Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 10, 2015

Tunjuk bukti tanah milik mereka - Adun Permatang

Penduduk memohon kerajaan negeri membela nasib mereka di Pasir Penambang.
TANJONG KARANG, 9 APR – Pemaju wajar melampirkan bukti yang menunjukkan tanah yang didiami 10 keluarga di 10 unit rumah bersebelahan pasaraya di Pasir Penambang, di sini milik mereka.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak menjelaskan, bukti kukuh perlu ditunjukkan kepada penduduk jika benar tanah yang didakwa pemaju itu tanah mereka.

Menurutnya, timbul kekeliruan memandangkan tapak tanah yang didiami 10 keluarga itu adalah penempatan mangsa kebakaran ketika zaman pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.

“Tapak yang juga tanah milik kerajaan negeri itu dibangunkan untuk penempatan mangsa kebakaran bagi membolehkan mereka hidup sempurna meskipun dilanda musibah.

“Saya masih ingat ketika itu kerajaan negeri prihatin dengan nasib penduduk Cina yang dilanda musibah kebakaran dan bina rumah untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, jika tanah berkenaan milik pihak pemaju, mereka perlu merangka penyelesaian termasuk membina penempatan baharu buat mereka memandangkan penduduk tidak mampu membina rumah.

“Masalah lain turut timbul apabila perbincangan pemaju yang mahu pindahkan tapak tokong ke kawasan baru berdepan kesulitan kerana menerima bantahan penduduk.

“Penduduk bantah sebab nak projek tokong dibina sekali di tapak yang baharu, mungkin itu jadi masalah kepada kedua pihak sehingga kini.

“Saya harap masalah penempatan dan tapak tokong dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sulaiman berkata, kerosakan jalan yang dilaporkan berlaku di kawasan penempatan penduduk juga perlu diberi perhatian sewajarnya kerana boleh mengundang bahaya.

“Lagipun kalau orang kampung yang lalu lalang tak mungkin jalan rosak teruk, pemaju kena ambil perhatian sebab lori muatan berat yang lalu kawasan itu," katanya.

Sebelum ini, lebih 100 penduduk mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji semula projek pembangunan di kawasan Pasir Penambang berikutan didakwa menjejaskan kediaman dan rumah ibadat mereka.

Dakwa mereka, bukan sahaja jalan rosak dilalui kenderaan berat yang membawa muatan batu bahkan lokasi tokong terjejas apabila kerja tanah dilaksanakan meskipun sebelum ini jaminan kawasan rumah ibadat mereka tidak diganggu.

Ketua Kampung Bagan Pasir Penambang, Lim Kok Cheng, 54, berkata, sebelum ini penduduk membantah projek pembangunan apabila kerja tanah menjejaskan tapak rumah dan tokong yang dibina di kawasan itu.

Bagi Ketua Kampung Pasir Penambang, Lim Eng Guan, 61, surat bantahan sudah dihantar ke Pejabat Daerah Kuala Selangor dan pejabat Menteri Besar Selangor bagi memohon campur tangan.

“Masalah ini cukup runsingkan orang kampung dan memang tiada tempat lain nak pindah kalau rumah dikosongkan…rata-rata yang duduk sini sudah tua dan tak ada duit nak pindah tempat lain,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tunjuk-bukti-tanah-milik-mereka-1.377940

No comments: