Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, April 29, 2015

SEKOLAH MENENGAH SUNGAI BURONG BAKAL PERINTIS PERTAMA KONSEP SEKOLAH ABAD KE-21

SHAH ALAM, 28 APR - Negeri Selangor bakal menjadi perintis kepada pelaksanaan Sekolah Abad Ke-21′, iaitu konsep pembelajaran bestari berasaskan kepada teknik multimedia dan teknologi maklumat (IT) yang dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Ia sejajar dengan perkembangan pesat dalam dunia digital sekarang di mana semua aktivitinya memerlukan sokongan IT dalam sektor pendidikan, yang merupakan elemen penting untuk mengembangkan persekitaran pembelajaran para pelajar.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar, berkata buat masa ini konsep tersebut sudah dipraktikkan serta diuji di beberapa buah bilik darjah di sekolah sekitar Tanjung Karang, serta menerima maklum balas positif daripada para guru dan pelajar.

“Oleh yang demikian, kita akan adakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara ini. Ini kerana, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sudah bersedia melaksanakan konsep sekolah alaf baru ini.

“Kalau ikut perancangan, kita akan mulakan di Sekolah Menengah (SM) Sungai Burong. Selepas itu, barulah kita perluaskan di sekolah lain pula. Sebenarnya, konsep sekolah ini sudah pun diguna pakai dibeberapa buka sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC),” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat `Pelaksanaan Sekolah Abad 21, di sini hari ini.


Noh berkata, konsep sekolah terlibat tidak hanya tertumpu kepada kelengkapan komputer, kerana sistem persekolahannya berbeza secara keseluruhannya berbanding sistem yang dipraktikkan ketika ini.

“Multimedia dan IT akan menjadi asas pembentukan sekolah tanpa mengganggu kepentingan atau kedudukan guru. Ini kerana, walaupun apapun perkembangan, termasuk mungkin pada suatu masa nanti buku tidak lagi digunakan, tetapi guru masih menjadi elemen penting pendidikan, manakala multimedia pula akan menjadi alat bantuan pembelajaran yang berkesan.

Kalau ikut perancangan bagi pelaksanaan Sekolah Abad ke-21 di SM Sungai Burong, kita memerlukan peruntukan RM2 juta. Berdasarkan kapasiti sekolah ini, kita jangka boleh dapat sehingga 24 buah kelas. Jadi, kita yakin ia akan mampu direalisasikan serta menjadi kenyataan,” ujarnya.
Sumber : http://selangorpost.com/?p=2300

No comments: