Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 16, 2015

TAMBAH PERUNTUKAN GURU KAFA - NOH

SHAH ALAM, 15 APR – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali diingatkan supaya tidak mengabaikan tanggungjawabnya dalam memastikan pembangunan Islam diberikan perhatian utama khususnya melibatkan soal kebajikan tenaga pengajar dalam bidang pendidikan agama di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berkata, tumpuan itu haruslah melibatkan usaha kerajaan negeri memberikan peruntukan yang munasabah kepada golongan berkenaan sebagaimana yang diwar-warkan oleh Mohamed Azmin kononnya dasar pentadbiran belia adalah ‘peduli rakyat’.

Ini kerana menurut Noh, kerajaan pusat sebaliknya dilihat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk menjaga kebajikan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru-guru takmir termasuklah para imam di negeri ini berbanding dengan kerajaan negeri.

Beliau turut memberikan contoh bahawa pada tahun 2014 sahaja, kerajaan pusat menerusi Jabatan Kemajuan Islam Selangor (Jakim) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM37.53 juta untuk pembayaran elaun guru-guru KAFA, takmir dan imam di negeri ini.

Malah pada Januari lalu kata Noh, kerajaan pusat turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM35.37 juta untuk pembayaran elaun guru-guru KAFA, takmir, imam dan penyelaras pentadbiran masjid di Selangor daslam satu majlis yang disaksikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Namun, dalam Bajet Selangor 2015, kita difahamkan kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan untuk menambah elaun kepada guru-guru KAFA, takmir dan imam di negeri ini,” katanya di sini.

Jelas Noh lagi, kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan sering mendabik dada dengan menyatakan mereka adalah negeri yang mendahului kerajaan pusat dalam soal penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan.

Malah, kerajaan negeri juga dikatakan sering menunding jadi ke arah kerajaan pusat sebagai tidak realistik apabila menetapkan gaji minimum sebanyak RM900 sebulan di semenanjung manakala RM800 di Sabah dan Sarawak.

“Namun, apabila dilihat dalam isu elaun guru-guru KAFA di Selangorm, mereka sehingga kini masih menerima bayaran RM1,300 setiap bulan yang mana sebilangan besarnya iaitu RM800 dibayar oleh kerajaan pusat manakala selebihnya adalah dari kerajaan negeri.

“Sepatutnya jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas mahu membantu guru-guru ini, maka sewajarnya mereka turut menambahkan bayaran itu kepada RM800 seperti yang dilakukan oleh kerajaan pusat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,600,” tegasnya.
Sumber : http://selangorpost.com/?p=1505

No comments: