berani Berubah’ lagi. Begitu juga dengan Datuk Zahidi Zainal Abdin sudah dua kali umum. Mohd Khir Toyo memang sentiasa umum pada siapa saja dia jumpa atau yang beliau panggil. Khairy pula baru nak umum. Selepas dia umum, entah-entah ada lagi muka baru akan umum.

Yang betulnya ramai pendirian ahli politik kita ni tak teguh. Kata orang Cina, ‘hati tak ting tak tung’. Macam Tan Sri Muhyiddin pula masih nak pertahan jawatan naib presiden. Dalam pada itu sibuk pula kata peralihan kuasa terlalu lama. Najib tak kata begitu. Malah dia menadah tangan bersyukur kerana Pak Lah sudah menamakan dia.

Datang Muhyiddin pula pergi goncang bahu Najib bertanyakan tahan ke tunggu lama-lama tu. Dah Najib pun pening lalat dibuatnya. Dicadang pula balik ke akar umbi. Kalau akar umbi kata lawan, apakah Najib akan lawan? Dulu dah kata sabar tunggu. Atau Muhyiddin dah berbisik kata lawan supaya dia boleh lawan timbalan presiden.

Bila Tengku Ahmad Rethauddin kata kuota pencalonan menyebabkan timbulnya politik wang, semua orang setuju supaya sistem kuota dimansuhkan. Wa……. Untung la Tun Mahathir tak perlu dilawan dapat memerintah 22 tahun. Mana aci macam tu. Kalau nak mansuh pun bukan la sekarang kerana faham-faham sajalah orang Melayu ni, kalau buka saja pintu, mereka akan terpa ramai-ramai. Yang dapat dua pencalonan sudah cukup mereka akan tetap lawan.

Bayangkanlah kalau buka saja kuota itu, tak kurang 20 orang akan lawan presiden dan 50 orang akan lawan timbalan presiden. Naib presiden pula, ramai betul akan lawan. Itu kalau silap-silap, Datuk Yusof Haslam, Tan Sri Jin Shamsuddin, Siti Nurhaliza dan Mawi pun tentulah dapat pencalonan kerana mereka tu ramai peminat.

Kalau ini berlaku, lagi caca marbalah politik kita jadinya. Tengoklah dek kerana Anwar Ibrahim seorang pun kita dah kelam kabut. Mereka senang-senang saja sebut nak ambil alih kerajaan pada 16 September ini. Bila dah tak jadi, dialih pula ke tarikh lain. Jadi orang BN tak kerja lain asyik berjaga-jaga dan terlalai kerja lain yang patut dibuat untuk rakyat.

Akhirnya rakyat tengok, balai raya tak repair, jalan berlubang tak bertampal, rumah terbakar pun tiada muka wakil rakyat datang jenguk. Pakai hulur melalui bank akaun saja. Buku bank pula dah habis kena sambar api ketika itu. Tersadai lagi.

Buat kerja la. Menteri-menteri pergi la lawat jabatan-jabatan di bawah mereka tu tengok budak-budak tu buat kerja. Ada kaki tangan yang tak tahu had umur warga emas pun ada. Ada yang kata 60 tahun, ada yang kata 65 tahun, ada yang pergi mengaku warga emas walaupun baru 50 tahun pun lepas.

Mereka tak pasti yang mana warga emas, yang mana warga emas putih, yang mana warga suasa, yang mana warga perak dan yang mana warga tali tangsi. Main ikut suka mereka saja. Samalah dengan meletakkan tanda next counter. Suka hati mereka.

Kes tolak menolak dari satu kaunter ke satu kaunter, turun naik lif, panjat tangga dan terpaksa letak kenderaan sampai dua kilometer jauhnya masih berlaku lagi di sekitar jabatan kerajaan. Semua ini menyumbang kepada marah rakyat yang berurusan dengan jabatan kerajaan.

Yang DBKL pun dilihat, bukan main lagak lagi bulan puasa ni dengan buku saman masing-masing.. Gertak orang sana sini, samannya tidak juga. Hendak-hendak di jalan Tunku Abdul Rahman di bulan puasa ini, mereka siap dengan trak nak angkut barang peniaga. Tapi ada juga orang berniaga curi-curi. Boleh lepas pula.

Tempat letak kereta pun letaklah mana-mana. Mereka ikut mood. Ada masa di saman. Ada masanya tidak. Semua ini kan kerja yang menyakitkan hati orang semuanya. Kalau mahu tegas, tegaslah betul-betul. Kalau tidak, jangan tunjuk muka di situ.

Sekarang ni semua dah jadi tak betul. Orang awam pun turut jadi tak betul bila penguatkuasa tidak menentu. Kejap bukan main tegas, kejap lagi longgar balik. Begitulah jadinya pada hal ulat di perhentian bas di mana-mana. Tangkap seorang, 10 orang lagi masih licik.

Peminta sedekah pun cukup ramai muncul masa bulan puasa ni. Yang dari Myanmar pun entah dari mana-mana datangnya, dah merebak ke taman-taman ketuk gate rumah orang minta duit. Kalau pasangan buta celik memang sudah lumrah. Kadang-kadang mereka macam boleh terbang dari satu tempat ke satu tempat.

Jumpa di restoran mamak Kompleks Damai jam 9.00 malam. Pukul 10.30 sudah berada di Taman Melawati. Pukul 12.00 datang lagi. Macam mana ni? Apa yang kita buat dengan keadaan macam ini? Senang sangat ‘tauke’ mereka cari duit menggunakan tenaga orang buta. Itu pun tidak siapa ambil peduli. Menteri pun kena tahu akan hal ini supaya dapat dibendung cepat.

No comments: