Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, April 14, 2015

PUTERI UMNO KESAL PEMILIK FACEBOOK SEBAR FITNAH

TANJONG KARANG – Puteri Umno Tanjong Karang kesal dengan perbuatan individu yang menabur fitnah dalam laman sosial Facebook dengan niat menjatuhkan imej pergerakan itu apabila mengaitkan satu program yang bukan di bawah kendalian mereka.

Ketuanya, Salbiah Saari berkata, program itu adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang ingin meraikan sambutan Hari Wanita di Parlimen Tanjong Karang, bukanprogram anjuran Puteri.

“Kehadiran ketiga-tiga ketua sayap parti termasuk saya pada program itu bertujuan untuk menyokong Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar sebagai perasmi program.

“Sebab itu kami datang, bukannya atas tiket kami sebagai penganjur. Malah dalam program itu Datuk Seri ada sampaikan sumbangan RM10,000 untuk penganjur menjayakan program.

“Saya tak pasti apa motif tuduhan itu dibuat sedangkan kita tiada kaitan dengan penganjur. Kami hanya datang beri sokongan kepada wakil rakyat kawasan,” katanya.

Salbiah tidak menafikan kehadiran peserta untuk program Hari Wanita itu tidak ramai tetapi hairan apabila tuduhan mengaitkan Puteri sebagai penganjur itu disebarkan selepas lebih dua minggu program berlangsung.

“Kenapa perlu fitnah Puteri? Saya percaya ini salah satu tindakan seseorang yang cuba burukkan nama 22 cawangan Puteri Umno,” katanya.

Sebelum ini, heboh diperkatakan di laman sosial Facebook yang mengaitkan nama Ketua Puteri Selangor dengan penganjuran satu program yang dikatakan tidak mendapat sambutan di Tanjong Karang.

Sebaran itu menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak khususnya sayap parti apabila penganjuran itu dikaitkan dengan kegagalan akibat tiada sambutan dan memalukan.
Sumber : http://selangorpost.com/?p=1430

SK Sri Pristana juara bola sepak MSSD

Pasukan SK Sri Pristana diraikan selepas berjaya mewakili Kuala Selangor ke peringkat lebih tinggi.
TANJONG KARANG, 13 APR – Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pristana muncul juara dua tahun berturut-turut selepas menewaskan SK Saujana Utama sempena Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Selangor.

SK Sri Pristana menamatkan saingan dengan jaringan dua gol berbalas satu manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing diduduki SK Puncak Alam 2 dan SK Puncak Alam 3.

Presiden Kelab Bola Sepak Tanjong Karang, Mohd Shahrizal Sahri berkata, prestasi SK Sri Pristana dapat dipertingkatkan lagi sekali gus mewakili daerah ini ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap pasukan SK Sri Pristana dapat menunjukkan mutu permainan yang lebih berkualiti dan mempamerkan semangat juang yang tinggi supaya kemenangan milik Kuala Selangor.

“Pasukan yang kalah jangan pula berputus asa dan teruskan berusaha dengan lebih baik. Sekolah lain juga diharap dapat bangkit dan mengharumkan nama daerah ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak MSSD di SK Batu 9, Jalan Bomba.

SK Batu 9, Jalan Bomba dipilih menjadi Pengerusi Pengelola Kejohanan Bola Sepak MSSD Kuala Selangor 2015 manakala empat padang bola sepak yang terpilih ialah di SMK Seri Desa, SK Sungai Sireh, SK Parit 4 dan SK Sungai Burong.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/sk-sri-pristana-juara-bola-sepak-mssd-1.379190